Anak Ada Dua Pusar Di Kepala Dikatakan Nakal, Keras Kepala & Suka Cari Pasal - Benarkah Kepercayaan Ini?

Memang jadi bualan bila terdapatnya dua pusar di kepala anak kecil. Mereka ini akan dilabel mempunyai tingkah laku yang negatif. Tapi, benarkah tanggapan ini?

Baru-baru ini, pihak theAsianparent Malaysia telah terbaca komen orang ramai berkaitan dua pusar di kepala anak dan kaitannya dengan sikap dan tingkahlaku yang degil dan keras kepala.

Betul ke? Atau itu hanya mitos sahaja?

Menurut Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator, sudah lama beliau tertarik untuk meneroka dan mengulas kepercayaan tentang dua pusar di kepala anak ini yang menjadi kepercayaan masyarakat sejak sekian lama.

Jom kita selami pendedahan yang disahkan pakar ini.

Dua pusar di kepala anak punca anak degil dan keras kepala? 

Kredit: Brilio

Jika anda ada dua pusar di kepala, adakah sikap anda sukar dikawal? Adakah kalian selalu masuk ke bilik disiplin kerana kesalahan yang dilakukan di sekolah atau anda sering masuk dan keluar penjara?

Kita sedia maklum dua pusar di kepala anak sering dilabelkan dengan sifat negatif seperti sukar dikawal, jahat, keras kepala, degil tak mahu dengar cakap orang tua dan banyak lagi.

Tapi, betul ke label itu?

Menurut Noor Afidah, jika anak mempunyai dua pusar, sejak lahir lagi mereka terus dilabel jahat oleh segelintir orang-orang tua. Walhal, anak itu masih kecil baru sehari menjenguk dunia!

Malah ibu bapa juga belum mendidik anak tersebut. Wajarkah perkara sedemikian?

“Jika begitu persepsi dari awal, maka segala kebaikan anak kita tak nampak tapi yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang boleh menguji kesabaran,” katanya.

Kemungkinan sebilangan orang tua itu mempunyai pengalaman anak dua pusar di kepala yang ada masalah tingkah laku. Sebab itulah mereka menyebarkan kepercayaan karut ini.

Pusar di kepala anak berkaitan rapat dengan gen manusia

Menurut National Human Genome Research Institute yang menjalankan kajian tentang genetik dan genomik manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar dan ia berkaitan dengan gen.

Kepercayaan tentang anak dua pusar dengan sikap negatif bukan wujud dalam masayarakat Melayu sahaja, malah ia turut dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan kelompok masyarakat lain.

Kemungkinan juga ini di atas penghijrahan manusia. Kepercayaan ini turut berhijrah dari satu tempat ke tempat lain sejak beratus tahun dahulu.

“Bukan itu sahaja, ada kepercayaan kuno mengatakan roh akan masuk ke tubuh seseorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan.

Kata mereka, apabila bayi ada dua pusar, roh akan masuk ke dalam tubuh bayi dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-duanya.

Kedua-dua roh ini cuba bersatu menjadi satu roh kemudian cuba menjadi roh anak tersebut.

Akibat pertembungan itu membuatkan bayi membesar dalam keadaan yang keliru, suka memberontak, sukar dikawal, degil, jahat dan sebagainya. Adakah anda percaya?

Sepatutnya sebagai seorang Muslim, kita harus percaya bahawa seorang anak yang dilahirkan seumpama kain putih. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Jadi ingatlah kalau selalu sangat label anak jahat, jahat dan jahat, lama-lama anak itu pun jahat betul-betul. Sebabnya?

Kata-kata itukan adalah satu doa. Jadi, hati-hati melabel anak anda terutama dengan kata-kata yang bersifat negatif.

Berikut antara apa yang boleh anda lakukan jika anak memiliki 2 pusar di kepala dan anda risau mereka akan menjadi degil dan tidak dengar cakap kelak:

#1 Perkembangan dan tingkah laku anak itu berbeza-beza

Setiap perilaku anak adalah seiring dengan usia dan tumbesarannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersikap sopan dan tertib sama macam orang dewasa.

Hal ini kerana, mereka belum tahu berfikir macam kita. Jadi tanggungjawab anda mendidiknya dengan adab yang harus diikuti.

Keduanya, jangan sesekali bandingkan anak kerana setiap kanak-kanak mempunyai perkembangan yang berbeza-beza. Tapi mereka masih perlu dibimbing.

Sekiranya anak lewat dari perkembangannya dan membimbangkan, bawalah dia berjumpa pakar kanak-kanak.

Selain itu, elakkan beri anak makan makanan yang mengandungi gula, pewarna dan pengawet yang terlalu tinggi kerana ia boleh menjadi punca mengapa anda sukar untuk mengawal tingkah laku mereka.

 #2 Tahu kategori pembawaan anak

Kanak-kanak dilahirkan dengan pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diurus, ada yang cerewet, terlebih aktif, pendiam, pemalu dan lain-lain.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda perlu tahu anak kalian itu dalam kategori yang mana dan bagaimana cara nak menguruskannya. 

#3 Memahami kecenderungan anak

Perlu tahu bahawa kecenderungan anak adalah bermain dan meneroka. Jika anda selalu tengok anak berlari sana sini dan pegang itu ini, itu tandanya dia sedang meneroka. Jangan sesekali halang. 

Tapi, menjadi tanggungjawab anda untuk menyediakan ruang yang selesa dan selamat bagi anak bermain untuk mengelak dari sebarang kemungkinan yang membahayakan.

 #4 Sepakat dalam proses membesarkan anak-anak

Kredit: UNICEF

Dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa harus bersepakat mendidik dan membesarkan mereka. Jika tidak, anak akan keliru dan mengikut kata hati sendiri sebelum membuat keputusan. 

#5 Ibu bapa sebagai role model 

Anak adalah cermin ibu bapanya. Jika anda berjaya mendidik anak dengan teladan dan tingkah laku yang baik, sudah pasti anak-anak akan ikut. Begitulah jika sebaliknya. 

Banyak faktor penyumbang pada tingkahlaku anak-anak seperti persekitaran, rakan-rakan sebaya, apa yang dilihat, keyakinan diri dan lain-lain. Semuanya berperanan penting dalam menentukan sikap anak di kemudian hari. 

Justeru, sentiasa mendoakan kesejahteraan dan bimbinglah anak menjadi insan yang berguna pada negara, agama dan masyarakat. 

Jangan lagi kita percaya lagi kepercayaan karut ini ya!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga10 Perangai Anak Yang Ibu Bapa Sangka Nakal Namun Sebenarnya Tidak

Baca juga: 3 perangai normal anak yang selalu DISALAH ANGGAP sebagai masalah tingkah laku

Baca juga: Bila anak sudah pandai cakap ikut logik mereka, pasti banyak kisah lawak seperti ini!