Kebas tangan ketika hamil adalah salah satu keadaan di mana ia menyebabkan ibu hamil tidak boleh menggenggam tangan. Dan pastinya, buat para wanita yang pertama kali mengandung, perkara ini amatlah membimbangkan.
Mana tidaknya, tiba-tiba ada sahaja perkara baharu yang ditemui ketika hamil. Jika sebelum ini, anda boleh menggenggam tangan secara normal. Ketika hamil, tidak boleh pula.
Tidak mengapa, jangan panik ya ibu-ibu. Ini merupakan salah satu proses kehamilan yang perlu dihadapi. Yang penting, rasa kebas tangan ketika hamil itu tidak menyakitkan ataupun memberikan kesan kepada kandungan. Tapi ya lah, mungkin tidak selesa, kan?
Apa Itu Kebas?
Rasa kebas ini merupakan keadaan di mana seseorang itu akan mengalami kekurangan rasa (sensation). Kebas kebiasaannya berlaku disebabkan oleh iritasi saraf ataupun saraf periferi terhimpit.
Malah, di mana-mana bahagian badan manusia boleh mengalami rasa kebas ini dan cirinya bergantung kepada jenis serta lokasi yang terlibat. Contohnya, tangan kebas ketika hamil, cramp kaki, muka kebas ketika hamil, sakit pergelangan tangan, dan sebagainya.
Rasa kebas ini juga boleh disebabkan oleh keadaan-keadaan seperti berikut:
- Kecederaan pada saraf akibat kemalangan.
- Saraf periferi tertekan disebabkan oleh ‘herniated disc’ ataupun oleh osteophytes – yang terbentuk akibat proses degeneratif.
- Jangkitan pada saraf, seperti kayap.
- Penyakit-penyakit seperti: diabetes, migraine, multiple sclerosis, epilepsi, strok dan hypothyroidism.
- Carpal Tunnel Syndrome (saraf Median tertekan di kawasan pergelangan tangan).
- Berlakunya kekurangan vitamin di dalam badan seperti kekurangan vitamin B12.
- Kesan sampingan (side effects) ubat-ubatan contohnya: ubat penyakit tuberculosis seperti isoniazide.
- Kerosakan saraf akibat bahan toksik seperti pengambilan alkohol serta rokok.
Kebas Tangan Ketika Hamil
Rasa kebas tangan ketika hamil ini akan mendatangkan rasa kurang selesa ibu-ibu hamil yang melakukan tugasan harian di rumah ataupun di pejabat. Mereka yang mengalami simptom kebas tangan ketika hamil ini selalunya dikaitkan dengan mengalami sindrom terowong Karpus.
Simptom sindrom terowong Karpus ini kebiasaannya akan menjadi lebih teruk pada waktu malam, bagaimanapun ia juga boleh menganggu serta menjejaskan aktiviti ibu hamil pada waktu siang.
Antara simptom-simptom yang perlu diketahui adalah:
- Rasa sakit.
- Semut-semut atau mencucuk kebiasaannya di ibu jari, jari telunjuk, jari hantu.
- Separuh jari manis terasa panas.
Malah, wanita hamil yang mengalami keadaan ini juga akan berasa sakit pada bahagian tangan dan kadangkala pada bahagian di bawah lengan yang menyebabkan genggaman menjadi lebih lemah, terutamanya pada bahagian ibu jari.
Ia juga akan membuatkan jari ataupun tapak tangan menjadi kebas apabila keadaan bertambah teruk.
Sindrom itu boleh berlaku pada bila-bila masa. Tetapi kebiasaannya ia akan mula muncul pada trimester kedua atau ketiga iaitu apabila tangan ibu hamil mulai bengkak. Ini kerana apabila usia kehamilan semakin meningkat, wanita akan sering mengalami bengkak pada seluruh tangan, termasuklah pergelangan tangan, pergelangan kaki, serta tapak kaki.
Punca Kebas Tangan Ketika Hamil
Keadaan kebas tangan ketika hamil ini berpunca daripada bengkak dan peningkatan berat semasa hamil – apabila saraf utama di pergelangan tangan menjadi lebih tertekan.
Seorang Perunding Fertiliti dan Sakit Puan, Dr Salini Suhaila Nasir menjelaskan bahawa tidak semua wanita hamil mengalaminya dan anggarannya adalah berbeza di antara 20 hingga 60 peratus.
Menurutnya lagi, bagi kebanyakan wanita yang mengalaminya, rasa sakit dan kebas itu sememangnya sedikit sahaja dan ianya bersifat sementara. Malah, kebiasaannya ia akan hilang selepas ibu itu melahirkan anak.
Walau bagaimanapun, bagi sesetengah wanita hamil pula, keadaan ini berpotensi untuk menjadi lebih teruk dan berterusan selama beberapa bulan meskipun setelah melahirkan anak.
Tambah Dr Salini lagi, tekanan pada saraf yang membengkak itu sememangnya akan menjadi penyebab kepada masalah pada saraf utama yang menuju ke bahagian tangan dan seterusnya saraf-saraf kecil yang menuju ke ibu jari serta jari-jari lain.
Cara Mengurangkan Rasa Kebas Tangan Ketika Hamil
Ibu hamil disarankan untuk menukar posisi tidur jika rasa kebas tangan ini kerap terjadi pada waktu malam ketika waktu tidur. Menukar posisi tidur berkemungkinan boleh melegakan rasa ketidakselesaan yang dialami itu.
Selain itu, ibu hamil juga boleh mengelakkan daripada tidur beralaskan tangan sendiri, serta cuba mengerakkan tangan sehinggalah kesakitkan ataupun rasa kebas yang dirasai itu berkurangan serta-merta. Anda juga boleh mencuba untuk merengangkan pergelangan tangan dan jari dengan kerap sepanjang hari.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa dalam sesetengah kes, ia juga boleh menyebabkan masalah ini menjadi semakin teruk.
Ibu hamil turut disarankan untuk mengelakkan tugas-tugas yang memerlukan pergerakan tangan secara berulang seperti menaip, memandu kereta. Ini kerana aktiviti-aktiviti ini boleh menyebabkan simptom menjadi semakin teruk.
Anda juga boleh mencuba untuk duduk dengan keadaan tangan ditinggikan. Contohnya, meletakkan tangan di tempat bersandar ketika sedang duduk menonton televisyen.
Cara Merawat Kebas Tangan
Untuk merawat kebas tangan, ia perlu dilihat kepada punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Walau bagaimanapun, anda boleh mencuba cara-cara di bawah ini untuk menghilangkan kebas tangan:
#1. Kebas Tangan Ketika Hamil: Senaman Untuk Kebas Tangan.
Jikalau anda melakukan senaman khusus untuk merawat sindrom Carpal Tunnel, ia boleh membantu anda untuk mengurangkan simptom yang dialami, dalam masa yang sama dapat menguatkan otot. Selain itu, senaman seperti aktiviti regangan serta postur senaman tertentu boleh mengurangkan simptom spondylosis serviks.
#2. Kebas Tangan Ketika Hamil: Ubat-ubatan.
Anda boleh mengambil ubat anti-radang yang bukan steroid. Contohnya seperti ibuprofen ataupun aspirin. Ubat-ubatan ini boleh membantu untuk mengurangkan kesakitan yang bersifat ringan (mild) yang berlaku pada bahagian leher, tangan, dan juga bahagian tubuh badan yang lain.
Nota: Untuk ibu hamil, sila berunding dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa jenis ubat.
#3. Kebas Tangan Ketika Hamil: Menggunakan Splints/Wrist Guard.
Anda disarankan untuk menggunakan Wrist Guard untuk membantu pergelangan tangan menjadi lurus. Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan pada saraf median tangan. Anda boleh menggunakan Wrist Guar ini ketika melakukan tugas-tugasan berulang, seperti menggunakan komputer.
#4. Kebas Tangan Ketika Hamil: Ubat Topikal.
Anda boleh mengambil krim capsaicin atau tampalan lidocaine pada kulit untuk membantu melegakan kesakitkan yang bersifat ringan dan juga kesakitan yang disebabkan oleh kerosakan saraf periferal. Ubat topikal seperti Biofreeze juga boleh membantu melegakan kesakitan akibat sindrom Carpal Tunnel.
Nota: Untuk ibu hamil, sila berunding dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa jenis ubat.
#5. Kebas Tangan Ketika Hamil: Pengambilan Vitamin B-12.
Anda disarankan untuk mengambil suplemen vitamin B-12. Selain itu, anda juga boleh mengambil sumber makanan yang kaya dengan vitamin B-12, seperti:
- Ikan Salmon.
- Telur.
- Hati.
Nota: Untuk ibu hamil, sila berunding dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa jenis ubat.
Bila Perlu Berjumpa Doktor
Wanita yang mengalami tangan kebas ketika hamil, cramp kaki ataupun muka kebas ketika hamil perlu mendapatkan rawatan sesuai jika ianya semakin teruk. Dan jika anda mempunyai sebarang keraguan, boleh terus merujuk pada doktor atau ahli fisioterapi untuk mendapatkan rawatan sepatutnya yang bersesuaian.
Sekiranya sakit dan kebas itu menganggu tidur atau rutin harian ibu hamil, anda disarankan untuk TIDAK mengambil sebarang ubat penahan sakit tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bahayanya Kuman GBS Kerana Mampu Membunuh Bayi! Ini Apa Yang Ibu Hamil Perlu ‘Alert’
Baca juga: Waspada Jika Terlebih Protein Dalam Air Kencing Ketika Hamil, Ia Bawa Petanda Buruk!
Baca juga: Cyst Ovari Ketika Hamil Sering Gerunkan Ibu, Ini 8 Punca Yang Sering Terlepas Pandang
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!