Setiap pasangan yang berkahwin mengimpikan rumah tangga bahagia. Bila ada anak, sudah pasti mahukan yang terbaik untuk anak. Untuk mencapainya salah satunya mestilah melalui doa. Jadi apakah doa untuk anak anak yang perlu ibu bapa amalkan?
Kali ini perkongsian mengenai doa untuk anak anak adalah kompilasi daripada pelbagai sumber yang berkongsi mengenai doa mustajab untuk anak-anak.
Tidak kiralah siapa pun yang berdoa sama ada ibu atau bapa, apa yang penting doa untuk anak anak ini mestilah semuanya berkaitan perkara baik-baik yang ibu bapa harap berlaku kepada anak.
Baca juga: 3 doa yang ibu bapa boleh amalkan untuk pujuk bayi menangis
Doa untuk anak anak elok untuk ibu bapa amalkan
Seharian sibuk dengan tugasan dan menguruskan anak-anak, kadang kala kita terlepas pandang mengenai keberkatan. Salah satu cara memohon keberkatan daripada Allah adalah dengan cara berdoa.
Jadi apakah doa untuk anak-anak yang wajib ibu bapa amalkan? Makbul atau tidak doa seseorang hamba itu terletak pada maha Pencipta, sebagai hamba, berdoalah sesungguhnya jika mahukan sesuatu.
Ini antara doa untuk anak anak yang dikongsikan yang mana ibu bapa boleh amalkannya. Malah ada yang sudah mengamalkannya dan anak-anak menunjukkan perkembangan yang sangat baik.
#1. Bahagia dalam rumah tangga/penyejuk mata – Surah al-Furqan ayat 74
Menurut ustaz Ebit Lew yang dikongsikan majalahpama, elok diamalkan doa itu selalu dan jangan ditinggalkan. Ia adalah rahsia bahagian dalam rumah tangga dan doa itu sangat mustajab untuk kebahagiaan dalam rumah tangga.
Doa itu bermaksud, “Ya Allah kurniakanlah aku pasangan yang menyejukkan mata dan keturunan zuriat yang dapat memimpin kepada kebaikan.”
Allah yang mengurniakan rasa sayang dan cinta kepada pasangan. Bila bersama rasa tenang dan gembira saja.
#2. Lembutkan hati anak – Surah as-Syuura ayat 19
Menurut karyabestari, doa ini amat sesuai dibacakan jika mempunyai anak yang agak degil dan keras kepala. Ia mampu melembutkan hati anak.
Doa itu bermaksud, “Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
#3. Anak kuat dan sabar – Surah al-Imran ayat 200
Menurut artikel siraplimau, doa ini boleh diamalkan dengan meniupkan pada ubun-ubun anak pada setiap pagi sebelum ke sekolah, atau setiap kali selepas solat bersama untuk anak kuat dan sabar.
Doa itu bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
#4. Anak taat perintah Allah – Surah al-Baqarah ayat 128
Ini adalah salah satu petikan doa daripada Nabi Ibrahim yang dibacakan ketika membina Kaabah bersama anaknya, Nabi Ismail.
Doa itu bermaksud, “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
#5. Anak menjaga solat – Surah Ibrahim ayat 40
Amalkan doa ini agar kita sentiasa istiqamah dalam mendirikan solat di samping mendidik anak-anak menjaga solat.
Doa itu bermaksud, “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
#6. Doa agar anak diberi rahmat – Surah al-Ahqaaf ayat 15
Walaupun sudah mengecap kejayaan dalam hidup, kita perlu sentiasa berdoa tanda syukur dan ingatan pada Allah
Doa itu bermaksud, “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).”
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: karyabestari, majalahpama, siraplimau
Baca juga: Amalkan Doa Ini Elak Anak Terjebak Perkara Buruk, Baca Semasa Bersedekah