Menghadapi hutang adalah suatu cabaran yang biasa dialami ramai orang. Islam menekankan agar umatnya berusaha bayar hutang kerana ia adalah amanah yang perlu diselesaikan. Jika anda dibebani dengan pelbagai hutang, adalah sebaiknya mengamalkan beberapa doa lunas hutang.
Isi Kandungan
Apa Itu Hutang
Hutang dalam bahasa arab dipanggil اَلْمغْرَمٌ berasal daripada perkataan غَرِمَ yang bermaksud kerugian, kerosakan, kekurangan dan kehilangan.
Manakala para fuqaha’ telah mendefinisikan hutang pada istilah syarak sebagai pemberian hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.
Hadis Mengenai Ancaman Orang Yang Tidak Bayar Hutang
Selain itu, terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang sengaja enggan membayar hutang dan tidak berusaha untuk melunaskan hutangnya tersebut.
1. Mendapat Kebinasaan
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.
2. Bertemu Allah Sebagai Pencuri
Rasulullah SAW juga bersabda:
أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا
Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri.
3. Si Penghutang Bayar Dengan Pahala Amalan Kebajikan
Disamping itu, hutang akan dibayar kepada si pemiutang dengan pahala amal kebajikan si penghutang di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda:
وَ مَنْ مَاتَ وَ عَلَيْهِ دَيْنٌ فَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ وَلَكِنَّهَا الحَسَنَاتُ وَ السَيِّئَاتُ
Maksudnya: Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.
4. Jiwa Tergantung
Jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagimana dia tidak melunaskan hutangnya terlebih dahulu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.
5. Tidak Diampuni Dosa Berhutang
Dosa berhutang tidak terampun kecuali dihalalkan oleh si pemiutang tersebut walaupun mati sebagai mati syahid. Rasulullah SAW bersabda:
يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ
Maksudnya: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).
6. Orang Berhutang Tidak Disolatkan Oleh Rasulullah
Orang yang berhutang tidak disembahyangkan oleh Rasulullah SAW. Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ
Maksudnya: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespon: “Mohon solat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.”
Doa Lunas Hutang
Berdoalah kepada Allah dan bacalah sejarah para sahabat yang mengadu kepada Nabi SAW dan baginda mengajarkan doa-doa lunas hutang tertentu sehingga dapat melangsaikan segala hutang.
Selain itu, anda hendaklah bercita-cita dan berazam untuk membayar hutang dan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.
Doa Lunas Hutang 1:
Hadis Abu Said al-Khudri RA. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana.
Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?”
Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”
Rasulullah menjawab:
“Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”
Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”
Maka Baginda bersabda:
“Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”- Riwayat Abu Daud (4/353)
@hariznajmi2 Doa Dimudahkan Membayar Hutang | Ustaz Wadi Annuar #doabayarhutang #doabebashutang #doanabi ♬ original sound – Hareez
Doa Bebas Hutang 2:
Hadis ‘Aisyah R.Anha. Bahawa ‘Aisyah R.Anha memberitahu, bahawa Nabi SAW berdoa dalam solat sebelum salam:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.”- Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)
Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyebut bahawa makna bagi kalimah maghram ialah dain iaitu hutang. Dikatakan yang dikehendaki dengan al-Maghram ialah apa yang diperhutangkan sama ada perkara harus atau tidak, kemudia orang yang berhutang tidak mampu untuk membayarnya.” Lihat: Ibn Hajar al-Asqalani. Fath al-Bari. jil 2. hlm. 371.
Doa Bebas Hutang 3
Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:
اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang Engkau memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkau-lah yang awal, sebelum-Mu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu. Engkau-lah yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu. Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-Mu. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.”- Riwayat Muslim (2713)
Imam Nawawi rahimahullah menyebut: “Yang dikehendaki dengan maksud hutang adalah kewajiban pada Allah SWT dan kewajiban terhadap hamba seluruhnya, ianya merangkumi segala macam jenis kewajiban.” (Lihat: Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarf al-Nawawi. Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim. juz. 17. hlm. 36). Beirut. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.
Doa Lunas Hutang 4
Hadis Ali RA. Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata:
“Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku!
Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikanya untuk kamu?
Saidina Ali berkata: “Katakanlah:
اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.”
Hukum Sengaja Bayar Hutang Lambat
Hukum melambatkan atau menangguhkan bayar hutang bagi mereka yang berkemampuan adalah haram. Perkara ini adalah seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيءٍ فَلْيَتْبَعْ
Maksudnya: “Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman, jika salah seorang dari kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutang).”– Riwayat al-Bukhari (2287) dan Muslim (1564)
Tidak Mampu Bayar Hutang
Bagi mereka yang tidak mampu pula, adalah sebaiknya bagi pemiutang menagguhkan serta melambatkan proses bayar hutang tersebut. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”– (Surah al-Baqarah: 280)
Imam al-Maraghi menjelaskan ayat ini: “Sekiranya penghutang sedang mengalami kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutang. Namun begitu, bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menanggung kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi pemiutang dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT daripada menunda masa pembayaran mereka.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/649)
Hukum Berhutang Dan Memberi Hutang
Dalam aspek memberi hutang dan berhutang ada tiga hukum yang perlu diteliti:
1. Haram
Jika tujuan berhutang untuk melakukan maksiat dan kemungkaran seperti minum arak, berjudi dan seumpamanya.
2. Makruh
Jika tujuan berhutang itu diketahui akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau dengan niat menunjuk-nunjuk dan bukan kerana keperluan mendesak. Termasuk dalam hukum ini ialah apabila pemberi hutang tahu ketidakmampuan orang yang berhutang itu untuk membayar semula hutangnya.
3. Wajib
Jika orang yang memberi hutang mengetahui bahawa pihak yang berhutang itu amat memerlukan dan terdesak memenuhi keperluan asas hidupnya dan menampung perbelanjaan keluarga. Dalam masa yang sama dia tidak mempunyai sumber lain bagi memenuhi keperluannya kecuali dengan cara berhutang.
Mufti Wilayah Persekutuan, Myhadith, Ustaz Wadi Anuar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Amalan Membaca Doa Itu Baik Untuk Rohani Dan Mental. Ini Doa Harian Yang Boleh Diamalkan Setiap Hari
Baca juga: 7 Doa Pembuka Rezeki Jadikan Sebagai Amalan Setiap Hari
Baca juga: 7 Doa Buat Suami Isteri Yang Sering Tertekan & Dilanda Ujian, Elok Diamalkan Setiap Hari