Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza-beza, begitu juga mengenai cara berpantang tradisional, moden atau tidak berpantang langsung.
Ia terserah kepada individu. Ada wanita yang baru melahirkan anak dijaga oleh keluarga mereka seperti ibu atau ibu mertua. Dan mereka ini dipengaruhi oleh keluarga yang menjaga mereka ketika berpantang.
Sekiranya keluarga sangat mementingkan cara berpantang tradisional maka itulah yang harus diikut dan begitu juga sebaliknya.
Bagi yang berpantang sendiri? Itu tepuk dada tanya selera. Sesungguhnya memang ada kebaikan dalam berpantang tidak kira apa cara sekalipun. Ia bertujuan untuk mengembalikan kesihatan badan.
Namun sekiranya ada cara berpantang yang diyakini memudaratkan maka ia perlulah dielakkan.
Cara berpantang selepas bersalin menurut Islam
Jadi adakah wajib untuk bertungku dan mengamalkan adat berpantang ini menurut Islam? Sebenarnya tidak sama sekali. Ini kerana, orang tua-tua kata perlu bertungku supaya rahim cepat kecut. Tapi rahim memang akan mengecut selepas anda bersalin, cuma lambat atau cepat sahaja.
Hormon oksitosin yang dirembeskan ketika penyusuan badan boleh membantu mempercepatkan proses pengecutan rahim.
Jadi dalam tempoh berpantang ini apa yang disarankan?
Cara berpantang selepas bersalin terbahagi kepada 3 iaitu wanita yang bersalin perlulah mendapat rehat yang cukup, mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang serta penjagaan luka akibat bersalin.
#1. Ibu perlukan rehat
Tidak kisahlah sama ada anda percaya dengan adat berpantang atau tidak yang pasti ibu selepas melahirkan bayi perlu mendapat rehat yang cukup. Ini bagi memulihkan semula kesihatan badan yang kehilangan banyak nutrien saat melahirkan bayi. Malah dalam tempoh ini juga ibu perlu bertenang dan sihat dari segi mental. Perubahan mendadak selepas mempunyai bayi adalah satu fasa yang sangat ‘overwhelming’.
Perasaan anda akan bercampur baur, lagi-lagi untuk ibu yang terpaksa berpantang sendiri dalam tempoh PKPB ini. Ibu kandung atau ibu mertua tiada untuk memberi pertolongan. Hanyalah suami boleh diharapkan ketika ini. Jadi bila mana bayi anda tidur, waktu itulah anda perlu berehat dan turut tidur secukupnya. Tak lama pun tak mengapa janji anda punya waktu untuk rehat seketika. Ia amatlah penting untuk kesihatan mental anda. Jika tak mendapat rehat yang cukup ada kemungkinan boleh demam dan terkena meroyan.
Baca juga: Amalan Berpantang, Adakah Ia Masih Wajar?
#2. Jaga pemakanan
Perbanyakkan nutrisi dalam pemakanan anda, jangan ambil mudah dan jangan cari alasan berpantang untuk anda elakkan pemakanan yang pelbagai. Faham waktu ini anda tentunya komited untuk mengembalikan bentuk badan sebelum mengandung, tapi jangan sampai memudaratkan anda dan bayi. Ada ibu yang serta merta ingin berdiet ketika pantang kerana berlumba-lumba mahu tampak seperti selebriti yang selepas bersalin.
Mereka pakai ‘filter’ dan bersolek saja, jangan percaya sangat. Tiada siapa terus nampak cantik dan terus sihat 100% selepas bersalin. Jadi ambil sayur-sayuran, buah buahan yang berserat tinggi sepanjang berpantang. Ia juga bagus bagi mengelakkan anda sembelit ketika ini. Minum air dengan banyak juga satu cara yang bagus menangani sembelit malah ia juga beri kebaikan untuk badan anda yang kehilangan banyak air dan darah ketika bersalin.
Jangan ikut sangat pantang larang orang tua-tua yang menghalang anda minum air banyak, takut nanti rahim kembang. Tiada bukti saintifik mengenai itu. Ingat kata Dr Amalina Bakri? Rahim kita bukan span tau boleh kembang-kembang sebab air.
#3. Jaga luka bersalin/pembedahan
Tidak kira sama ada anda menjalani proses bersalin normal atau czer. Anda perlu menjaga luka anda dengan baik. Elakkan membuat kerja-kerja berat dan lasak. Ingat anda tak mahu jahitan luka anda terbuka atau terkoyak, perit untuk anda alami waktu berpantang lebih lama tau.
Sekiranya anda mengikut pantang trasdisional, elakkan dari memakai bengkung jika anda bersalin secara czer. Selalunya ramai bidan atau tukang urut yang akan menyuruh anda memakai bengkung walaupun luka pembedahan masih tidak pulih. Ia akan membahayakan luka anda, ada potensi luka lambat sembuh dan terkena jangkitan.
Sentiasa jaga kebersihan luka, itu juga penting. Setiap kali selepas mandi ambil tuala kering atau tisu untuk anda lapkan bahagian luka sehingga kering, kemudian baru memakai seluar dalam. Jangan lupa oleskan iodin pada bahagian luka, ia dapat mempercepatkan proses sembuhan. Ada juga yang kata tak perlu, tapi terpulanglah kepada anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia