Menyediakan bilik untuk anak-anak merupakan salah satu usaha ibu ayah menyediakan ruang privasi buat mereka. Bukan itu sahaja, ia juga sebagai cara melatih si manja tidur berasingan. Dalam hal ini, deco bilik tidur yang cantik boleh membuatkan anak berasa teruja tidur di bilik sendiri.
Idea kreatif diperlukan saat mahu deco bilik tidur kecil. Setiap perabot perlu dipilih dengan penuh berhati-hati agar ia sesuai dengan tema. Bahkan susun atur perabot turut memainkan peranan bagi mengelakkan ruang bilik nampak makin kecil.
Deco bilik tidur dengan ruang kecil untuk anak lelaki
Deko bilik tidur juga bergantung pada jantina anak. Ia turut memainkan peranan dalam menyerlahkan keunikan bilik tidur mereka.
Lebih cantik jika bilik mengikut tema kemahuan anak sendiri bagi menimbulkan rasa seronok untuk tidur asing dengan ibu ayah.
Itu apa yang telah dilakukan oleh Anis Syuhada bersama para stafnya. Dia yang merupakan seorang tukang deko dari A&A Creative Design menyediakan perkhidmatan dekorasi.
Terbaru, dia telah berkongsi salah satu hasil deko bilik tidur anak lelaki. Catatan ditulis oleh Puan Anis dalam pautan Facebooknya berbunyi;
Klien kanak-kanak: Aunty, kalau bilik marvel dan team boleh?
Puan Anis: Okey, auntie usahakan.
Mama dia request set bilik lengkap dan ada ruang study. Yang lain terserah la kat Anis. Okey, baik. Ching!
Sengaja aunty tak buat terlalu kanak-kanak sebab nanti kalau abang dah besar pun masih boleh guna bilik yang sama dengan selesa.
Proses akhir dekorasi yang ditayangkan dalam gambar menunjukkan sebuah bilik tidur kecil mengalami perubahan yang mengagumkan.
Dari bilik kecil kelihatan yang begitu padat, ia berubah menjadi sebuah bilik cantik dengan konsep minimalis.
Susun atur yang hanya memiliki sebuah katil, sebuah almari, meja tulis dan loker kecil amat sesuai untuk seorang kanak-kanak lelaki. Hiasan dan cadar bertemakan marvel telah menunjukkan bahawa bilik itu kepunyaan seorang lelaki.
Melalui perkongsian itu juga Puan Anis memberi poin penting apabila menyentuh akan deko bilik tidur yang tidak terlalu kebudak-budakan. Ramai ibu bapa sebenarnya terlepas pandang akan hal ini.
Anak satu hari nanti akan menjadi dewasa. Dekorasi terlalu keanak-anakkan hanya akan membuatkan anak menjadi tidak selesa untuk berada di dalam bilik sendiri saat dewasa. Dekorasi sederhana boleh digunakan sehingga mereka dewasa.
Deko bilik tidur anak perempuan dengan tema warna merah jambu
Dalam satu posting yang lain dia turut berkongsi tips untuk menghiasi bilik tidur bagi anak perempuan terutamanya jika anak perempuan itu amat menyukai warna pink.
Kalau anak hampa suka pink jangan sampai semua pink. Sat lagi tak nampak anak dalam tu. Highlight sahaja pun dah memadai dengan perabot atau aksesori. Nak lena kena tenang wujudkan suasana dalam satu-satu ruang supaya lebih selesa dan tenang.
Reaksi warganet pada dekorasi yang ditunjukkan
Rata-rata warganet turut meluahkan perasaan kagum dengan dekorasi yang telah ditunjukkan.
“Cantik la.”
“Ada siapa-siapa tau code cat dalam gambar ni. Cantik.”
“Kreatif sungguh Anis walaupun ruangan kecil. Terbaik.”
“Tak pernah tak cantik. Nak buat dekat rumah jugak.”
“Wow sangat katil dia.”
“Jatuh cinta dengan cadar tu.”
“Pandai betul Anis curi ruang.”
“Cantiknya cadar.”
“Cantiknya, alhamdulillah.”
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Idea Deko Bilik Tidur Kecil Yang Ringkas & Menarik, Ini Panduan Berguna Untuk Ibu Ayah!
Baca juga: Cara Dekorasi BILIK TIDUR Moden Untuk Bayi, Anak Berusia 5 Tahun Ke Bawah!
Baca juga: Ibu Jangan Main Hias, Ini Cara Deko Bilik Tidur Simple & Cantik Untuk Anak Perempuan!