Kaki Kram Saat Hamil Kerap Berlaku Terutamanya Waktu Malam, 8 Cara Ini Terbukti Berkesan!

undefined

Kaki kram saat hamil adalah masalah biasa dihadapi kebanyakan ibu. Jika dibiarkan, ia boleh menganggu aktiviti seharian anda

Selain lenguh dan sakit-sakit badan, ramai ibu mengakui bahawa mereka kerap mengalami masalah kram kaki saat hamil. Paling menyedihkan bila ia menyerang waktu sedang tidur atau ketika berada di dalam tandas.

Krem kaki, ‘simpul biawak’ atau ‘tarik mengkarung’ adalah antara istilah yang popular dalam kalangan ibu mengandung.

Kaki kram saat hamil, apakah punca kaki kejang?

Selalunya gejala krem kaki atau simpul biawak ini kerap menyerang pada bahagian betis. Selain kekejangan, wanita hamil juga mudah berasa lenguh pada kaki terutamanya pada waktu tidur malam.

Apabila kandungan semakin membesar, rasa lenguh dan kejang kaki ini biasanya semakin kerap terjadi disebabkan oleh pertambahan berat pada ibu mengandung. 

Cara hilangkan cramp kaki

Hanya yang pernah alami saja tahu berapa peritnya bila berdepan kaki kejang. Kadangkala, ketika sedang mencuba kasut baharu atau selipar baharu pun boleh tiba-tiba kena simpul biawak ini tau!

Ia memang tidak lama, tetapi bila terjadi siksa rasanya kerana jari kaki menjadi bersimpul secara tiba-tiba. 

Penyebab kaki kram saat hamil

Pakar Sakit Puan Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi Dr Wan Masliza Wan Daud, menjelaskan masalah kaki krem kerap berlaku pada ibu hamil trimester kedua dan ketiga.

Pakar perbidanan berpendapat kaki krem atau simpul biawak ini terjadi disebabkan oleh perubahan hormon kehamilan progesteron, yang memberi kesan kepada otot kaki.

#1. Asid dalam serat otot

”Kaki cramp berlaku disebabkan asid yang terkumpul dalam serat otot, yang membuatkan otot menjadi kejang. Ia terjadi secara tiba-tiba pada waktu malam terutamanya apabila sedang tidur atau cuaca sejuk.”

”Ada sesetengah ibu kerap mengalami kaki cramp ketika sedang memandu kenderaan, menyarung seluar, berjalan menaiki tangga atau paling menyeksakan adalah ketika menukar posisi tidur,” jelasnya.

#2. Rahim semakin membesar

Selain itu uterus (rahim) yang semakin membesar memberi tekanan ke atas salur darah besar pada kaki menjadi penyebab kaki kram saat hamil.

Akibatnya ia menjadi punca kaki kejang. Sama seperti berlari, bersukan atau sekadar berdiri sepanjang hari boleh membuat otot anda letih, begitu juga kandungan yang semakin membesar.

#3. Kurang kalsium atau magnesium

Kekurangan nutrien dan garam seperti kalsium atau magnesium dalam darah turut menjadi punca kaki kejang.

Keadaan ini berlaku kerana janin dalam kandungan mengambil nutrisi yang diperlukan untuk membesar daripada badan ibu terutama pada trimester kedua dan ketiga.

#4. Kurang minum air yang mencukupi

Dehidrasi atau kekurangan cecair dalam tubuh juga dipercayai menjadi punca kenapa kaki selalu krem ketika hamil.

Biasanya ibu yang terlalu sibuk bekerja ataupun masih dalam alahan cenderung untuk kurang mengambil air mengikut saranan oleh doktor.

#5. Restless leg sydrome

Selain itu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ibu hamil mudah diserang kaki kejang atau restless leg syndrome. Antara punca kaki kejang adalah tekanan pada rahim, berdiri atau duduk terlalu lama, dan pengaruh hormon kehamilan.

Cara mengatasi kram kaki saat hamil

Memandangkan masalah kejang kaki kerap berlaku, ibu hendaklah melakukan beberapa cara mengatasi kram kaki saat hamil agar ia tidak menganggu waktu tidur dan rehat anda.

Jika tidak dapat hilangkan, mungkin cara yang dikongsikan ini dapat meredakan kesakitan yang dialami.

#1. Urutan

Cara mengatasi kram kaki saat hamil yang pertama adalah dengan melakukan urutan. Ketika diserang masalah kejang kaki atau simpul biawak, ibu cuba luruskan dan gerak-gerakkan kaki serta hujung jari.

Seeloknya pastikan hujung jari mengarah ke atas dan bahagian tumit pula mengarah ke bawah supaya melegakan bahagian otot betis.

Seterusnya, urut betis perlahan-lahan ke arah bahagian bawah kaki.

#2. Tuaman atau rendaman air panas

Cara hilangkan cramp kaki

Jika masih berasa kejang kaki atau lenguh, rendamkan kaki dalam air suam atau gunakan alat tuaman panas. Perubahan suhu ini dapat menjadikan otot lebih relaks dan mengurangkan rasa sakit pada kaki kejang.

#3. Senaman regangan

Sejak mengandung, mungkin ibu-ibu berasa lebih sukar untuk bergerak dan cepat letih. Namun, tabiat ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan kerana kurangnya pergerakan boleh menjadikan anda cenderung diserang kekejangan dan lenguh-lenguh.

Cubalah lakukan rutin senaman regangan ini kerana ia salah satu cara menghilangkan kekejangan otot kaki:

  • Regangan kaki – Cara menghilangkan kekejangan otot kaki ini paling mudah untuk anda lakukan di rumah. Berdiri satu meter daripada dinding dan unjurkan badan ke hadapan. Tangan diregangkan untuk menyentuh dinding. Pastikan tapak kaki melekap pada lantai. Tahan selama lima saat. Ulang senaman ini selama lima minit, tiga kali sehari terutamanya sebelum masuk tidur.
  • Senaman tapak kaki – Bengkokkan tapak kaki ke bawah dan kemudian tegakkan ke atas dengan cepat sebanyak 30 kali. Buat pada kedua-dua belah kaki. Kemudian, ulangi dengan membengkokkan tapak kaki ke atas sebanyak lapan kali dan ke bawah lapan kali.

Selain senaman di atas, ramai ibu hamil mengatakan aktiviti berenang juga amat sesuai dilakukan walaupun sarat mengandung sebagai cara menghilangkan kekejangan otot kaki.

#4. Betulkan postur badan

Cara mengatasi sakit betis pada ibu hamil atau kaki kejangyang seterusnya adalah dengan memastikan kedudukan badan dalam keadaan optimum.

Semasa duduk, elakkan tabiat melipat kaki supaya darah dapat mengalir ke bahagian kaki secara lebih menyeluruh.

Gerakkan sendi pergelangan kaki dan sendi jari kaki ketika sedang duduk menonton TV, makan malam atau duduk berbual.

Manakala ketika tidur, letakkan bantal tambahan di bawah kaki agar tubuh berasa lebih selesa. 

#5. Minum air yang mencukupi 

Cara mengatasi sakit betis pada ibu hamil atau tarik mengkarung yang seterusnya adalah banyakkan pengambilan air setiap hari.

Sekiranya anda jarang mencukupkan keperluan air kosong sebanyak 8-12 gelas sehari, inilah masanya untuk anda berbuat demikian.

Jika anda rasa mual atau loya minum air kosong, anda boleh juga berusaha menambah keperluan tersebut dengan jus buah-buahan (tanpa gula).

#6. Makan lebih kekacang, sayuran hijau

krem kaki ketika mengandung

Kekurangan magnesium, kalsium, dan garam galian boleh menjadi punca utama kram kaki pada ibu hamil. Ketika berbadan dua, keperluan bagi ketiga-tiga nutrien ini juga bertambah selari dengan usia kehamilan.

Justeru ubah gaya pemakanan harian kepada makanan yang bernutrisi tinggi, terutamanya kalsium dan magnesium.

Lebihkan sayuran hijau, produk tenusu, buah-buahan, dan kekacang seperti badam, dan pistachio.

#7. Minum susu dan makan makanan tinggi kalsium

Selain pengambilan makanan berkhasiat kaya kalsium dan magnesium, ibu mengandung amat disarankan minum dua gelas susu sehari.

Hal ini adalah untuk mengekalkan kesihatan bayi dalam kandungan, mengelakkan betis sakit saat hamil atau kekejangan.

#8. Stokin mencegah kaki krem

Di pasaran terdapat stokin yang mampu mencegah sakit betis saat hamil atau krem kaki. Apabila memakainya, anda akan berasa lebih selesa dan sekaligus mengurangkan simpul biawak daripada kerap berlaku.

Bahaya kram kaki pada ibu hamil

Meskipun masalah kejang kaki dianggap normal, namun tetap ada bahaya kram kaki pada ibu hamil sekiranya masalah kesakitan ini terjadi secara berterusan.

Jika anda merasakan sakit berterusan dan terdapat bengkakan pada kaki, keadaan ini tidak dianggap sebagai kejang biasa.

Sebaliknya bahaya kram kaki pada ibu hamil boleh dikaitkan dengan trombosis vena dalam (DVT).

“DVT berlaku apabila darah terkumpul pada salur darah di bahagian kaki. Walaupun ia jarang berlaku, masalah ini adalah serius dan memerlukan rawatan segera,” kata Dr Wan Masliza.

Oleh itu, pastikan anda mendapatkan rawatan awal sekiranya kekejangan atau sakit betis saat hamil masih berterusan dan semakin teruk.

Betis sakit saat hamil 7 bulan, adakah ia normal?

Kaki atau betis sakit antara masalah yang amat biasa terjadi sepanjang kehamilan. Walau bagaimanapun menurut sebuah penelitian, tekanan pada kaki meningkat ketika trimester terakhir yang boleh menyebabkan anda berdepan episod betis sakit saat hamil 7 bulan.

Jangan risau, ia adalah normal. Ramai ibu mengandung mengalaminya. Bagi mengurangkan gejala, ada beberapa tips untuk anda:

  1. Berjalan perlahan-lahan dan lakukan aktiviti ringan

  2.  Elak memanjakan diri dengan tidur sepanjang hari kerana ia menyebabkan peredaran darah tidak lancar.

  3. Lakukan senaman regangan kaki yang ringan di rumah

  4. Jangan berdiri dalam tempoh waktu yang lama

Cara hilangkan lenguh kaki waktu malam

Aktiviti yang padat waktu siang boleh memberi kesan pada ibu mengandung terutamanya ketika ingin melelapkan mata. Kebiasaannya anda mula berasa penat, lenguh kaki dan hampir keseluruhan badan.

Ada beberapa cara hilangkan lenguh kaki pada waktu malam. Antaranya ialah:

  • Tuaman. Gunakan ais yang telah dibungkus dalam plastik kemudian bungkus sekali lagi dengan tuala. Tuam pada bahagian sendi serta keliling lutut 10-15 minit. Letakkan kaki pada kedudukan yang lebih tinggi semasa menuam.
  • Rendaman garam bukit. Sediakan semangkuk air kemudian tambahkan satu senduk garam biasa ataupun garam bukit. Rendamkan kaki ke dalam air tersebut selama 15-20 minit.
  • Minuman panas. Cara hilangkan lenguh kaki waktu malam adalah minum air panas yang telah dicampur madu dan lemon atau air rebusan halia. Ia dapat merehatkan tulang dan otot tubuh badan.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Kenapa Tiada Alahan Semasa Mengandung, Adakah Ia Normal & Bayi Akan Baik-Baik Sahaja?

Baca juga: Kerap Kencing Kotor Ketika Hamil, Wanita Kongsi Petua BERKESAN Dengan Minum Air Barli

Baca juga: Kebas Tangan Ketika Hamil Dikenali Sebagai Sindrom Terowong Karpus. Ini Yang Anda Perlu Tahu

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!