Cepat marah dan kemurungan merupakan ciri ibu hamil stres yang boleh mendatangkan bahaya pada kehamilan. Oleh sebab itu, Hari Kesedaran Mental Sedunia diperkenalkan supaya dapat mewujudkan kesedaran tentang kesihatan mental di seluruh dunia.
Meskipun kehamilan merupakan saat yang paling indah, namun ada juga segelintir ibu yang berhadapan dengan cabaran tertentu seperti stres, kemurungan, kegelisahan, depresi dan banyak lagi.
Sebab itu, satu dalam lima orang wanita hamil mempunyai masalah kesihatan mental sama ada semasa mengandung atau selepas bersalin.
Walau bagaimanapun, apakah penyebab kepada stres ini? Adakah ia berkaitan dengan seseorang individu, peristiwa atau sebagainya yang boleh menjadi punca masalah emosi kepada wanita hamil?
Ciri ibu hamil stres, bagaimana nak mengatasinya?
Meskipun itu, ibu yang berhadapan dengan stres boleh lihat sekeliling supaya dapat mencari rangkaian sokongan yang baik sama ada dari pasangan, ahli keluarga dan kawan-kawan.
Sekiranya anda tidak suka berkongsi dengan orang terdekat, anda boleh juga mendapatkan bantuan sokongan dari penyelia penjagaan kesihatan supaya masalah tersebut dapat diatasi dengan baik.
Menurut Konsultan O&G, Dr Wong Yen Shi, bagi mengekalkan kesihatan mental, ibu hamil harus mengamalkan diet seimbang, sihat tubuh badan dan mendapat rehat serta tidur yang mencukupi.
Selain itu, dapatkan bantuan daripada pasangan, anak yang lebih tua dan ahli keluarga lain untuk melakukan tugasan rumah supaya anda boleh berehat dengan lebih lama.
Dr Wong menambah, dengan cara ini ibu boleh berehat dan membantu meningkatkan mood dengan lebih baik.
Sekiranya anda terbiasa dengan penggunaan alkohol dan merokok, adalah lebih baik untuk menghentikan tabiat ini kerana ia boleh mengganggu keseluruhan kehamilan anda.
Sekiranya keadaan anda semakin kritikal, adalah lebih baik sekiranya anda berjumpa terus dengan doktor, pakar obstetrik, kaunselor atau psikitri jika diperlukan.
Cara tangani kemurungan dan depresi
Kira-kira 1 dalam 10 ibu mengandung mempunyai gejala depresi sepanjang kehamilannya, dan jika tidak dirawat ia boleh membawa kepada kondisi yang lebih buruk seperti kemurungan selepas bersalin, postpartum psychosis dan bunuh diri.
Sementara itu, menurut Dr Wong lagi, antara gejala depresi seperti kawalan mood yang rendah, keletihan, sukar fokus, insomnia, kegelisahan, rasa bersalah yang melampau atau merasakan dirinya tidak berguna, makan berlebihan atau kurang selera makan, hilang minat kepada sesuatu benda dan sebagainya.
Sekiranya anda mendapati anda memiliki beberapa simptom ini, dapatkan bantuan dari doktor kerana rawatan kemurungan semasa hamil ini adalah berbeza dari sudut terapi dan ubat-ubatan kerana ia bergantung pada penilaian dari pakar psikiatri.
Stres mempengaruhi kesihatan janin?
Ya, sekiranya tekanan dan kemurungan sentiasa menghantui ibu hamil, ia boleh melemahkan hubungan antara seorang ibu dan bayinya selepas dilahirkan.
Satu artikel yang diterbitkan oleh Orla Conlon pada 2011 menunjukkan, hubungan antara kemurungan ibu dengan kemungkinan kesan selepas bersalin yang buruk.
Ini termasuklah berat kelahiran yang rendah, kelahiran pramatang, lilitan kepala yang kecil dan skor APGAR yang rendah (penggunaan sistem skor untuk menilai bayi baru lahir dalam masa satu hingga 5 minit).
Bahkan, kanak-kanak yang dilahirkan ibu yang mengalami kemurungan juga didapati mempunyai masalah emosi dan tingkah laku di kemudian hari!
Suami tidak memahami stres isteri semasa hamil
Sememangnya, ia akan membawa kekecewaan sekiranya suami kita tidak memahami tekanan yang sedang berlaku semasa kehamilan kerana ia boleh menyebabkan pertengkaran dan perceraian.
Namun, anda boleh mengatasinya dengan duduk dan berbincang bersama pasangan, bantu dia memahami kebimbangan dan masalah yang dialami.
Selain itu, biarkan suami tahu bahawa emosi yang mengganggu anda itu bukanlah disebabkan hormon semata-mata, dan anda memerlukan sokongan dari mereka.
Jika merancang untuk berjumpa kaunselor, minta pasangan ikut sekali supaya dua-dua mendapat manfaat yang sama.
Ubat untuk kurangkan stres dan depresi semasa hamil
Masalah kesihatan mental semasa kehamilan memerlukan pengurusan psikiatri, namun ubat-ubatan hanya diperlukan bagi kes sederhana sehingga teruk jika ibu mengalami kemurungan, kecemasan dan keadaan mental yang berisiko.
Sementara itu, rawatan sedemikian akan diputuskan sendiri oleh psikiatri dengan kerjasama pakar obstetrik kerana ada kesan sampingan yang boleh berlaku seperti maternal overdose, toxicity, kecacatan kelahiran dan lain- lain.
Namun segalanya akan diberitahu kepada ibu dan rawatan akan bermula selepas mendapat persetujuannya.
Punca tekanan semasa kehamilan
1. Mengalami keganasan rumah tangga
2. Tidak mempunyai sokongan psikososial
3. Perubahan badan semasa hamil atau peningkatan berat badan
4. Kehadiran penyakit kronik seperti penyakit jantung, gangguan buah pinggang, kencing manis, kanser
5. Masalah kesihatan mental yang lampau boleh berulang pada kehamilan anda yang sekarang.
6. Keputusan kehamilan yang memberi kekecewaan
7. Kehamilan yang tidak dirancang
Walau bagaimanapun, bercakaplah dengan pakar obstetrik anda untuk penjagaan kesihatan yang betul dan percayalah mereka akan sentiasa memastikan kesejahteraan anda dalam menangani sebarang isu di sepanjang kehamilan anda.
Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Sunway Medical Velocity, Konsultan O&G, Dr Wong Yen Shi
Baca juga