Baru sahaja melahirkan anak sulung dan sempat memberikan susu badan. Tidak lama selepas itu bayi tersebut dijemput Ilahi akibat kuman Group B Streptococcus (Strep) atau singkatannya GBS. Begitu bahaya sungguh kuman GBS ini kepada bayi seperti kisah menyayat hati dikongsikan oleh doktor ini.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Bahaya kuman GBS: pernafasan laju, oksigen bayi menurun
- Ayah bayi melutut, bersujud dan meraung ‘anak aku, anak aku’
- Apa itu GBS?
Menerusi video oleh Dr Shazwanie Azeera pada akaun TikTok wanieazeera, beliau menceritakan pengalaman sewaktu ditempatkan di paediatrik di sebuah hospital. Ikuti kisah sedih dikongsikan oleh beliau.
Bahaya Kuman GBS: Pernafasan Laju, Oksigen Bayi Menurun
Doktor tersebut menceritakan, bayi yang juga anak pertama itu dilahirkan oleh seorang ibu muda secara normal dan selepas kira-kira satu jam, wanita itu memberikan susu kepada anaknya.
“Jururawat pelik tengok pernafasan laju dan mengambil bayi itu serta membawanya ke NICU (Unit Rawatan Rapi Neonatal), bayi kena CPR (bantuan pernafasan kecemasan).
“Oksigen drop teruk dan bayi itu tidak selamat serta meninggal dunia,” demikian kisah dikongsikan oleh beliau.
Ayah Bayi Melutut, Bersujud dan Meraung ‘Anak Aku, Anak Aku’
Meneruskan kisahnya, Dr Shazwanie Azeera berkata, ayah bayi tersebut kemudian berlari masuk ke NICU serta ke kawasan bayi yang kritikal.
“Ayah bayi terus melutut dan bersujud di situ, ‘anak aku, anak aku’,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, ujian darah yang telah dilakukan juga mendapati, bayi tersebut dijangkiti oleh kuman GBS.
“Ibu ini mungkin ada kuman GBS dan dia tak perasan. Bila bersalin normal dan kena pada bayi. Jangkitan ini sekejap sahaja,” katanya.
Menerusi satu hantaran di video yang lain, Dr Shazwanie Azeera kemudiannya menjelaskan serba sedikit mengenai kuman GBS untuk pemahaman pengikutnya. Jelas beliau, kuman tersebut adalah normal di dalam tubuh wanita dan sekiranya imun badan menurun dan dijangkiti, mereka akan mengalami pelbagai tanda.
“Keputihan teruk dan busuk serta gatal. Jika ke klinik waktu check-up, jururawat selalu tanya, ‘ada keputihan ok tak, bau macam mana’. Kita sahaja tahu perubahan diri kita.
“Macam mana nak tahu ada ke tak kuman, buat swab pada vagina dan akan dimaklumkan ada GBS atau tak. Bila mula antibiotik? Ikut penilaian oleh doktor pakar.
“Kalau tak cukup coverage antibiotik, sebelum bersalin bukaan 2 atau 3 cm, ada doktor pakar bagi antibiotik dan ada bagi dekat-dekat nak beranak,” ujarnya lagi.
Tambah doktor tersebut, kuman ini juga boleh menyebabkan keguguran, meningitis dan pneumonia kepada bayi.
Apa Itu Kuman GBS?
Apakah maksud GBS? Secara saintifiknya, kuman GBS merupakan sejenis bakteria yang sering ditemui dalam saluran kencing, sistem pencernaan, dan saluran pembiakan manusia. Bakteria datang dan pergi dari badan kita, jadi kebanyakan orang tidak tahu bahawa mereka sedang memilikinya.
GBS biasanya tidak menyebabkan masalah kesihatan. Bagaimanapun, ia boleh memberi penyakit pada sesetengah orang, seperti orang tua dan mereka yang mempunyai beberapa masalah kesihatan. GBS boleh menyebabkan jangkitan di bahagian badan seperti darah, paru-paru, kulit atau tulang.
Kira-kira 1 daripada setiap 4 wanita mempunyai GBS. Pada wanita hamil, GBS boleh menyebabkan jangkitan pada saluran kencing, plasenta, rahim, dan cecair amniotik.
Walaupun mereka tidak mengalami sebarang gejala jangkitan, wanita hamil berupaya untuk menularkan jangkitan tersebut kepada bayi mereka semasa atau selepas bersalin.
Kuman GBS Pada Bayi
Apabila wanita yang memiliki GBS dirawat dengan antibiotik semasa bersalin, kebanyakan bayi mereka tidak mempunyai sebarang masalah. Tetapi sesetengah bayi boleh menjadi kritikal akibat GBS. Bayi pramatang mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk dijangkiti GBS berbanding bayi cukup bulan kerana badan dan sistem imun mereka kurang berkembang.
Terdapat dua jenis penyakit GBS pada bayi iaitu:
- Jangkitan awal: berlaku semasa minggu pertama kehidupan. Bayi sering mengalami simptom dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran.
- Jangkitan lewat: berlaku beberapa minggu hingga bulan selepas kelahiran. Jenis penyakit GBS ini tidak mampu difahami dengan baik.
Antara gejala-gejalanya termasuklah:
- demam
- suhu badan rendah
- sukar untuk menerima makanan (susu)
- lesu, lenguh atau otot lemah
- sering mengantuk dan tiada respons
- kesukaran untuk bernafas
- alami kerengsaan
- gelisah
- sawan
- ruam
- juandis
- paras gula darah bayi rendah
Walaupun jangkitan GBS ini boleh meragut nyawa bayi, namun dengan rawatan segera dan optimum, ramai bayi akan sembuh sepenuhnya. Perlu diingatkan, dalam bayi yang terkena jangkitan GBS ini, 1 dalam 19 ( 5.2 %) akan meninggal dunia dan dalam yang terselamat tu, 1 dalam 14 ( 7.4%) akan mempunyai masalah jangka panjang.
Simptom GBS Semasa Mengandung
Berikut merupakan antara tanda-tanda wanita memiliki GBS ketika hamil yang penting untuk diperhatikan:
- rasa sakit atau pedih ketika membuang air kecil
- cairan berwarna kehijauan, pekat dan agak berbau
- saluran vagina mengalami keradangan
- rasa tidak selesa pada abdomen
- kerap mahu buang air kecil
Bagaimanapun, ramai wanita hamil yang dijangkiti GBS tidak akan menunjukkan tanda-tandanya. Keadaan ini kemudiannya dibimbangi akan menjangkiti bayi yang dilahirkan secara normal iaitu melalui faraj.
Disebabkan itu, pemeriksaan saringan kuman GBS adalah cara terbaik bagi menentukan sama ada wanita hamil ini telah dijangkiti kuman GBS atau tidak. Wanita yang telah dijangkiti kuman GBS akan menunjukkan keputusan positif pada ujian saringan itu dan perlu diberikan rawatan jika jangkitan itu terlalu teruk.
Cara Merawat GBS Semasa Hamil
Doktor akan membuat ujian terhadap wanita hamil bagi mengetahui sama ada dia mempunyai GBS. Jika hasil ujiannya adalah GBS positif, antibiotik intravena (IV) akan diberikan semasa bersalin untuk membunuh bakteria. Doktor biasanya menggunakan penisilin, tetapi boleh memberi ubat lain jika seorang wanita alah kepadanya.
Wanita hamil digalakkan untuk mendapatkan antibiotik sekurang-kurangnya 4 jam sebelum bersalin. Langkah ini sangat membantu untuk mengelakkan penularan GBS kepada bayi.
Doktor juga mungkin memberi antibiotik semasa bersalin kepada wanita hamil jika dia:
- bersalin lebih awal, sebelum diuji untuk GBS
- belum diuji untuk GBS dan air ketubannya pecah 18 jam atau lebih sebelum bersalin
- belum diuji untuk GBS dan demam semasa bersalin
- mempunyai jangkitan pundi kencing GBS semasa mengandung
- mempunyai bayi sebelum ini dengan penyakit GBS
Pemberian antibiotik semasa bersalin membantu mencegah penyakit GBS peringkat awal sahaja. Punca jangkitan lewat tidak diketahui, jadi tiada kaedah spesifik yang berjaya ditemui untuk mencegahnya. Penyelidik juga sedang berusaha untuk membangunkan vaksin untuk mencegah jangkitan GBS.
Bayi yang mendapat penyakit GBS akan dirawat dengan antibiotik. Ini dimulakan secepat mungkin untuk membantu mencegah masalah lebih kritikal. Bayi ini juga mungkin memerlukan rawatan lain, seperti bantuan pernafasan dan cecair IV.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Jika anda mempunyai tanda atau gejala jangkitan kuman GBS terutamanya jika anda hamil, mempunyai masalah kesihatan kronik atau anda berusia lebih daripada 65 tahun, sila hubungi doktor anda dengan segera.
Selain itu, jika anda mendapati bayi anda mempunyai tanda atau gejala jangkitan ini juga, pastikan anda hubungi doktor bayi anda dengan segera bagi mengelakkan perkara yang lebih teruk daripada berlaku.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Waspada Jangkitan Kuman GBS Ketika Hamil, Ia Penyebab Keguguran & Risiko Stillbirth
Baca juga: Ibu Diminta Waspada 4 Jenis Penyakit Kanak-Kanak Ini, Amat Membahayakan Si Manja!
Baca juga: Hati-Hati Menjemur Bayi Dalam Keadaan Telanjang Boleh Meningkatkan Risiko Kanser Kulit
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!