Bukan Mudah Teruskan Hidup Sebagai Ibu Tunggal, Percayalah Anda Insan Hebat Pilihan Allah

Sememangnya bukan mudah untuk mengharungi setiap liku-liku kehidupan seorang diri. Definisi ibu tunggal merujuk pada wanita kehilangan atau diceraikan suami

Definisi ibu tunggal ialah seseorang wanita kematian suami dan perlu meneruskan tugas membesarkan anak-anak, wanita diceraikan suami dan memperoleh hak penjagaan ke atas anak-anak dan suami uzur tidak mampu menyediakan nafkah serta memerlukan penjagaan rapi.

Setiap wanita pasti mendambakan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat bersama lelaki dicintainya. Tiada yang menginginkan gelaran ibu tunggal kerana ia memberikan tamparan hebat terhadap kehidupan dari aspek psikologi, ekonomi dan sosial berbanding sebelum ini.

Definisi ibu tunggal dalam kalangan masyarakat Malaysia

credit to sources

Percayakah anda bahawa setiap manusia pastinya perlu melalui pelbagai ujian hidup yang berlainan? Sebagai seorang wanita, tentu sekali diri menjadi lebih kuat apabila adanya seorang lelaki disamping anda.

Ia bukanlah menjadi suatu kesalahan besar atau membuka aib keluarga sekiranya anda ditakdirkan menjadi ibu tunggal ataupun memegang status janda. Cabaran utama yang mungkin anda perlu hadapi ialah terpaksa berdepan dengan pelbagai kata-kata negatif masyarakat di sekeliling.

Sepahit manapun ujian, pastinya akan berakhir dengan sebuah kebahagiaan. Anda perlulah kekal fokus untuk mencari nafkah dalam membesarkan anak-anak dan biarkan mereka yang berkata-kata melihat sendiri kebaikan yang anda lakukan.

Berikut adalah cara terbaik untuk anda bertahan menjadi seorang ibu tunggal yang bahagia:

#1. Membuat perancangan kewangan

Hal berkaitan wang adalah masalah utama yang sering dialami oleh kebanyakan ibu tunggal. Tanpa kewangan mencukupi, keperluan keluarga tidak dapat disediakan sepenuhnya sehingga muka anda terpaksa berhutang dahulu dengan orang sekeliling.

Justeru sebab itulah wanita pada zaman kini sudah pandai berdikari bagi mencari rezeki. Anda perlulah mengatur kewangan dengan baik agar keperluan harian dan bulanan anak-anak mencukupi.

#2. Elak memendam masalah seorang diri

credit to sources

Apabila ketiadaan pasangan di sisi, sudah tentu sekali anda tiada tempat untuk meluahkan segala isi hati.

Meskipun pada luarannya anda yakin mampu menggalas semua perkara termasuklah mengurus masalah diri, tidak ada salahnya jika meminta bantuan orang lain bagi mengurangkan sedikit beban yang ditanggung.

Ketika berasa tertekan dan hampir berputus asa, luahkan segala-galanya pada Allah S.W.T atau insan terdekat seperti adik-beradik, ibu ayah mahupun kawan terdekat.

#3. Kekal positif dan sentiasa bersyukur

Meskipun perjalanan hidup anda tidak sama dengan wanita-wanita lain, berhenti membandingkan diri dengan mereka kerana ia hanya membuatkan anda rasa lebih sedih. Sebaiknya, sentiasalah berfikiran positif dan ucapkan rasa syukur kerana telah dipilih oleh Allah menjadi ibu tunggal.

Anda adalah insan paling hebat di dunia kerana mampu menjadi ibu dan dalam masa yang sama seorang ayah untuk anak-anak. Mungkin ketika mereka masih kecil, perjalanannya agak sukar. Namun setelah dewasa nanti anda mungkin boleh berehat dan menghabiskan sisa-sisa hidup dengan tenang.

#4. Bijak mengawal emosi

credit to sources

Definisi ibu tunggal sering digambarkan dengan kehidupan seorang wanita yang penuh dengan kesibukan mencari rezeki dan dalam masa sama membesarkan anak-anak sehingga mereka berjaya. Meskipun sekuat manapun hati, ada kalanya ia mungkin akan rapuh apabila anda terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian yang dirasakan melebihi kemampuan diri.

Sekiranya ini yang terjadi, jauhkanlah diri anda dengan anak-anak buat sementara waktu. Ambil sedikit masa untuk bertenang dan menarik nafas sedalam-dalamnya.

Emosi yang tidak stabil boleh memberikan pengaruh terhadap kebahagiaan keluarga kecil anda di rumah. Ingat, anak-anak amat bergantung kepada anda. Jika aura di dalam rumah terlalu negatif, mereka mungkin akan cenderung berasa stres.

#5. Bersikap terbuka

Kebanyakan wanita yang bergelar ibu tunggal adalah berlaku disebabkan oleh perceraian. Sekiranya anda menyedari ia adalah masa sesuai untuk mengatakan hal sebenarnya kepada anak-anak, lakukannya dengan penuh berhemah.

Dengarkan luahan hati, perasaan mereka dan jawablah setiap pertanyaan dengan sejujurnya. Hal yang paling penting janganlah sesekali mengatakan sesuatu negatif tentang bekas pasangan anda dengan niat menimbulkan rasa benci anak terhadapnya.

Selain itu, menjadi ibu tunggal bukanlah kesalahan diri anda ataupun anak-anak. Sudah ditakdirkan untuk hidup anda begini, terimalah dengan terbuka dan percaya suatu hari nanti Allah akan menggantikan dengan perkara lebih baik.

Sumber: Nona

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comrumah-tangga-tidak-bahagia