Apabila mendapat khabar bahawa disahkan hamil, pasti kita doa-doa yang baik sahaja kan? Namun apa yang akan terjadi sekiranya kita mendapat tahu kita menghidap kanser ketika hamil? Pasti banyak perkara yang kita akan fikirkan, mulalah kita akan jadi risau tidak tentu arah.
Bagi menjawab segala persoalan tentang kanser ketika hamil, kami bertanya pada Dr Mohamad Faisol Mihat, Obstetrik Dan Ginekologi (O&G) dari Pantai Hospital Klang (PHK) mengenai isu ini.
Kredit: Freepik
1. Boleh Doktor terangkan dalam isu apabila seseorang pesakit itu mengandung, apakah risiko dan komplikasi dalam kelahiran anak?
Insiden barah semasa mengandung adalah jarang berlaku.
Untuk pengetahuan umum, insiden tertinggi barah untuk wanita berdasarkan Laporan Kanser Kebangsaan Malaysia untuk tahun 2012-2016 ialah barah payudara sebanyak 34.1% diikuti barah usus (11.1%), barah cervix (6.3%), barah ovari (5.6%), barah paru-paru (5.9%), barah rahim (4.6%), lymphoma (3.8%), tiroid (3.2%), leukemia (3.0%), barah kulit (2.3%) dan lain-lain.
Berkenaan isu kelahiran anak semasa mengandung bagi wanita yang mengalami barah, ia bergantung kepada jenis barah, usia kandungan dan peringkat barah (cancer stage).
Secara umum, saya boleh katakan di sini cara bersalin bergantung kepada indikasi obstetrik dan kebanyakan wanita mengandung boleh bersalin secara normal. Kecuali dalam sesetengah kes barah pangkal rahim, bayi terpaksa dilahirkan melalui proses pembedahan cesarean
Dalam proses kelahiran, risiko yang mungkin terbabit ialah tumpah darah, jangkitan kuman seluruh tubuh badan (sepsis) jika ibu menerima rawatain kemoterapi 3-4 minggu sebelum kelahiran dan risiko kanser recurrence di bahagian episiotomy bagi kanser cervix.
2. Bagi pesakit pula, sejauh mana dalam kondisi pesakit barah ini boleh bertahan dan biasanya apakah saranan Dr dalam membantu bayi dan ibu?
Kredit: Freepik
Jika ibu mengandung disyaki menghidap barah, doktor yang merawat akan merujuk kepada hospital pakar untuk mendapat rawatan lanjut. Pesakit ini akan dilihat oleh pakar perunding untuk siasatan selanjutnya. Ia bergantung kepada jenis barah yang dihidapi oleh pesakit.
Sebagai contoh, ibu mengandung yang disyaki mengalami barah payudara, akan diperiksa oleh pakar bedah payudara.
Di samping itu, rawatan susulan pesakit adalah berdasarkan multidisciplinary approach yang membabitkan beberapa disiplin iaitu pakar perunding maternal – feto medicine, oncologist, radiation- oncologist dan membabitkan neonatologist jika bayi perlu dilahirkan pra matang.
Pakar perunding akan membuat perbincangan dan membuat keputusan sepakat untuk merawat pesakit. Ada pesakit memerlukan rawatan kemoterapi (neoadjuvant atau adjuvant chemotheraphy) dan tidak kurang pula ada yang memerlukan pembedahan segera.
Kebanyakan pesakit yang dikesan mengalami kanser peringkat awal, ibu dan bayi mempunyai prognosis yang sangat baik jika rawatan diberikan seawal mungkin.
Saranan saya kepada semua ibu-ibu, sila patuhi arahan yang diberikan doktor pakar perunding. Dapatkan maklumat yang tepat berkenaan penyakit dan rawatan keatas anda.
Wanita juga perlu berbincang dengan pasangan untuk membuat sesuatu keputusan. Pesakit boleh dapatkan rujukan kaunselor & kumpulan sokongan untuk membantu mereka dari segi psikologi.
3. Sejauh mana dengan rawatan untuk si ibu dan apakah pengambilan ubat boleh memberi kesan kepada kandungan?
Kredit: Freepik
Seperti yang diterangkan , rawatan ke atas pesakit adalah membabitkan pelbagai disiplin (multidiscipline) dan holistic. Bagi pesakit yang memerlukan pembedahan sebagai kaedah rawatan utama, ia akan dilakukan secepat mungkin.
Pembedahan diawal 3 bulan pertama adalah selamat untuk ibu sebaliknya bayi akan mengalami risiko keguguran.
Untuk pengetahuan umum, pakar perunding akan elakkan rawatan kemoterapi untuk 3 bulan pertama semasa fasa pembentukan bayi (organogenesis phase) kerana risiko kecacatan bayi sangat tinggi. Penggunaan ubatan kemoterapi selepas 3 bulan kandungan masih ada tetapi rendah.
Bayi dalam kandungan boleh mengalami terbantut pertumbuhan (fetal growth restriction), risiko kelahiran pra matang , berat lahir rendah (low birth weight), myocardial toxicity dan pancytopenia (darah merah, putih dan kuning rendah).
Risiko yang terakhir boleh terjadi jika kemoterapi diberikan 3-4 minggu sebelum kelahiran.
4. Dalam pengalaman Dr mengendalikan ibu yang sedang mengandung tetapi mengalami kanser, berapakah kemungkinan ibu itu peluang menjalani kehidupan dengan anak atau sebaliknya?
Kebanyakan pesakit yang dikesan mengalami barah diperingkat awal dan mendapatkan rawatan susulan secepat mungkin, peluang untuk mereka sembuh adalah tinggi.
Walau bagaimanapun, prognosis pesakit masih bergantung kepada jenis kanser yang dihidapi, peringkat kanser semasa diagnosis dibuat dan latar belakang kesihatan ibu itu sendiri.
Pesakit perlu membuat rawatan susulan untuk sepanjang hayat setelah mereka bersalin bagi memastikan mereka sihat dan pengesanan awal dapat dilakukan jika barah berulang.
5. Apakah bentuk nasihat segi pemakanan dan langkah penjagaan kesihatan pesakit kanser ketika mengandung?
Kredit: Freepik
Dari segi pemakanan, pesakit dinasihatkan untuk amalkan makan makanan yang sihat dan seimbang. Tiada pantang larang yang khusus untuk ibu yang mengalami masalah kanser.
Sayur sayuran dan buah buahan kaya dengan mineral, vitamin dan serat bagus untuk tubuh badan. Di samping itu, ia membantu dalam proses penghadaman. Antioksidan dalam sayuran dan buah buahan akan membantu sel sel badan untuk berkembang.
Sebaiknya jika makanan itu terdiri daripada makanan organic. Elakkan makan yang disediakan dalam tin dan makanan segera. Pengambilan multivitamin dan zat besi amat digalakkan. Pengambilan air secukupnya membantu dalam hydrasi badan.
Ibu-ibu boleh amalkan jus buah buahan segar tanpa gula untuk membekalkan tenaga. Tiada halangan untuk ibu melakukan senaman ringan seperti yoga dan berjalan.
6. Dalam kes dirawat Dr, boleh kongsikan suatu dua kes mengenai pengalaman pesakit kanser sedang mengandung?
Saya pernah terbabit secara tidak langsung dalam merawat seorang ibu mengandung yang disahkan menghidapi barah payudara.
Pada awal gandingan, beliau mendapati terdapat ketulan di bahagian payudara. Pemeriksaan lanjut telah dilakukan oleh pakar pembedahan payudara dan beliau disarankan untuk menjalani tisu biopsi (FNAC, fine needle aspiration).
Keputusan mengesahkan dia mengalami kanser payu dara peringkat kedua setelah ujian MRI dilakukan. Dia telah menjalani pembedahan mastektomi kemudian diikuti beberapa pusingan kemoterapi untuk memastikan beliau bebas dari kanser.
Bayi beliau telah bersalin secara cesarean dan didapati sihat.
Semoga artikel tentang kanser ketika hamil ini bermanfaat untuk semua.
Sumber: Artikel ini ditulis oleh Dr Mohamad Faisol Mihat, Obstetrik Dan Ginekologi (O&G) dari Pantai Hospital Klang (PHK)
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cyst Ovari Ketika Hamil Sering Gerunkan Ibu, Ini 8 Punca Yang Sering Terlepas Pandang
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!