Kebanyakan ibu membawa bayi tidur bersama bagi memberikan sikecil keselesaan dan rasa selamat. Namun, adakah ia membahayakan? Jika benar, bagaimana cara mengurangkan risiko ini?
“Anak kecil mati akibat Sudden Unexplained Death Syndrome selepas merangkak masuk ke dalam selimut tebal semasa ibunya tidur”
Tidak dapat digambarkan betapa terkejut dan sedihnya seorang ibu, Kirsty Burns-Hainesborough, 24 tahun, apabila mendapati tubuh anaknya berusia 15 bulan tidak bernyawa disisi.
Akhbar Daily Mail pada 23 April yang lalu melaporkan Sienna-Louise Burns-Hainesborough dipercayai mati akibat sindrom kematian kanak-kanak secara mengejut atau Sudden Unexplained Death Syndrome (SUDS) selepas menyelinap ke dalam selimut ibunya untuk tidur bersama di atas sofa.
Apa sebenarnya berlaku?
Pada malam kejadian, Kirsty dan pasangannya, Christopher Burns, mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu selepas mendapat gangguan pada hari yang sama.
Sienna-Louise tidur bersama ayah dan kakaknya Lily di atas satu sofa yang sama dan Kirsty tidur berselimut tebal di atas sofa lain. Pada keesokan paginya, Christopher mendapati Sienna-Louise tiada di sisi. Apabila memeriksa, beliau menemui Sienna-Louise di bawah selimut tebal pada kaki ibunya, tanpa nyawa.
BERKAIT: Menangani kehilangan…
Analisis kejadian
Dalam laporan berita, ada disebutkan bahawa kedua-dua pasangan telah di nasihatkan tentang bahaya tidur bersama anak-kecil atau co-sleeping, yang dianggap sebagai punca. Namun dalam kes ini, co-sleeping bukanlah penyebabnya.
Pertama, Sienna-Louise tidak dirancang dan tidak sepatutnya berada bersama ibunya yang berselimut tebal. Kedua, tidur di atas sofa bersama bayi atau anak kecil sememangnya merbahaya. Ini disebabkan ruangnya yang sempit dan keadaan sofa yang ‘berdinding’ boleh menyebabkan bayi tersepit dan lemas antara ‘dinding’ sofa dan badan ibu. Ketiga, selimut tebal juga diketahui umum tidak sesuai untuk anak kecil dan bayi kerana boleh menyebabkan lemas jika tertutup mukanya.
Co-sleeping membahayakan?
Menurut kajian oleh Lullaby Trust (yang dulu dikenali sebagai Foundation for the Study of Infant Deaths (FSID) pada tahun 2009, risiko tidur bersama boleh meningkat terutama bagi bayi berusia dibawah 3 bulan, dilahirkan tidak cukup umur dan sama ada ibu atau bapa merokok, walaupun bukan di bilik tidur. Antara risiko tidur bersama yang dilap rkan adalah seperti berikut:
• Terperangkap di antara tilam dan kepala katil
• Terjatuh daripada katil
• Merasa panas keterlaluan dibawah selimut tebal atau di antara dua badan orang dewasa yang panas
• Lemas secara tidak sengaja jika anda terlalu penat atau mabuk atau tidak sedar disebabkan pengaruh dadah dan menghempap bayi anda
Mereka yang menentang amalan ini menambah, ibubapa akan menghadapi kesukaran kerana anak-anak mungkin tidak akan dapat tidur tanpa anda kelak.
Faedah tidur bersama
Bagi mereka yang mengamalkan tidur bersama bayi, seperti kebanyakan ibu-ibu berbangsa Melayu di Malaysia, ia bukan sahaja dapat membuatkan bayi berasa selamat dan tidur lena, ia juga membantu ibu untuk berhubung dengan bayi. Selain itu tidur malam yang terganggu kerana perlu bangun untuk menyusukan bayi di katil atau bilik yang berbeza juga dapat dikurangkan.
Menurut kajian terkini, tidur bersama boleh menyebabkan penyusuan badan lebih mudah dan lebih berjaya. Satu fakta lain pula mendapati penyusuan badan dapat mengurangkan kematian mengejut bayi sihat yang tidak dapat dipastikan punca (cot death).
BERKAIT: Penyusuan badan – cabaran dan cara penyelesainnya
Yang sebenarnya
South West Infant Sleep Study (SWISS) telah menjalankan kajian yang lebih mendalam tentang kaitan kematian mengejut pada bayi atau Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) dan tidur bersama pada tahun 2009. Ia mendapati ciri ibu yang terlibat adalah muda, tidak berhubung dengan dunia luar secara normal dan ibu merokok yang melahirkan lebih daripada seorang bayi pada satu masa.
BERKAIT: Risiko kehamilan kembar atau berganda
54% daripada kematian juga dijelaskan oleh pengambilan alkohol atau penggunaan dadah (31%) dan tidur di sofa (17%). Laporan ini menyimpulkan bahawa “… tidur bersama anak kecil dengan ketiadaan risiko lainnya tidak berbahaya dan oleh itu kajian ini tidak menyokong cadangan oleh American Academy of Paediatrics (AAP) yang melarang apa jua perkongsian katil (bersama bayi).”
Kajian oleh FSID sebenarnya tidak dijelaskan secara menyeluruh. Laporannya menunjukkan 54% bayi mati ketika tidur bersama ibubapa, namun risiko ini hanya tinggi jika ibubapa mengambil alkohol atau terlibat dengan penggunaan dadah.
Professor Peter Fleming daripada Bristol yang terlibat dengan kajian oleh FSID menjelaskan, mesej sebenar yang ingin disampaikan adalah elakkan pengambilan alkohol atau dadah dan merokok, terutama bagi ibu yang menyusukan. Melarang perkongsian katil boleh membawa padah, akibat keletihan pada ibu yang kemudiannya membawa bayi menyusu di sofa, yang mana lebih berbahaya berbanding tidur bersama di katil.
Tidur bersama dengan selamat
Jika anda mengamalkan tidur bersama bayi, pastikan beberapa perkara berikut bagi menjamin keselamatannya:
• Pastikan anda atau pasangan tidak merokok atau mengambil alkohol, dadah atau ubat yang menyebabkan mengantuk.
• Pastikan tilam yang keras dan selimut yang ringan.
• Biarkan kepala bayi tanpa apa-apa tutupan.
• Pastikan headboard dan footboard katil tidak mempunyai ruang antaranya dan tilam yang boleh menyebabkan kepala atau badan bayi terperangkap.
• Pastikan tilam muat pada katil dengan baik tanpa ruang kosong.
• Biarkan tilam kosong dan tidak penuh dengan bantal dan selimut atau lain-lain yang boleh menyebabkan bayi lemas.
• Elakkannya jika bayi dilahirkan tidak cukup umur, berat badan yang terlalu rendah atau demam.
BERKAIT: Good sleeping habits for your baby
Rujukan:
Toddler died of sudden childhood death syndrome after crawling under duvet with mother as she slept
Co-sleeping
The latest on bed sharing and breastfeeding
The truth about sleeping with baby
Apa pandangan anda sebagai ibu atau bapa tentang co-sleeping? Kongsikannya di ruangan komen di bawah 🙂