Sebagai seorang muslim, kita dianjurkan supaya membaca doa masuk rumah supaya segala urusan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T.
Pernah dengar ungkapan “Rumahku, Syurgaku” ataupun dalam bahasa Inggeris, “Home Sweet Home”? Rumah merupakan tempat kediaman untuk berlindung dan tempat tinggal kita yang selesa.
Kita perlu sedar bahawasanya manusia bukan satu-satunya makhluk yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Sesungguhnya, kita sama-sama berkongsi alam. Hanya sahaja Allah SWT menghijabkan pandangan mata manusia dari melihat ciptaanNya yang lain.
Malah, dalam Islam setiap perkara yang kita lakukan mempunyai aturan, tertib atau adab-adab dan juga doa-doanya. Lantaran itu, sebagai muslim apa pun yang sedang kita lakukan atau usahakan, selitkanlah ianya dengan doa untuk memohon pertolongan dan perlindungan Allah dan juga sebagai tanda kita mensyukuri nikmat-nikmat kurniaan-Nya.
Selain itu, jika doa masuk rumah ini sering diamalkan juga, ianya dapat menghindarkan diri kita dari gangguan jin atau makhluk halus yang berkeliaran di luar rumah kita.
Antara amalan sebelum masuk rumah :
1. Memberi salam
السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين
Nabi Muhammad S.A.W. menggalakkan umatnya untuk memberi salam sebelum masuk dalam rumah meskipun tiada sesiapa di dalam. Ini bertujuan untuk menghindari syaitan daripada masuk bersama kita serta menghalau makhluk lain yang mungkin menumpang atau menghuni di dalam rumah.
Jabir bin ‘Abdillah R.A. pernah mendengar nabi Muhammad S.A.W. bersabda, “Jika seseorang masuk ke dalam rumahnya lalu menyebut nama Allah S.W.T. ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan berkata, ‘Tidak ada tempat bermalam bagi kamu semua dan tidak ada makanan di sini.’ Jika seseorang masuk tanpa mengucapkan nama Allah, maka syaitan berkata, ‘Kamu semua telah mendapat tempat untuk bermalam.’ Jika seseorang tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, maka syaitan berkata, ‘Kamu semua telah mendapat tempat untuk bermalam dan makanan’.” (Hadis Riwayat (HR) Muslim, XIII / 190 nombor 5230)
2. Membaca Bismillah
Baca Bismillah sekali dan selawat nabi 1 kali. Kemudian tiup ke arah atas pintu rumah sebelum keluar dan sebelum masuk ke dalam rumah.
InsyaAllah dijauhi godaan jin fasik, iblis dan syaitan serta dimurahkan rezeki kita seharian.
3. Baca doa masuk rumah
Seperti mana kita tahu, jika pulang rumah terlalu lewat risau ada yang ‘ikut’. Jadi, dianjurkan untuk membaca doa sebelum masuk rumah seperti di bawah.
اَللهُمَّ اِنّىْ اَسْأَلُكَ خَيْرَالْمَوْلِجِ وَخَيْرَالْمَخْرَجِ بِسْمِ اللهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللهِ رَبّنَا تَوَكَّلْنَا
“Allahumma inni as-aluka khoirol mawlaji wa khoirol makhroji, bismillahi walajnaa wa bismillahi khorojna wa ‘alallahi robbinaa tawakkalnaa”
4. Masuk kaki kanan
Setelah membaca doa, langkah masuk ke dalam rumah menggunakan kaki kanan seperti yang disunatkan di dalam Islam.
5. Mandi
Bila dah masuk rumah, jangan terus tidur! Buka pakaian dan letakkan di dalam raga baju kotor. Kemudian, segara mandi membersihkan diri agar dihindari daripada gangguan makhlus halus.
6. Menunaikan solat
Jika anda tidak sempat menunaikan solat ketika berada di luar, segera tunaikan solat sebelum tidur.
InsyaAllah dengan izinNya, tiada sebarang gangguan atau makhluk yang ikut anda. Bila berada di luar, jangan lupa baca doa pelindung diri juga ya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Cara Jana Pendapatan Dengan Mudah, Ini 5 Kerja Part Time Di Rumah Yang Buatkan Anda Berminat Untuk Cuba!
Baca juga : Nak Tukar Mood Baru Pada Ruang Kediaman? Serahkan Sahaja Pada Yang Pakar, Jom Tengok Harga Cat Rumah Terkini
Baca juga : Langkah Keselamatan Anak Di Luar Rumah, Ibu Ayah Ajarkan Mereka Tentang Stranger Danger