Lagi kes fake braces dari “doktor” gigi haram
Baru-baru ini, muncul lagi gambar mangsa kes fake braces yang telah dilakukan oleh “doktor” gigi haram di sebuah hotel di Seberang Jaya.
Fake braces adalah pendakap gigi palsu yang dipasang pada gigi, menyerupai pendakap gigi sebenar.
Fungsi fake braces ini dilihat sebagai satu trend fesyen di kalangan remaja.
Ia jauh berbeza daripada pendakap gigi yang digunakan untuk membetulkan susunan gigi dan memperbaiki rahang yang tidak sempurna.
Penjual fake braces di media sosial
Ketika melakukan carian di Facebook, saya hairan dan terkejut apabila mendapati masih ramai yang menjual fake braces di Malaysia semata-mata untuk mengaut keuntungan!
Penjualan dilakukan secara online melalui media sosial, bahkan ada yang sehingga menjual secara borong dan dropship.
Berbanding dengan pendakap gigi sebenar, kos fake braces jauh lebih murah dan ia ditentukan mengikut reka bentuk dan warna.
Bagaimanakah pendakap gigi palsu ini dipasang?
Jika pembeli ingin memasang sendiri fake braces ini di rumah, banyak video tutorial yang menunjukkan caranya di Youtube.
Tapi untuk mereka yang ingin memasang fake braces bagi jangka masa yang lama, ada perkhidmatan haram yang dijalankan di hotel atau dari rumah, untuk memasang pendakap gigil palsu ini dengan menggunakan gam.
Sediakan deposit: RM600 serta temujanji seterusnya: RM200
Adakah fake braces ini berbahaya?
Sudah semestinya!
Walaupun nampak cantik, kita tak tahu apakah bahan yang terkandung dalam fake braces ini dan kita tidak ada cara untuk tahu jika ia telah disteril atau selamat untuk kesihatan.
Kita juga tidak boleh menjamin kebersihan alat-alat yang digunakan oleh “doktor-doktor” gigi yang tidak bertauliah ini, untuk melakukan pemasangan pendakap gigi.
Lihat saja gambar di bawah – seorang mangsa yang memakai fake braces!
Ingin tahu langkah pertolongan cemas apabila gigi patah? Rujuk sini.
Kesan fake braces pada gigi
Adakah gam yang digunakan selamat untuk dihadam?
Adakah gam itu akan menghakis gigi? Kita tidak pasti.
Akhirnya karies gigi dan gusi berdarah boleh terjadi kerana pembeli tidak diberi tunjuk ajar tentang cara untuk memberus gigi selepas pemasangan.
Menurut Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, pemasangan fake braces boleh menyebabkan pergerakan gigi secara tidak langsung.
Walaupun pergerakan gigi bergantung pada orang yang memakainya, ada juga kes di mana gigi berubah kedudukan, goyang dan hampir tertanggal dari gusi.
Sesetengah mangsa pula mengalami gusi surut, berdarah dan bengkak dengan teruk.
Malah, 2 kematian sudahpun dilaporkan di Thailand yang dipercayai berpunca akibat tertelan fake braces.
Tidak cukup doktor pakar gigi di klinik kerajaan
Tidak semua kes akan diterima di klinik kerajaan kecuali kes gigi yang teruk.
Di samping itu, klinik kerajaan hanya akan menerima kes pelajar sekolah di bawah isoa 18 tahun dengan memberi keutamaan kepada kes-kes yang sukar dahulu.
Kes-kes yang tak begitu teruk biasanya akan ditolak, disebabkan senarai menunggu yang terlalu panjang.
Kos rawatan yang dikenakan di klinik swasta biasanya sangat mahal dan ramai yang tidak mampu untuk membayarnya.
Tetapi kebanyakan orang tak tahu yang sesetengah klinik swasta boleh menerima bayaran ansuran bulanan.
Bergantung kepada klinik tersebut, deposit dalam anggaran RM1-2 ribu perlu dibayar dahulu untuk memulakan rawatan.
Ingat: Anda sedang mengambil risiko yang besar apabila berurusan dengan doktor haram yang tidak pernah menjalani latihan perkhidmatan pergigian yang sah.
Walaupun murah, perkhidmatan jenis ini tidak dapat memberi jaminan keselamatan untuk pelanggan-pelanggan.
Memberi perkhidmatan pergigian di premis yang tidak berdaftar juga salah di sisi undang-undang dan boleh di sabit kesalahan.
Jika anda tahu sebarang perkhidmatan pergigian haram dari mana-mana media sosial, anda boleh melaporkannya pada pihak berkuasa.
Sumber: Ashraf Dental Clinic dan MY Health
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Anak Gadis Berumur 3 Tahun Mati Selepas Diberi Anestesia di Klinik Pergigian