Waspada Bayi Demam Campak Boleh Berjangkit! Ini Petua Berkesan Merawatnya

undefined

Bayi demam campak adalah masalah biasa yang sering terjadi ketika mereka sedang membesar. Risiko menjadi lebih tinggi jika si manja tidak diberi vaksin

Demam campak pada bayi adalah disebabkan oleh sejenis virus yang dipanggil paramyxovirus. Apabila seseorang mempunyai virus ini, jika dia bersin atau batuk, titik kecil yang mengandungi virus demam campak akan tersebar ke udara.

Titik kecil ini akan mampu bertahan dan aktif selama dua jam di udara atau permukaan. Kanak-kanak yang bernafas atau bersentuhan dengannya berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Apakah tanda demam campak pada bayi?

demam campak

Jika anak anda tak diberi vaksin dan belum pernah terkena demam campak, dia mempunyai 90% peluang untuk dijangkiti jika bersentuhan dengan seseorang yang mempunyai virus ini.

Selalunya, ia mengambil masa lapan ke 10 hari untuk anak terdedah kepada virus dan jatuh sakit. Demam campak pada bayi boleh berjangkit selama empat hari sebelum dan empat hari selepas mengalami ruam.

Tanda demam campak pada bayi pada mulanya mereka akan mengalami demam, masalah selesema teruk, batuk, mata kemerahan, tidak bermaya dan kurang selera makan.

Beberapa hari selepas itu, dia akan mula mengalami bintik-bintik di dalam mulut, lebih-lebih lagi pada membran mukus. Bintik-bintik ini dipanggil Koplik, kelihatan seperti bintik-bintik kecil berwarna putih seperti garam atau pasir.

Beberapa hari selepas ini, ruam campak mula muncul pada muka dan leher, berlanjutan hingga belakang badan dan kemudian pada tangan dan kaki.

Ruam ini akan bermula dengan bintik-bintik merah rata dan kemudian bertukar menjadi benjolan. Ketika ruam muncul, demam akan mula naik sehingga 40 darjah celcius.

Ruam juga mungkin akan gatal. Anak demam campak mungkin akan mengalami mual, muntah, cirit-birit dan sakit tekak. Mereka juga akan rasa sakit bila batuk.

Ruam ini biasanya akan berlanjutan hingga lima hari dan akan mula berkurang dan bertukar menjadi warna coklat. Apabila ruam pudar, ia akan menyebabkan kulit kering dan bersisik.

Kesan demam campak yang boleh terjadi

gejala demam campak

Kebanyakan kanak-kanak yang sihat akan pulih dari demam campak dengan baik, tapi 30 peratus orang yang mengidap campak akan mendapat satu atau lebih komplikasi.

Seramai 8 peratus kanak-kanak akan mendapat masalah cirit-birit. Manakala 6 peratus kanak-kanak mendapat radang paru-paru akibat campak dan ia merupakan penyebab kematian akibat komplikasi demam campak pada kanak-kanak.

Komplikasi yang jarang berlaku termasuk hepatitis, myocarditis (radang hati), meningitis, encephalitis (radang otak) dan paling jarang adalah komplikasi serius pada otak.

Komplikasi kebanyakannya terjadi pada kanak-kanak bawah 5 tahun dan dewasa atas 20 tahun.

Cara merawat demam campak bayi

Bila patut berjumpa dengan doktor? Jika anda suspek anak anda terkena campak, jumpa doktor secepat mungkin. Jabatan Kesihatan Malaysia mewajibkan dotor untuk melaporkan kes demam campak untuk menghalang virus dari merebak.

Sebaik sahaja doktor sahkan anak anda mempunyai campak, tak banyak yang boleh anda lakukan untuk merawat anak.

Jauhkan anak anda dari orang lain supaya mereka tidak menjangkiti orang lain dan cuba buat mereka selesa.

Pastikan anak anda dapat rehat yang banyak dan cecair yang banyak seperti air sebanyak 8 gelas sehari dan jus untuk mengelakkan dehidrasi akibat demam.

anak demam campak

Anda juga boleh beri ubat demam dan selesema pada anak anda. Rujuk doktor sebelum memberikan apa-apa ubat. Untuk ruam pada badan anak, ibu boleh sapukan losyen Calamine. 

Air kelapa juga dikatakan mujarab untuk merawat campak di samping dapat menyejukkan badan anak anda.

Petua tradisional merawat demam campak bayi dan kanak-kanak

1. Bedak sejuk

Pakai bedak sejuk yang boleh disapu pada ruam bagi membantu menghilangkan gatal dan ruam dengan cepat.

2. Jangan makan kicap

Kata orang tua, kalau campak, jangan makan kicap selagi mana ruam belum kering sepenuhnya lagi. Ia bertujuan supaya parut tidak gelap atau buruk.

3. Elak kena hujan

Elakkan juga badan yang terkena ruam campak daripada hujan bagi mengelakkan parut menjadi buruk atau tidak cantik.

4. Minum air kelapa

Apabila anak minum air kelapa, ruam akan keluar dengan lebih cepat sekaligus memendekkan tempoh masa mereka terkena campak. Jadi, kalau ruam cepat keluar maka lebih cepat anak sihat. Tapi pastikan umur mereka sudah besar sedikit.

5. Guna daun semambu

Ia boleh mengurangkan risiko parut,  kurang gatal dan cepat kering. Caranya, kisar beras yang telah dibasuh bersih dengan daun semambu. Jadikan sebagai bedak buat sapu. Air basuhan beras tadi boleh dibuat air mandian.

6. Air barli

Jika tiada air kelapa, boleh gantikan dengan barli. Amalkan minum segelas air barli 2-3 kali setiap hari selama sebulan. Barli terkenal dengan vitamin C, antioksidan, mineral dan zink yang mempercepatkan proses penyembuhan.

7. Makan terung 

Makan setengah biji terung setiap hari untuk meningkatkan sistem imun badan. Ia mencegah virus dari tersebar lebih cepat.

Cara mencegah anak terkena demam campak

  1. Cucuk Vaksin MMR. Ia adalah kombinasi 3 dalam 1 iaitu antigen daripada campak (measles), beguk (mumps) serta rubella yang diberikan sebagai satu suntikan. Dos pertama diberikan apabila anak berumur 9 bulan dan dos kedua diberipada usia setahun.
  2. Penggunaan paracetamol, buprofen dan aspirin boleh melegakan demam dan sakit badan semasa dijangkiti demam campak. Penggunaan aspirin hanya untuk mereka berusia 16 tahun ke atas sahaja. 
  3. Hidangkan makanan yang kaya dengan vitamin A untuk mengelakkan terjadi sebarang komplikasi kesan campak.
  4. Pastikan persekitaran anak sihat. Jauhi dari sebarang jenis asap samada asap kenderaan atau asap rokok. 
  5. Asingkan tempat tidur kerana penyakit ini boleh berjangkit.
  6. Jaga kebersihan diri. Pastikan sentiasa mencuci tangan, tidak berkongsi makanan dan pakaian serta menutup mulut ketika bersin. 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!