Tidak dinafikan, hampir setiap hari akan ada sahaja resepi viral di media sosial yang mengubah cara masakan atau bahan untuk menjadi sesuatu yang mudah dan hipster. Antara salah satunya ialah cara membuat lemang menggunakan tin minuman.
Bagi individu baru pertama kali belajar, pasti anda terpikat untuk mencuba cara memasak berkenaan kerana ia lain dari yang lain dan tidak perlu bersusah payah keluar mencari buluh.
Bahaya cara membuat lemang menggunakan tin minuman
Baru-baru ini tular dalam media sosial cara membuat lemang menggunakan bekas tin minuman. Perkongsian ini telah mendapat banyak reaksi dari kalangan netizen yang dianggap ia adalah cara moden dan kreatif untuk menikmati hidangan berkenaan.
Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan sehingga 9 Jun ini, pastinya para ibu mencari jalan mudah dalam menyediakan menu masakan. Bukan itu sahaja, terdapat juga individu kreatif menggunakan bahan terbuang dan digunakan semula.
Cara masak yang mudah dan cepat ini mungkin menyenangkan anda untuk mencubanya, namun mengikut pendapat seorang ahli kimia, Dr. Fatimah Salim, menjelaskan kaedah ini boleh memberikan risiko terhadap kesihatan diri.
”Dari segi saintifiknya, cara membuat lemang menggunakan semula tin minuman sebagai medium penyediaan makanan adalah sangat bahaya,”
”Memasak sesuatu dalam bekas tin tidak digalakkan kerana ia diperbuat daripada bahan aluminium, iaitu sejenis logam bersifat reaktif,” jelasnya.
Tindak balas haba dan bahan dalam tin
Ketika anda mengukus, penggunaan haba yang tinggi ketika memasak akan merangsang bahan masakan untuk bertindak balas dengan bahan di dalam tin berkenaan.
Kandungan bahan aluminium tinggi dalam badan boleh menyebabkan masalah kesihatan saraf, tulang dan otak. Bukan itu sahaja, autism dalam kalangan kanak-kanak dan penyakit Alzheimer.
Bagi sesetengah individu yang sensitif dan mempunyai masalah perkumuhan bahan aluminium, ia berpotensi untuk mendapat masalah kesihatan.
Dalam hal ini, tin minuman digunakan secara meluas sebagai salah satu teknik pembungkusan makanan atau minuman yang selamat, tetapi ia tidak dicipta untuk digunakan semula sebagai bekas memasak.
Jika masakan tidak menjadi, anda boleh berkongsi mengenainya di dalam kumpulan Facebook. Namun jika masakan tidak selamat, ia boleh membahayakan kesihatan!
Dalam keseronokan anda memasak dan mencuba pelbagai resepi baharu, sentiasa pentingkan keselamatan makanan sebelum dihidangkan untuk santapan seisi keluarga.
Ada perbezaan ketika menggunakan tin aluminium, kuali dan peralatan memasak
Dalam peralatan memasak, ia diperbuat daripada aluminium. Namun bezanya adalah menggunakan aluminium oksida yang sangat stabil. Oleh itu, lapisan ini akan menghalang hakisan aluminium daripada bercampur dengan bahan masakan.
Manakala tin minuman pula tidak mempunyai lapisan seperti ini kerana pembuatan tin adalah menggunakan lapisan yang sangat nipis. Daun pisang yang diletakkan ketika memasak lemang dalam tin minuman mungkin boleh digunakan sebagai pembalut.
Walau bagaimanapun, anda tidak mampu untuk menghalang jumlah aluminium yang akan terhakis.
Bahan-bahan pembuatan tin ini adalah tidak sama dengan bahan yang terdapat dalam kuali atau periuk di rumah meskipun dari kandungan sama. Kemungkinan adanya bahan tambahan lain seperti cat dan tulisan di tin minuman akan terhakis dan sekaligus menjadi ”perisa tambahan” terhadap lemang.
Menyediakan hidangan lemang ketika bulan Ramadhan dan menjelang Aidilfitri sememangnya dapat meneruskan tradisi Melayu. Namun, janganlah pula anda mencuba cara masakan yang boleh membahayakan kesihatan diri sendiri.
Tidak hanya cara memasak, penyediaannya juga perlu mengambil kira aspek kebersihan dan bahan-bahan membuat lemang seperti kuantiti santan serta beras pulut.
Justeru, elakkan memasak menggunakan bekas tin minuman bagi menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga.
Sekiranya anda teringin menikmati lemang, gantikan tin minuman menggunakan cawan kertas atau tempah sahaja melalui penjual lemang buluh. Di samping itu, ibu ayah juga mampu membantu orang lain meningkatkan pendapatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.
Sumber: Fatimah Salim
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comresepi-ketupat