Seperti gelagat pemandu pelancong mengambil penumpang menggunakan sepanduk bagi mengecam pelanggannya di lapangan terbang, cara sama digunakan seorang datuk ketika menjemput cucunya balik dari sekolah dalam musim pandemik ini.
Mungkin buntu memikirkan sukar untuk mengecam rupa cucu yang hampir sama dengan kanak-kanak lain kerana memakai mask, datuk ini mengambil inisiatif menggunakan sepanduk bagi membolehkan cucunya mudah dicari.
Kreatifkan datuk ini? Tak perlu pening kepala nak ‘cam’ satu-satu.
Datuk kreatif guna sepanduk jemput cucu balik sekolah
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian di Bangkok, Thailand itu dikongsikan seorang pengguna Facebook.
Menerusi perkongsian Biony Bell Boonyuen di akaun Facebook, dia menunjukkan seorang lelaki di Thailand membawa sepanduk kecil semasa menunggu cucunya keluar dari sekolah.
Dia menulis, “Normal baharu. Sukar untuk kenal anak anda terutama apabila mereka semua memakai topeng muka. Inilah cara terbaik dan betul. Betapa comelnya datuk ini.”
Menurut Bangkok Post, semua sekolah di Thailand telah dibuka semula pada 1 Julai lalu dengan syarat yang perlu dipatuhi.
Peraturan kebersihan yang ketat seperti jarak sosial, memakai pelitup muka dan perlu menjalankan pemeriksaan suhu.
Sekolah bermula musim pandemik, apa yang perlu dibuat?
Kementerian Pendidikan sudah mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru membuat persediaan sewajarnya.
Ia menggariskan perkara berkenaan pergerakan pelajar bermula daripada setibanya mereka di sekolah hingga mereka pulang.
Selain peranan sekolah dan guru, penglibatan ibu bapa dan penjaga juga turut digariskan supaya mereka boleh turut membantu pihak sekolah.
Tiga tugas utama ibu bapa dan penjaga ialah :
- Meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan jangkitan Covid-19
- Membantu pihak sekolah membuat tanda penjarakan sosial dan mengawal pergerakan murid semasa datang, rehat dan balik, berdasarkan keperluan sekolah
- Membantu pihak sekolah menyediakan hand sanitiser dan alat pengimbas suhu badan (jika mampu dan berkeperluan)
Tips hantar/ambil anak balik sekolah musim pandemik
#1. Penjarakan sosial sebelum dan selepas balik sekolah
Anak kadang kala lupa bila sudah berjumpa kawan, segala pesan kita mungkin hilang bila mereka terlalu seronok berjumpa kawan.
Ingatkan mereka betapa pentingnya penjarakan sosial semasa di sekolah dan selepas balik sekolah.
#2. Nasihat anak supaya tidak berjabat tangan
Nasihat anak supaya tidak berjabat tangan (bersalaman) atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan-rakan atau orang sekeliling. Tekankan pada mereka itu penting untuk mengurangkan sentuhan. Ada cara lain untuk menunjukkan rasa hormat dan mesra kepada orang dalam musim pandemik ini.
#3. Ibu bapa ambil sendiri anak
Menggalakkan ibu bapa atau penjaga sendiri yang menghantar dan mengambil anak bagi mengelakkan anak berjumpa lebih ramai orang dan lebih ramai kontak.
Cuba hadkan perjumpaan anak dengan orang lain ini bagi mengelakkan mudahnya tersebar virus (sekiranya ada) kepada lebih ramai orang.
Tips ini juga disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
#4. Menasihati anak supaya sentiasa mengamalkan kebersihan
Di mana-mana pun, sentiasa ingatkan anak supaya menjaga kebersihan diri. Kerapkan membasuh tangan terutama sebelum dan selepas makan atau selepas membuat aktiviti tertentu.
#5. Sediakan makanan atau minuman dari rumah
Ini bagi mengurangkan pergerakan anak ke kantin untuk membeli makanan. Sediakan bekal mereka dari rumah jadi ia boleh mengurangkan pergerakan mereka semasa di sekolah.
Ini juga bagi mengurangkan kesesakan di kantin sekolah yang mana semua orang tahu bila tiba waktu rehat kantin akan jadi tempat yang sangat sesak!
Sediakan makanan yang secukupnya, atau jika mampu boleh bawa lebih tetapi asingkan bekal supaya anak tidak berkongsi rapat dengan rakan.
#6. Pastikan anak ambil sarapan sebelum ke sekolah
Jangan biarkan anak berlapar ketika ke sekolah. Pastikan mereka ambil makanan yang sesuai sebelum ke sekolah bagi memastikan mereka kekal bertenaga. Bangun awal untuk siapkan sarapan mereka.
#7. Mandi sebaik pulang dari sekolah
Jika sebelum ini ada anak yang terus tidur atau berehat sebaik pulang dari sekolah. Kali ini jadikan rutin untuk mereka supaya mandi dulu selepas balik dari sekolah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: sinar harian, astro awani
Baca juga:
Anak Meragam Nak Main Di Luar Rumah, Ini Cara Menasihati Mereka Bahaya Covid-19