Patutlah Selalu Bocor, Rupanya Ibu Ayah Tak Pakaikan Lampin Bayi Betul-Betul, Ini Caranya!

Dengan kehadiran si manja kini, setiap perkara harus dilakukan dengan teliti dan betul termasuklah cara pakaikan lampin bayi.

Menjadi ibu bapa baru memang menakutkan! Setiap aspek dalam penjagaan si manja perlulah diteliti dan dilakukan dengan betul, terutamanya dengan cara pakaikan lampin bayi supaya anda boleh mengelak dari masalah seperti kebocoran.

Jadi, amat penting untuk ibu bapa memastikan anda mempunyai persediaan lengkap yang diperlukan untuk menukar lampin si manja serta mengetahui tips-tips yang berguna untuk memudahkan proses penukaran lampin tanpa menghadapi “letupan” yang tiba-tiba.

Cara Pakaikan Lampin Bagi Bayi Baru Lahir

Dengan kehadiran cahaya mata baru, anda pasti akan berdepan dengan situasi menukar lampin dengan kerap. 

Tetapi, tentulah anda lebih tahu proses penghadaman si manja anda. Ada sesetengah bayi yang hanya akan membuang air seminggu sekali, manakala ada juga bayi yang akan membuang air sejurus selepas penyusuan.

Walau apa pun, menukar lampin si manja memanglah bukan suatu tugas yang terlalu menyeronokkan, tetapi ia adalah kemahiran yang perlu anda ada supaya si manja tidak berada dalam ketidakselesaan bagi durasi yang terlalu lama.

#1. Sentiasa bersedia dengan barangan menukar lampin

Walaupun senarai barangan menukar lampin tidaklah terlalu panjang, ia menjadi satu latihan yang bagus bagi para ibu bapa untuk bersedia dengan awal. Di dalam bilik si manja, sediakan sebuah diaper change station atau tempat penukaran lampin supaya ianya lebih mudah bagi anda dan si manja.

#2. Permukaan yang rata

Dalam tempat penukaran lampin ini, anda perlulah mempunyai permukaan yang rata. Tidak kiralah jika anda menggunakan permukaan meja, rak atau memang menggunakan meja yang khas bagi penukaran lampin. Ini lebih memudahkan urusan anda supaya anda tidak perlu membongkok terlalu kerap ketika menukar lampin bayi.

#3. Lampin (…sudah terang lagi bersuluh!)

Kredit: Shutterstock

Bagaimana anda hendak menukar lampin sekiranya tempat penukaran anda tidak mempunyai stok lampin? Untuk mencapai lampin dengan lebih mudah, anda boleh mengeluarkan semua lampin dari bungkusan dan susun dengan kemas di bahagian penyimpanan meja penukaran lampin bayi.

#4. Tisu basah

Anda akan banyak menggunakan tisu basah dalam proses menukar lampin si manja, jadi eloklah untuk anda membeli dalam kuantiti borong atau beli yang mudah isi semula. Tetapi kimia dalam tisu basah boleh menjadi terlalu kasar untuk bayi jadi sekiranya si manja anda mempunyai kulit yang sensitif, anda boleh gantikan ia dengan kapas-kapas lembut.

#5. Krim

Ruam lampin adalah normal bagi setiap si kecil, jadi sudah menjadi tanggungjawab si ibu dan ayah untuk memastikan mereka mempunyai krim yang dapat mengurangkan ruam pada bahagian punggung dan celahan peha si manja.

#6. Kain alas kalis air

Kadang-kala, akan ada insiden yang tidak diingini akan berlaku oleh sebab si manja masih tidak dapat mengawal saluran kencing atau saluran usus mereka dan ia boleh menjadi susah untuk dibersihkan, jadi memang sangat wajar bagi para ibu untuk mengalas permukaan meja penukaran lampin dengan kain yang kalis air supaya mudah dibersihkan.

#7. Sentiasa memegang si manja

Kini anda sudah menyediakan barangan yang paling penting dalam menukar lampin si manja, anda boleh mula dengan penukaran lampin anak anda. Pastikan sebelah tangan anda sentiasa memegang si manja.

  • Angkat kedua-dua kaki bayi menggunakan sebelah tangan anda supaya punggung mereka terangkat.
  • Gunakan sebelah tangan lagi untuk menyapu najis yang berada pada punggung bayi sehingga bersih menggunakan bahagian hadapan lampin yang sudah kotor dan letakkan lampin tersebut di tepi.
  • Lapkan punggung si manja menggunakan tisu basah atau kapas yang telah dilembapkan. Pastikan anda mengelap dari hadapan ke belakang untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
  • Alas punggung si manja dengan lampin yang bersih. Bagi bayi lelaki, pastikan kemaluan mereka menghadap ke bawah supaya tiada air kencing yang terpancut dari bahagian atas lampin.

#8. Berinteraksi dengan anak anda

Sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa proses penukaran lampin bayi ialah waktu yang sempurna untuk mereka berinteraksi dan berkomunikasi dengan si manja. Ini kerana anda berada pada ketinggian yang lebih tinggi dari si manja, jadi anak anda pasti akan melihat muka anda dan mendengar suara anda apabila anda berkomunikasi dengan mereka.

#9. Jangan menutup tali pusat mereka

Bayi yang baru lahir mempunyai tunggul tali pusat yang akan jatuh selepas seminggu atau dua minggu. Dalam pada waktu itu, pastikan anda tidak menutup tunggul tali pusat tersebut menggunakan lampin. Buatkan lubang kecil atau lipatkan lampin supaya ia tidak menutup bahagian pusat si manja.

Sebenarnya, menukar lampin si manja bukanlah satu proses yang terlalu sukar. Malah, ia adalah satu cara yang bagus untuk anda merapatkan hubungan antara si manja dan diri sendiri. 

Jadi, kami berharap anda dapat memperoleh sedikit manfaat dari artikel kami kali ini.

Semoga berjaya!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: WebMD

Gambar: Kelabmama

Baca juga: Ibu Menyesal Bayinya Mati Lemas Di Atas Meja Salin Lampin, Ibu Ayah Take Note!