Jenayah buli siber kini menjadi kebiasaan dalam kalangan pengguna media sosial. Hal ini berlaku disebabkan mereka bebas melontarkan komen dan pandangan negatif tanpa menghiraukan keadaan emosi mangsa.
Lebih memburukkan keadaan, mereka yang gemar melakukan jenayah buli siber sering menyembunyikan identiti di sebalik akaun palsu sehingga sukar mengesan pemilik ynag sebenar.
Mangsa buli siber tidak tahan dengan komen negatif dan melampau oleh netizen
Menurut laporan MalaysiaKini, seorang pemilik akaun TikTok populor telah meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital dari rumahnya di Subang Jaya, Selangor beberapa hari yang lalu.
Hal ini berlaku selepas dia dikatakan telah menerima begitu banyak komen kebencian (hate comments) di akaunnya.
Mangsa siber buli itu merupakan ibu kepada tiga orang anak, Shashikala Nadarajah berusia 44 tahun sering menerima komen tidak baik selepas dia berkongsikan mengenai penampilan serta koleksi beg tangannya.
Beberapa pengguna TikTok yang lain turut menyalahkannya kerana diganggu secara seksual, melalui komen pada video yang dikongsi bersama pengikutnya.
Pihak polis berkata Shashikala dipercayai cuba membunuh diri sebelum dia dikejarkan ke hospital sekitar jam 11.45 malam pada 6 Ogos yang lalu.
”Ketika dibawa oleh keluarganya ke hospital, mangsa masih bernafas. Namun telah disahkan meninggal dalam perjalanan,” jelas Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Hasil siasatan awal mendapati bahawa si mati mengalami sejarah tekanan perasaan dan menerima rawatan di salah sebuah klinik swasta Petaling Jaya.
Pemeriksaan di tempat kejadian dan fizikal si mati telah dibuat, pihak polis mendapati tiada kesan berlakunya unsur-unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).
Setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh si mati mengenai dakwaan dirinya menjadi mangsa gangguan siber buli.
”Proses bedah siasat telah dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” jelas kenyataan pihak polis.
Menurut seorang lagi pemilik TikTok yang populor, Rose Veronica, anak-anak Shashikala ada memberitahu bahawa ibu mereka tidak boleh bertolak ansur dengan komen negatif di akaun TikToknya.
Mangsa, Shashikala memiliki lebih 30,000 pengikut di TikTok. Dia aktif berkongsi mengenai pandangannya terhadap pelbagai topik seperti persekolahan di rumah (homeschooling), gangguan seksual dan cara penjagaan beg tangan mewah.
Video yang diterbitnya dalam bahasa Tamil dan Inggeris. Manakala video terakhir yang dimuat naik tiga hari lalu adalah mengenai dia memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).
Punca yang mendorong seseorang nekad membunuh diri adalah rumit. Isu kesihatan mental tidak semestinya berakhir dengan bunuh diri.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap bunuh diri sebagai isu kesihatan awam, tetapi ia boleh dicegah dengan beberapa langkah yang betul.
Maksud buli siber dan kesan buli terhadap mangsa
Maksud buli adalah perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ia biasanya lebih cenderung melibatkan buli fizikal bagi membolehkan mangsa yang lemah menghormati mereka yang kuat.
Manakala maksud buli siber pula merupakan perbuatan berulang dengan tujuan menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang menggunakan kemudahan komunikasi menggunakan teknologi seperti teks, emel, laman web sosial, dan internet.
Kesan buli siber ini adalah segera dan meluas memandangkan serangan pembuli bersifat berterusan dan boleh berlaku selama 24jam sehari. Sebarang komen negatif yang diterima boleh menjejaskan kesihatan mental mangsa.
Hal ini sekaligus mendatangkan trauma berpanjangan dan mangsa mungkin sukar untuk melupakan kejadian.
Maksud kesan buli siber terhadap mangsa
Disebabkan oleh buli siber ini tidak berlaku secara bersemuka, biasanya mangsa buli sukar untuk berterus-terang mengenai kejadian yang berlaku. Mereka juga berasa terhina dengan stigma masyarakat.
Antara kesan siber buli kepada mangsa termasuklah depresi, kemurungan, perbuatan melukakan yang boleh mencederakan diri sendiri hingga akhirnya tidak dapat dibendung dan mengakibatkan bunuh diri.
Kesimpulannya, jenayah secara atas talian ini mampu membahayakan emosi dan fizikal mangsa sekiranya berterusan dibuli. Harus diingat bahawa ia merupakan satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan setiap pengguna media sosial perlu menjaga batas ketika ingin melemparkan komen masing-masing.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: “Nasib Anak Datang Peluk,” Ibu Ini Beberapa Kali Cuba Bunuh Diri, Terlalu Stress
Baca juga: Kecewa Suami Kahwin Satu Lagi, Ibu Ini Ajak 3 Anaknya Bunuh Diri…
Baca juga: Remaja Terjun Bangunan Tingkat 5 Selepas Ditampar Ibu Depan Kawan-Kawan Sekolah