Bila raya nanti pasti si kecil menjadi perhatian orang ramai menciumnya. Jangan risau, ada cara sopan elak orang cium bayi sesuka hati.
10 Cara Sopan Elak Orang Cium Bayi Sesuka Hati
Beberapa tips ini boleh dipraktikkan oleh ibu ayah bagi mengelakkan anak-anak dijangkiti penyakit.
Biarlah orang kata ‘terpaling’ mak sekali pun, asalkan kesihatan bayi terjaga dan kita pun tidak sengsara menanggungnya.
1. Tetapkan Sempadan
Adakalanya masih ada lagi orang yang tak faham bahasa. Lebih baik tetapkan sempadan yang jelas dengan adik-beradik atau keluarga.
Ini termasuklah sentuhan fizikal seperti mencium bayi. Beritahu dengan cara yang sopan tetapi tegas supaya mereka beringat.
2. Guna Tanda Atau Simbol
Selain itu, cara sopan elak orang cium bayi adalah dengan menggunakan tanda atau simbol. Contohnya, guna isyarat bukan lisan seperti mengangkat tangan atau berundur secara perlahan-lahan apabila ada orang terdekat yang ingin menghampiri dan mencium bayi.
Cara yang halus ini biasanya berkesan dalam masa yang sama tidak mengecilkan hati orang lain.
3. Lindungi Bayi Dengan Selimut
Walaupun rasa geram tengok bayi comel dan bambam, elak menggomol atau menyentuh pipinya kerana antibodi si kecil masih lemah.
Sentuhan kulit ke kulit akan menyebabkan risiko jangkitan virus lebih tinggi. Ada baiknya jika gunakan kain kecil atau selimut untuk lindungi bayi daripada orang menyentuh atau mencium secara terus.
4. Amalkan Penjarakan Sosial
Ambil langkah berjaga-jaga untuk mengekalkan jarak dengan orang ramai yang mungkin ingin mencium bayi, terutamanya apabila berkumpul ramai-ramai dalam satu kawasan rumah.
5. Berbudi Bahasa
Ucap terima kasih kepada tetamu yang hadir atau berminat dengan bayi sambil menetapkan peraturan dengan lembut.
Kalau boleh tetamu hendaklah meminta izin sebelum menyentuh anak, mencuci tangan dan menjarakkan diri dari bayi jika tidak sihat.
6. Educate Atau Didik Orang Sekeliling
Cara yang paling mudah adalah dengan mendidik orang sekeliling. Terangkan dengan jelas apa dan sebab-sebab anda melarang bayi dicium. Bukannya soal kedekut atau apa tetapi demi melindungi kesihatan bayi. Yang menghadap anak sakit nanti bukannya mereka tetapi ibu bapa.
Mereka pasti akan lebih mudah faham dan menerima daripada anda terus menengking tak tentu pasal.
7. Gunakan Baby Carrier Atau Wrap
Sistem imun bayi newborn adalah sangat lemah jika hendak dibandingkan dengan sistem imun orang dewasa. Oleh itu, penggunaan baby carrier atau wrap sangat membantu untuk mengelakkan bayi digomol dan dicium.
Mononucleosis adalah penyakit berjangkit yang disebarkan melalui air liur. Sebab itulah, ibu bapa sentiasa berhati-hati supaya bayi tidak dicium orang sembarangan.
8. Alihkan Perhatian
Ada banyak lagi cara lain untuk mereka tunjukkan rasa sayang kepada si kecil. Jika ada seseorang yang ingin mencium bayi , ajak mereka untuk berborak atau bermain dengan bayi dengan cara yang lebih mudah. Cara ini jauh lebih selamat daripada mencium pipi.
9. Pilih Persekitaran Selamat
Pilih persekitaran yang orang tidak ramai atau mereka yang mempunyai bayi sama seperti anda. Mereka lebih tahu menjaga batas dan menghormati pandangan.
Tidak perlulah anda menjelaskan panjang lebar perkara yang sama berulang kali.
10. Buat Tidak Tahu
Setiap keluarga pasti mempunyai cara tersendiri untuk elak bayi dicium orang ramai. Salah satunya dengan teknik tampal notis pada dahi bayi.
Ia mungkin kelihatan kelakar tetapi anda akan mendapati bahawa orang sedar dan sedia maklum. Secara tidak langsung akan menghormati privasi ibu.
Kadangkala cara ini juga berkesan dan mengelakkan orang lain berani mencium bayi. Apa yang lebih utama adalah kesihatan dan keselematan anak kita sendiri supaya terhindar dari segala penyakit yang boleh meragut nyawa.
Buat ibu-ibu di luar sana, berhentilah rasa bersalah apabila setiap kali perlu melarang orang lain mencium bayi. Tergamakkah kita melihat anak kecil menderita kesakitan hanya disebabkan satu ciuman?
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Wahai Ibu Ayah, Ketahui Bahaya Tabiat Mencium Bibir Bayi, Ini Sebabnya
Baca juga: Anda Demam Selesema? Tolong Jangan Cium Bayi Saya!
Baca juga: “Tolonglah Jangan Sentuh Atau Cium Bayi Saya!” – 5 Perkara Anda Patut Buat Bila Dekat Dengan Bayi!