Macam mana nak buat anak cepat mengantuk? Hmm…
Dari hari pertama kita jadi ibu atau ayah, membuatkan anak cepat mengantuk dan cepat tidur adalah antara tugas paling mencabar.
Ramai antara kita menyangka yang sebaik sahaja anak kecil itu mula membentuk rutin tidur, tugas kita untuk membuatkan mereka cepat mengantuk akan jadi semakin mudah.
Malangnya, itu bukanlah apa yang akan terjadi.
Apabila bayi anda membesar jadi kanak-kanak, anda akan perasan yang untuk membuatkan mereka masuk tidur di waktu malam masih lagi jadi satu tugas yang mencabar. Tapi, itu bukanlah salah mereka.
Tapi, itu bukanlah salah mereka.
Ketahuilah bahawa dengan latihan tidur dan nasihat dari pakar, masalah ini dapat anda selesaikan dengan mudah.
4 Cara Untuk Buat Anak Cepat Mengantuk
Katie Hurley, Pekerja Sosial Klinikal Bertauliah dan Psikoterapi, penulis buku, dan pemilik laman web Practical Parenting mencadangkan anda mencuba 4 strategi berikut.
Ia dapat membantu untuk membuatkan anak anda cepat mengantuk dan lekas masuk tidur.
1. Bercerita kisah yang menenangkan
Katie menyatakan dengan bercerita dan menggunakan imaginasi si kecil anda, ia akan membuatkan anak anda senang tertidur.
Kunci utamanya adalah anda perlu memastikan si kecil itu kekal selesa dan ikut berimaginasi sambil mendengar anda bercerita.
Hurley akan meminta anak perempuannya memilih satu destinasi (selalunya dunia awan, atau dunia fantasi), dan dia akan mula bercerita selama lima minit, bermula dari situ.
Dia juga akan meminta anaknya menutup mata, berbaring di katil yang lembut, dan menarik nafas perlahan.
Tetapi, Katie juga menerangkan yang langkah ini mungkin sukar sedikit jika anda mempunyai anak yang ramai dan berlainan umur.
2. Ajak mereka mewarna
Anda mungkin terkejut mendengar cadangan daripada pakar psikoterapi ini. Tapi, mari kita dengar dulu penjelasan darinya.
Menurut Katie, mewarna adalah satu cara berkesan untuk menghilangkan rasa stress. Jika ia berkesan untuk orang dewasa, ia juga pasti efektif untuk kanak-kanak.
Kuncinya adalah anda perlu tahu bila untuk menggunakan teknik ini. Katie menyarankan supaya anda mencubanya selepas anak anda mandi malam.
“Apabila anak saya selesai mandi dan memakai baju tidur, mereka akan melukis dan mewarna sebelum masuk ke bilik tidur masing-masing. Ia adalah cara yang terbaik untuk menenangkan mereka sebelum tidur.”
Cubalah! Ia mungkin dapat membantu menenangkan anak yang hiperaktif dan memudahkannya untuk masuk tidur.
3. Membaca buku dengan suara yang kuat
Selalunya, ibu bapa akan membiarkan anak mereka membaca buku dengan sendiri pada waktu malam.
Tetapi, Katie mencadangkan anda supaya membacakan buku kepada anak anda, dengan tujuan untuk membuatnya cepat terlena.
Peluk si kecil anda, biarkan mereka menutup matanya, dan minta mereka mendengar cerita yang akan anda bacakan kepadanya.
Ia adalah antara cara terbaik untuk menenangkan pemikiran mereka. Malah, suara ibu ayah adalah satu teknik penenang yang berkesan buat anak kecil.
Jadi, luangkanlah sedikit masa dan bacakanlah kepada mereka kisah menarik di waktu malam.
Ia bukan sahaja membuatkan anak anda cepat terlena, malah mengeratkan lagi hubungan antara anak dan ibu bapa.
4. Bermain pasir kinetik
Ya, anda tidak tersalah baca! Mungkin pada pandangan anda, ia bukanlah satu cadangan yang praktikal dan berkesan.
Tetapi, Katie menerangkan sebaliknya!
“Bermain pasir kinetik sangatlah menenangkan dan bersifat terapeutik. Menggunakan tangan untuk menggerakkan pasir dan membuat pelbagai bentuk dapat memperlahankan pernafasan mereka dan menenangkan pemikiran anak kecil.”
Untuk mengelakkan mereka dari terlampau teruja dan keadaan waktu malam semakin huru-hara, pastikan anda melakukannya secara teratur.
Isi pasir dalam bekas kecil dan masukkan sekali objek lain seperti kulit kerang, batu kecil atau guli. Berikannya juga sudip atau garfu untuk dia bermain dengan pasir tersebut.
Jika ia masih kedengaran seperti terlalu tidak praktikal buat anda, Katie mencadangkan anda menggunakan aplikasi mobil, iZen Garden app, sebagai alternatif!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
3 Tip Bagi Anak Senang Tidur Awal Setiap Malam Untuk Elak Penyakit