Amalan berpantang yang pelbagai boleh mendatangkan kekeliruan bagaimana mereka harus mempraktikan amalan ini terutamanya kepada para ibu muda, ini kerana kalau tak tahu boleh menjadi bentan.
Perkongsian kali ini ialah mengenai persamaan dari segi faktor utama mengapa amalan – amalan ini dipraktikan untuk mengelakkan ibu berpantang dari bentan.
Mungkin melalui perkongsian empat faktor ini, para ibu muda dapat merancang amalan berpantang mereka nanti.
#1. Elak Bentan: Makanan berpantang
Perkara paling asas dalam amalan berpantang ialah makanan yang sihat. Amalan berpantang terkenal dengan pelbagai pantang larang yang perlu dipatuhi bagi mengelakan ‘bentan’ atau masuk angin.
Ini kerana badan ibu-ibu baru bersalin masih lemah dan mudah sakit.
Ibu berpantang memerlukan nutrien yang berkhasiat daripada makanan seperti ulam-ulaman dan herba.
Sumber protein dan omega 3 yang banyak seperti ikan salmon juga perlu dititik beratkan dalam menu ibu berpantang.
Selain pemakanan yang sihat dan seimbang, makan mengikut masa juga penting lebih-lebih lagi bagi ibu yang menyusukan bayi mereka dengan susu badan.
Perut yang kosong selain boleh menyebabkan gastrik, boleh menjadi punca susu berkurang.
“Semasa berpantang, bagi mengelakan susu berkurang serta badan bertenaga, saya akan makan sebelum lapar dan minum cukup air secukupnya untuk elak dehidrasi dan sembelit”, kongsi Puan Fiza semasa menceritakan pengalamannya berpantang sendiri.
#2. Elak bentan: Penjagaan diri
Selain pemakanan yang sihat dan seimbang, penjagaan diri juga penting. Ini termasuklah mengambil tukang urut yang sesuai, elakkan berurut serta merta selepas bersalin czer, takut bentan pula nanti.
Sekarang, banyak pusat-pusat kecantikan dan spa menyediakan pakej urutan tradisional selepas bersalin.
Jadi, ibu-ibu boleh membuat pilihan berdasarkan lokasi atau bajet masing-masing.
Kebanyakan pakej ini sudah dilengkapi dengan penyediaan herba serta bengkung bagi membantu proses pemulihan kesihatan ibu baru bersalin.
Penggunaan herba-herba dalam param, pilis dan bertangas penting dalam memastikan ibu berpantang sembuh dari segi dalaman juga.
“Semasa dua minggu pertama berpantang, tukang urut saya menggalakan minum air asam jawa bagi melancarkan darah kotor keluar. Kesannya, selepas dua minggu, badan saya lebih segar dan bertenaga’, kongsi Puan Nurul dari Johor.
Bagi Puan Min dari Klang pula, beliau mengamalkan penggunaan serbuk manjakani dalam memastikan luka jahitan cepat kering.
Kekerapan membersihkan luka yang juga memainan peranan yang penting bagi mengelakkan jangkitan pada luka.
Oleh itu, pihak hospital atau klinik selalunya akan membekalkan para ibu dengan cecair pencuci luka supaya mereka boleh kerap membersihkan luka sendiri di rumah.
#3. Pengurusan bayi
Majoriti hospital sekarang menyediakan kelas antenatal yang turut mengajar cara-cara pengurusan bayi.
Kebanyakan kelas-kelas ini disediakan secara percuma bagi membantu para ibu muda membuat persiapan diri untuk mengendali bayi yang bakal dilahirkan.
Zaman sekarang juga terdapat banyak servis penjagaan bayi semasa para ibu di dalam pantang.
Ini merupakan salah satu servis yang sangat bagus bagi membantu ibu-ibu baru bersalin mendapat rehat yang optimum.
Selain daripada itu, para bapa bolehlah membantu dari segi penyediaan ruang khas untuk si ibu menyalin lampin dan pakaian bayi bagi memudahkan si ibu menguruskan bayi semasa si bapa ke tempat kerja.
Ruang khas ini juga dapat membantu ibu dalam pantang mengurangkan pergerakan semasa di dalam tempoh berpantang.
#4. Kawal emosi
Emosi memainkan peranan yang besar dalam kesejahteraan ibu baru lepas bersalin.
Ini kerana, kemurungan selepas bersalin atau lebih dikenali sebagai ‘meroyan’ amat lazim terjadi pada ibu lepas bersalin.
Kemurungan selepas bersalin adalah bahaya kerana boleh mengundang akibat yang buruk serta berpanjangan.
Selain itu, emosi juga akan mempengaruhi bekalan susu buat ibu-ibu yang menyusukan susu badan untuk anak mereka kerana emosi gembira akan menggalakan hormon oksitoksin yang akan menggalakan penghasilan susu yang lebih meriah.
Bagi mengurangkan risiko emosi tidak stabil, sokongan dari ahli keluarga yang terdekat amat penting.
Sokongan dari segi memberi ruang dan masa untuk ibu lepas bersalin berehat serta menghormati privasi mereka bila mereka ingin masa untuk diri mereka juga amat penting.
Selain itu, membantu dalam urusan rumah juga dapat membantu mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin.
Berkongsi perkara-perkara gembira dan positif juga amat membantu.
‘Saya nasihatkan agar para ibu baru bersalin tidak segan meminta bantuan adik beradik atau ibu bapa semasa berpantang dalam menguruskan kerja rumah agar diri mereka tidak stress dengan urusan rumah” sekali lagi Puan Fiza berkongsi pengalamannya di dalam pantang.
Ini adalah perkongsian secara umum mengenai faktor utama bagaimana hendak menghadapi tempoh berpantang.
Harap agar perkongsian ini dapat memberi idea kepada para pembaca tentang berpantang. Sekian, selamat mencuba dan selamat berpantang kepada ibu-ibu semua!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ini Cara Berpantang Zaman Moden, Mudah & Cepat Sihat