Penularan wabak Covid-19 dikatakan semakin mengganas sehingga meragut ratusan ribu nyawa penduduk seluruh dunia termasuklah golongan doktor mati meskipun mereka berjuang menyelamatkan para pesakit.
Jika dilihat negara luar yang terjejas teruk adalah Amerika Syarikat dan Spain sehingga para barisan hadapan dikatakan seolah-olah tumbang dalam menjalankan tugas kerana menerima jumlah pesakit begitu ramai.
Doktor mati kerana positif Covid-19
Di Jakarta, seorang doktor mati sebelum dapat merasai alam perkahwinan kerana terpaksa menjalankan tanggungjawab terhadap pesakit Covid-19 pada Sabtu lalu.
Difahamkan, Dr. Michael Robert Marampe yang baru berusia 28 tahun sanggup menangguhkan dahulu tarikh perkahwinan dengan pasangannya semata-mata ingin merawat pesakit di hospital.
Walau bagaimanapun akibat penularan wabak Covid-19 di Indonesia semakin meningkat, dia kemudiannya disahkan positif virus berkenaan dan menerima rawatan seperti pesakit yang lain di Rumah Sakit Polri Kramat Jati di Bogor.
Berita kematiannya juga telah disahkan sendiri oleh Pengurus Besar Ikatan Doktor Indonesia (IDI), Dr. Halik Malik.
Doktor malang berkenaan sebelum ini bertugas di Rumah Sakit Permata Bunda, Cibitung, Bekasi pada awalnya sudah merancang untuk bernikah dengan wanita pilihannya pada 11 April yang lalu.
Namun, kekangan tugasan dan mengutamakan tanggungjawab sebagai doktor, dia terpaksa menunda tarikh perkahwinan tersebut.
Menurut laporan oleh media tempatan, Dr. Michael ada berhajat untuk menyanyikan sebuah lagu istimewa ciptaannya buat pertama kali di hadapan isteri tercinta pada majlis pernikahan mereka berlangsung.
Selain itu, ketika menerima rawatan, Dr. Michael masih lagi sempat menggunakan laman Instagram miliknya untuk memberika kata-kata semangat buat rakan seperjuangan barisan hadapan yang bergelut merawat pesakit tanpa mengenal erti lelah dan jemu.
Ketika disahkan positif Covid-19 selepas mengikuti ujian saringan, dia telah menerima rawatan selama lapan hari di hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Setakat 29 April, Indonesia telah merekodkan jumlah 9 771 kes jangkitan dengan 784 kematian.
Seramai 24 orang doktor maut
Persatuan Doktor Indonesia telah mengumumkan bahawa seramai 24 orang doktor di negara berkenaan telah maut akibat dijangkiti wabak penyakit misteri, Covid-19.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Malay Mail pada 7 April, kes kematian yang melibatkan golongan doktor telah meningkat sebanyak dua kali ganda sejak minggu sebelumnya.
Hal ini terjadi disebabkan oleh hospital berdepan dengan masalah kekurangan peralatan perlindungan diri. Kesannya, para petugas barisan hadapan terpaksa merisikokan diri sendiri dalam memberikan khidmat yang terbaik buat para pesakit.
Menurut Jurucakap Persatuan Doktor Indonesia, Halik Malik mengatakan setiap daripada mereka yang bekerja dalam bidang perubatan amat terdedah dengan wabak Covid-19 dan memerlukan alat perlindungan diri lengkap.
Tidak cukup dengan itu, segelintir daripada kakitangan perubatan terpaksa menggunakan baju hujan serta membawa topeng muka sendiri sebagai ikhtiar dalam melindungi diri daripada terdedah kepada wabak berbahaya tersebut.
”Setakat ini yang dilaporkan ada 18 orang doktor dan enam orang doktor gigi meninggal dunia kerana Coronavirus. Jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 24 orang,” jelas Halik.
Agihan bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE)
Memahami akan keperluan wajib ketika merawat sejumlah pesakit di hospital, Amnesty International telah menonjolkan sikap prihatin mereka terhadap insiden sedih yang telah meragut nyawa kakitangan perubatan.
”Kematian para petugas perubatan tidak sekadar hanya angka, tetapi sebagai penggera negara untuk terus memperbaiki tahap kesihatan mereka ketika berdepan detik kecemasan ini,” jelasnya.
Menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo telah memaklumkan dalam mesyuaratnya bahawa pakaian keselamatan diri kini sudah diedarkan ke hospital-hospital.
Beberapa orang pegawai serantau turut memantau penghantaran peralatan yang diperlukan ke hospital-hospital seluruh negara Indonesia.
Kesimpulannya, jodoh dan ajal sudah menjadi ketentuan Tuhan. Namun sebagai manusia anda memegang amanah untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab untuk mematuhi arahan pemerintah atau pihak berkuasa, sering mempraktikkan amalan kebersihan diri dan sentiasa menjaga jarak sosial.
Diharapkan semoga pandemik Covid-19 ini berakhir secepat mungkin dan masyarakat dunia dapat kembali meneruskan kehidupan seperti sedia kala.
Sumber: Asia One, Malay Mail
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comwira-negara