Budak 14 tahun menyamar jadi doktor menjadi berita tergempar baru-baru ini kerana keanehan kes ini disamping tidak pernah berlaku di Malaysia. Ramai yang berasa hairan bagaimana seorang budak perempuan berusia 14 tahun dapat melepasi pihak keselamatan di hospital berkenaan.
Isi Kandungan
Budak 14 Tahun Menyamar Jadi Doktor!
Tular baru-baru ini kes seorang budak perempuan 14 tahun yang menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris, Sepang dengan menggunakan kad pengenalan palsu.
Pihak polis daerah Sepang juga telah mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan menerima satu laporan daripada kakitangan di hospital berkenaan berkaitan seorang remaja perempuan yang tidak dikenali berada di dalam dewan bedah.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kakitangan hospital menyedari ‘kehadiran’ remaja itu. Katanya, budak perempuan itu mendakwa dirinya sebagai pegawai perubatan yang ingin membantu pembedahan.
Tambah Wan Kamarul Azran, pihak hospital menyedari kehadiran budak itu pada 8.30 pagi kerana remaja itu cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu. Pihak hospital kemudian menghubungi pihak polis dan tangkapan dilakukan pada 9 pagi di lobi hospital berkenaan.
Selepas ditahan, pihak polis kemudian merampas sehelai baju skrub, seluar skrub dan ‘lanyard’ milik hospital berkenaan. Dalam pada itu, pihak polis juga menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Sekysen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh atau menyamar sebagai penjawat awam.
Ibu bapa kepada budak berusia 14 tahun itu juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihak polis. Budak berusia 14 tahun itu juga telah ditahan reman oleh pihak polis.
Budak 14 Tahun Menyamar Rupanya Ada Gangguan Fikiran
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, siasatan awal mendapati budak berusia 14 tahun itu bertindak menyamar kerana dipercayai mengalami gangguan fikiran.
Katanya, buat masa sekarang masih tiada motif dan budak 14 tahun itu telah pun dirujukkan ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri. Remaja itu juga telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat sementara kertas siasatan dilengkapkan.
Budak 14 Tahun Itu Pernah Jalani Rawatan Psikiatri!
Pihak polis juga mengesahkan budak berkenaan pernah mendapatkan rawatan psikiatri di sebuah hospital pada Mac lalu. Bagaimanapun, disebabkan tidak mendapatkan rawatan lanjut, budak 14 tahun itu kemudian mengalami gangguan fikiran dan emosi.
Perkara tersebut disahkan oleh keluarga budak tersebut dalam satu soal siasat. Pada masa yang sama, pihak polis juga akan mendapatkan laporan penuh (rekod rawatan psikiatri) budak tersebut.
Pihak polis juga mendapati budak 14 tahun itu juga sudah tidak bersekolah dan buat masa sekarang, dia akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi sesi kaunseling sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
Budak 14 Tahun Menyamar Tidak Rawat Pesakit
Perkembangan terkini kes ini, budak 14 tahun itu tidak melakukan sebarang prosedur atau merawat mana-mana pesakit di hospital berkenaan. Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, budak 14 tahun itu hanya bergerak di dalam fasiliti hospital berkenaan.
Menurut Lukanisman, budak 14 tahun itu tidak mempunyai kemahiran dalam perubatan dan dia hanya bergerak ke sana dan ke sini di hospital berkenaan.
Kes ini menerima perhatian meluas daripada media dan warga Malaysia. Terdapat perbincangan yang meluas mengenai kelemahan sistem keselamatan hospital dan keperluan untuk memperbaiki prosedur pengesahan identiti untuk melindungi pesakit.
Banyak juga yang mempersoalkan sistem keselamatan di hospital berkenaan dan mereka menyalahkan pihak hospital. Bagaimanapun, banyak sebenarnya perkara yang perlu dipertimbangkan dalam kes ini. Apapun, diharapkan dengan kemunculan kes seperti ini, semua pihak akan lebih berhati-hati dan meningkatkan sistem keselamatan mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pakaian Tema Retro Kanak-Kanak: Idea Kreatif Dan Fesyen Yang Menawan Untuk Anak Anda!
Baca juga: 10 Tempat Menarik Sambut Birthday Di Sekitar Kuala Lumpur & Selangor, Rancang Kejutan Anda Sekarang!