Begini Cara Mandi Bunga Bagi Menguatkan Semangat & Keyakinan Ibu Selepas Bersalin
Ada beberapa amalan yang boleh dilakukan bagi mengembalikan semangat dan keyakinan ibu selepas bersalin, antaranya ialah cara mandi bunga di rumah.
Disebabkan oleh tempoh perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ia mungkin menyukarkan anda untuk keluar mendapatkan perkhidmatan bagi sesi memanjakan diri setelah tamat berpantang. Justeru, kami kongsikan cara mandi bunga yang betul dan amat mudah dilakukan di rumah.
Jika dahulu mandi bunga dikatakan untuk menjauhkan diri dari perkara tidak baik, mendapatkan jodoh dan menaikkan seri wajah, namun kini amalan ini sering dilakukan bagi wanita yang tamat tempoh berpantang.
Cara mandi bunga untuk ibu selepas bersalin
Tidak dinafikan, selepas bersalin tubuh badan akan mengalami banyak perubahan seperti mudah letih, lesu, tidak bermaya dan buatkan ibu rasa kurang selesa. Bukannya tidak mandi semasa berpantang, tapi badan tetap rasa tidak segar.
Jadi apa kata anda cuba wujudkan spa sendiri di rumah bagi memanjakan diri setelah penat menguruskan anak kecil dari siang sehinggalah malam.
#1. Menggunakan bunga yang wangi dan tidak berduri
Anda boleh meminta suami mendapatkan tujuh jenis bunga berlainan warna. Haruman bunga dapat menjadi terapi dalam mengurangkan rasa stres. Khasiat yang terkandung di dalamnya juga menjadikan kulit lebih lembab dan segar. Aura bunga-bungaan ini membantu menghilangkan masalah wajah kusam.
Antara bunga yang sering digunakan untuk mandi ialah:
- Cempaka putih agar dapat mewangikan dan melembutkan badan
- Melur kuning dan putih untuk menyucikan bahagian dalaman
- Bunga kenanga untuk menaikkan seri wajah dan senang didekati
- Mawar merah untuk memberi keyakinan dan semangat kepada ibu selepas bersalin
#2. Perahan limau nipis
Kemudian, anda perlu perahkan limau nipis dan masukkan ke dalam tab mandi atau baldi yang sudah berisi air. Taburkan kelopak bunga. Anda boleh mandi seperti biasa terlebih dahulu sebelum mandi bunga ini.
Seeloknya dibiarkan semalaman dan dilakukan pada waktu pagi selepas mengurut atau bertungku. Ia hendaklah dijadikan sebagai air bilasan selepas mandi biasa.
#3. Niat ketika mandi
Seterusnya, anda hendaklah berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan berniat baik. Siraman air rendaman bunga yang pertama hendaklah dimulai dari bahagian kiri badan sebanyak 3 kali, diikuti dengan bahagian kanan. Baki air tersebut barulah disiram dari bahagian kepala sehingga habis.
Ketika mandi, ambil sedikit masa dan usahlah terburu-buru. Nikmati bau-bauan bunga segar dan harum.
#4. Setelah siap
Selepas selesai mandi, anda digalakkan untuk membiarkan air di badan kering dengan sendirinya. Anda boleh terus menyarungkan kain batik atau baju tanpa perlu mengelap bahagian tubuh. Ini adalah untuk membolehkan tubuh menyerap khasiat air bunga berkenaan.
Hukum mandi bunga menurut Islam
Dalam Islam, hukum mandi bunga adalah harus sekiranya ia dilakukan oleh orang yang mahir dalam bidangnya dan perbuatan itu tidak bertentangan dengan syariat. Maksudnya, ia tidak mempunyai unsur sihir, ayat pemujaan atau mantera bertujuan memanggil pendamping dan percaya kononnya bunga atau limau digunakan untuk mandi memiliki ‘kuasa’ menyembuhkan penyakit.
Manakala dari segi saintifik pula, ia adalah amalan yang baik. Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah, mandi bunga dapat membantu seseorang berasa lebih segar serta membantu meningkatkan seri wajah kerana khasiat yang terkandung dalam bunga diserap oleh badan.
Hal yang perlu anda tahu ialah bunga merupakan tumbuhan penyerap tenaga matahari yang baik. Butiran debunga halus yang dihasilkan kelihatan seperti bergerak dan bernyawa akibat tekanan zarah-zarah air.
Manakala deria luaran badan akan diaktifkan melalui gerakan ini lalu membantu merangsang sistem hormon badan dan akhirnya menggerakkan organ dalaman untuk bekerja dengan lebih baik.
Kini, amalan perubatan orang Melayu lama sudah menjadi ikutan masyarakat Barat. Mereka percaya bahawa cara mandi bunga yang betul dapat membangkitkan aura dalaman seseorang serta menyerlahkan kecantikan.
Bukan itu sahaja, kajian yang dilakukan oleh mereka mendapati amalan ini turut mampu meningkatkan sistem ketahanan tubuh badan, mempunyai aura unik bagi merangsang minda dan sekaligus menghilangkan bau badan.
Sumber: Pantangplus
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Keluar Rumah Seminggu Lepas Bersalin, Waspada Risiko Ini, Jangan Ingat Badan Dah Kuat!