Carta Pergerakan Janin, Ini Cara Mengira & Mencatat Pergerakan Bayi Dengan Betul
Carta pergerakan janin antara perkara yang penting untuk ibu mengandung catat. Ia adalah untuk mengesan sesuatu yang tidak normal pada bayi
Carta pergerakan janin adalah ‘kerja rumah’ yang diberikan doktor dan jururawat kepada setiap ibu yang sedang mengandung iaitu perlu dilengkapkan di dalam buku pink atau buku merah Rekod Kesihatan Ibu.
Bagi ibu yang pernah beberapa kali bersalin, mungkin tidak menghadapi masalah untuk mengira tetapi bagi yang pertama kali, mungkin tidak tahu cara pergerakan janin anda.
Pergerakan janin ini perlu dikira apabila usia kandungan memasuki minggu ke-28 minggu atau 7 bulan. Doktor dan jururawat akan menasihatkan mengira pergerakan sebanyak 10 kali sehari.
Isi Kandungan
Bilakah Anda Mula Merasakan Bayi Bergerak?
Saat yang sentiasa dinantikan dan paling ditunggu-tunggu oleh ibu hamil adalah pergerakan bayi dalam kandungan. Ia merupakan momen terindah yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Tetapi bilakah saat yang dinanti ini akan tiba? Tentu anda sangat teruja bukan untuk mengetahuinya.
Ibu hamil akan mula merasakan pergerakan bayi apabila usia kandungan memasuki minggu ke 18 dan 22. Sesetengah wanita hamil juga boleh merasakan gerakan yang lebih iaitu pada minggu ke-14 usia kehamilan. Sebelum daripada usia ini, agak sukar untuk mengesan pergerakan bayi oleh sebab keadaan fizikalnya masih kecil dan jauh ke dalam rahim.
Untuk wanita hamil yang kurus dan langsing, anda mungkin akan dapat merasakan pergerakan yang lebih besar ketika bulan 4 usia kehamilan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar wanita hamil tidak menyedari pergerakan seperti rasa denyut dan gerakan seolah-olah seperti seperti gas sehingga memasuki usia kandungan ke 5 bulan.
Walaubagaimanapun, kedudukan plasenta juga memainkan peranan untuk anda merasai pergerakan janin. Jika ia berada di hadapan, kedudukannya menyebabkan anda mengambil masa yang lama untuk anda mengesan pergerakan bayi anda.
Apa Anda Akan Rasa Bila Bayi Menendang Atau Bergerak
Tendangan bayi anda mungkin dirasakan seperti denyutan ketika anda sedang berasa gugup, atau seperti gelombang atau kedutan otot, cuitan atau perut sedang berkeroncong sewaktu lapar.
Malah, ia juga rasa seperti gelembung udara atau gas dalam perut yang sedang turun naik dan pergerakan ini akan terus berubah sepanjang anda hamil.
Anda akan merasai perbezaan gerakan irama dan corak aktiviti bayi di antara usia kehamilan iaitu pada usia 6 bulan, gerakan bayi lebih kepada koreografi, memasuki 7 bulan tendangan dan pukulan akan menjadi lebih kuat dan semakin berkembang pada usia kandungan 9 bulan.
Bila Anda Boleh Rasakan Bayi Bergerak?
Kebiasaannya anda boleh merasakan baby anda bergerak pada:
#1. Berehat pada waktu malam
Pada masa ini anda akan lebih mudah merasa pergerakan bayi anda kerana anda tidak melakukan sebarang aktiviti.
#2. Selepas makan
Makanan yang anda ambil akan bertukar menjadi gula dalam darah yang akan memberi tenaga lalu merangsang bayi anda bergerak dengan aktif.
#3. Ketika berasa gugup
Kesan adrenalin yang dihasilkan semasa ibu gugup akan memberi kesan tenaga yang lebih kepada bayi untuk bergerak.
#4. Bila bayi sedu
Bayi tersedu juga akan membuatkan anda merasa pergerakannya. Selalunya ia akan berlangsung selama beberapa minit.
Apakah Maksud Bayi Super Aktif Dalam Kandungan?
Adakalanya anda akan merasa tendangan yang kuat dan bayi anda akan bergerak dengan agak kerap. Jangan risau kerana itu menunjukkan bahawa bayi anda dalam keadaan normal, sihat, keperluan nutrisi dan oksigennya juga mencukupi. Pergerakan ini juga boleh berbeza-beza dan anda juga dapat merasakannya dengan cukup jelas. Memasuki usia kehamilan trimester ketiga anda akan merasai pergerakan bayi dengan lebih jelas dan kuat.
Sebab Pergerakan Janin Berkurangan
Perubahan pergerakan janin juga akan berkurangan atas sebab-sebab tertentu tetapi masih lagi dalam keadaan normal. Antara sebabnya adalah:
#1. Selepas melakukan hubungan seksual
Pergerakan semasa melakukan hubungan seksual turut menyebabkan perut bergoyang dan bayi dalam kandungan terganggu.
#2. Trimester kedua
Kebiasaanya pada trimester kedua ini pergerakan janin sudah aktif namun ada waktunya pergerakannya sedikit berkurang. Ini adalah disebabkan oleh kedudukan janin yang menghadap ke dalam atau anda tidur pada waktu yang paling aktif dia bergerak.
#3. Trimester ketiga
Pada masa ini bayi lebih banyak berehat dan kerap tidur.
Cara Kira Pergerakan Bayi Dengan Betul
- Bermula jam 9 pagi setiap hari kerana pada masa ini, anda selalunya sudah bangun dari tidur dan telah memulakan aktiviti harian.
- Kira jumlah pergerakan dalam tempoh 12 jam bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam. Dalam tempoh 12 jam ini, perlu ada 10 gerakan kuat.
- Satu pergerakan yang kuat dan diikuti dengan pergerakan ringan tetap dikira sebagai satu gerakan.
- Waktu semasa lengkap 10 gerakan perlu dicatat. Mungkin berbeza pada setiap hari. Contohnya, hari ini bayi anda melengkapkan 10 pergerakaan pada jam 4 petang dan esoknya pula, jam 5 petang.
- Lakukannya setiap hari secara berdisiplin.
Carta Pergerakan Janin Yang Bagaimana Dikira Sebagai Tidak Normal?
- Tidak lengkap 10 gerakan dalam tempoh 12 jam. Misalnya, bayi bergerak hanya mampu capai kurang daripada 10 gerakan bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam.
- Pergerakan bayi lebih lambat seperti biasa. Contohnya, biasa pergerakan bayi dalam perutlengkap pada jam 4, 5 atau 6 petang atau pun 7 malam namun bayi bergerak sangat lambat dan hanya lengkap 10 pergerakan pada pukul 9 malam.
- Pergerakan bayi terlalu cepat daripada kebiasaan. Misalnya, pergerakan lengkap jam 11.30 pagi atau 12.30 tengah hari sedangkan hari-hari lain bilangan pergerakan mencapai 10 sekitar jam 4,5 atau 6 petang ataupun 7 malam.
- Sekiranya anda mendapati pergerakan bayi tidak normal, dinasihatkan terus ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya kerana kes seperti ini memerlukan pemantauan rapi di dalam wad. Ia bagi mengelakkan sebarang komplikasi tidak diingini.
Apa Perlu Buat Kalau Sudah Lengkap Pergerakan?
- Ibu masih perlu memantau pergerakan bayi dalam kandungan walaupun sudah lengkap 10 gerakan. Contohnya pergerakan bayi lengkap pada jam 4,5 atau 6 petang ataupun 7 dan 8 malam.
- Ibu masih lagi perlu mengawasi gerak anak dalam kandungan kerana kebiasaannya, ibu-ibu memaklumkan anak terlebih aktif pada waktu malam sehingga menyukarkan untuk tidur.
Cara Menanda Carta Pergerakan Janin Dalam Buku Pink
- Tandakan ✅ pada setiap petak yang disediakan di dalam Rekod Kesihatan Ibu.
- Jangan menampal sebarang sticker comel atau apa sahaja corak yang anda rasakan ia comel dalam kotak tersebut.
- Rekod Kesihatan Ibu diberikan kepada ibu untuk simpanan adalah dokumen rasmi kerajaan diberikan secara percuma.
- Jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadap ibu dan kandungan sepanjang kehamilan, buku pink ini dokumen penting yang diperiksa oleh doktor atau jururawat.
- Ibu-ibu dinasihatkan membawa buku ini setiap masa walau ke mana sahaja anda pergi. Jaga buku pink tersebut sebaik-baiknya.
Cara Merangsang Pergerakan Bayi Dalam Perut
#1. Baring
Cuba baring di sebelah kiri, kemudian tumpukan perhatian untuk merasakan pergerakan bayi selama kira-kira 2 jam.
Anda sepatutnya dapat merasakan bayi anda bergerak sekurang-kurangnya 10 kali. Hubungi doktor anda dengan segera jika jumlahnya kurang dari ini.
#2. Minum air sejuk atau jus oren
Minum satu gelas air sejuk atau jus oren untuk membangunkan bayi anda. Kedua-dua ini akan merangsangkan metabolisme bayi, menggalakkan pergerakan dan meningkatkan kekerapan bayi menendang dalam kandungan.
#3. Ambil makanan kegemaran
Apabila berlaku peningkatan gula dalam darah, ia dapat merangsang bayi dalam kandungan. Justeru ibu dinasihatkan tidak membiarkan perut kosong atau lapar terlalu lama jika ingin si kecil bergerak dalam perut.
Anda boleh mengambil snek ringan seperti buah-buahan potong, aiskrim, coklat, roti bakar, kekacang atau yogurt.
#4. Guna irama muzik
Dengan cara sama ibu-ibu boleh menidurkan anak dengan menggunakan muzik, anda juga boleh menggunakannya untuk menggalakkan kekerapan bayi menendang dalam kandungan. Lagu pilihan tidak perlulah jenis yang rancak atau dipasang dengan kuat.
#5. Menggosok atau menekan lembut bahagian perut dengan jari
Tahukah ibu bahawa sentuhan lembut yang dilakukan pada perut juga boleh dirasai oleh baby dalam perut? Ia menjadi salah satu teknik bagi merangsang bayi untuk aktif bergerak.
Hal ini boleh dilihat ketika doktor melakukan imbasan pada kandungan, mereka biasanya akan menggerak-gerakkan alat USG di perut bagi membuatkan bayi lebih semangat untuk bergerak. Selain itu, ibu juga boleh menekan dan menggoyangkan perut dengan perlahan. Bagi mengejutkan bayi sedang tidur, anda juga boleh pura-pura batuk.
Pastikan anda menanda carta pergerakan janin dengan betul supaya kesihatan bayi anda dapat dipantau dengan sebaiknya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat!
- whattoexpect.com (2021, Jun 23) When You’ll Feel Your Baby Move and Kick www.whattoexpect.com/pregnancy/fetal-development/fetal-movement/
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Alami ‘Hot Flashes’ Selepas Bersalin? Habis Basah Katil Semasa Tidur, Mengapa Ini Terjadi?
Baca juga: Senarai Hadiah Kahwin Yang Unik & Sangat Berguna Untuk Pasangan Pengantin Baharu
Baca juga: Umur 7 Tahun Adalah Waktu Yang Sesuai Didik Anak Berpuasa, Ini Panduan Buat Ibu