Malang tidak berbau. Siapa sangka keriangan seorang kanak-kanak yang bermain bersama adik-beradik hampir meragut nyawanya apabila dia cedera parah akibat dilanggar oleh kereta.
Kejadian berkenaan sempat dirakam menerusi kamera dashcam oleh salah sebuah kenderaan yang diparkir tepi jalan tersebut. Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dan seriau melihat video berkenaan.
Budak cedera parah dilanggar kereta ketika melintas jalan
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Malaysia Gazette, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun telah mengalami cedera para selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya di hadapan rumahnya, Kampung Delek Kanan, Klang semalam.
Hasil keterangan dari Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian tersebut berlaku dalam pukul 5.45 petang. Mangsa telah dilanggar oleh seorang pemandu wanita berusia 21 tahun yang menaiki kenderaan jenis Perodua Kembara.
”Semasa kejadian, kanak-kanak tersebut sedang berlari bersama adik-beradiknya. Mereka berhenti di tepi jalan sementara menunggu dua buah kenderaan lalu.”
”Mangsa, Nur Kasih Dalisya Kamarul Azwan yang berdiri di tepi jalan melihat pergerakan kenderaan dari kedua-dua arah sebelumnya, namun secara tiba-tiba berlari melintas jalan.”
”Ketika itu Perodua Kembara dipandu oleh seorang wanita yang bekerja sebagai kerani terkejut dengan kemunculan kanak-kanak tiba-tersebut dan tidak sempat menekan brek kecemasan.”
Mangsa parah dan tidak sedarkan diri
Tambah Shamsul Amar, akibat perlanggaran jarak dekat itu mangsa telah tidak sedarkan diri dan terbaring di atas jalan raya.
Kemudian kanak-kanak malang itu telah dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan organ dalaman yang parah.
”Mangsa yang cedera parah telah mengalami pendarahan pada bahagian limpa dan kecederaan usus. Dia perlu dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan segera untuk rawatan pakar,” jelasnya.
Manakala pemandu wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya kenderaannya sahaja yang rosak. Kes diklasifikasikan di bawah Sekyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Elak kejadian sama berulang, ibu ayah didik anak mengenai keselamatan di jalan raya
Tidak seperti orang dewasa, anak yang masih kecil tidak memiliki pengetahuan ketika menggunakan jalan raya. Tanpa pengawasan yang rapi dari ibu ayah, anak-anak boleh membahayakan diri mereka sendiri.
Antara peraturan asas yang boleh ibu ayah ajarkan kepada anak kecil adalah:
#1. Berhenti, lihat dan lintas apabila selamat
Anak mungkin terpaksa jalan kaki untuk ke kedai atau sekolah. Kekerapan menggunakan jalan raya semakin meningkat jika rumah anda berhampiran dengan kemudahan ini.
Justeru anak perlu menyeberang jalan untuk pergi ke rumah rakan atau jiran. Ajarkan beberapa perkara ini:
- Berhenti di tepi jalan. Toleh ke kanan dan ke kiri.
- Sekiranya ada kenderaan yang lalu, tunggu ia benar-benar pergi barulah lintas jalan.
- Jangan sesekali melintas jalan yang selekoh.
- Elak menyeberangi jalan ketika waktu malam.
#2. Jangan bermain di atas jalan
Sesetengah kanak-kanak yang teruja bermain dengan rakan mereka akan ”cuba-cuba” berada di atas jalan. Justeru sentiasa ingatkan anak kecil anda untuk jangan sesekali bermain di atas jalan ketika tiada kenderaan kerana tindakan tersebut boleh membahayakan diri mereka.
#3. Menjadi contoh kepada anak
Ibu ayah hendaklah menjadi guru yang terbaik buat anak-anak. Pastikan arahan anda pendek dan jelas. Misalnya lampu isyarat merah tandanya berhenti atau ”melihat kiri, kanan, kiri”.
Jika si manja berusia bawah 10 tahun, ibu ayah hendaklah bersama ketika melintas jalan dan pimpin tangan mereka. Jangan biarkan anak berlari di hadapan anda.
Selain itu, ketepikan penggunaan telefon dan gangguan lain sewaktu menggunakan jalan raya. Tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak ketika sedang memandu atau berjalan kaki.
Pemilihan pakaian yang berwarna-warni dan terang pada waktu petang juga penting. Ini adalah untuk membolehkan pengguna jalan raya yang lain menyedari kanak-kanak sedang melintas.
Sumber: Malaysia Gazette
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Budak 12 Tahun Jatuh Basikal Maut Dilanggar Lori, Ibu Wajib Ajar Tips Keselamatan Ini!