Bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga, pastinya ingin merasai nikmat menjadi ibu ayah. Pada hari ini, tular di media sosial mengatakan pelakon populor negara, Fazura mengandung setelah hampir tiga tahun menanti.
Perkongsian berita gembira ini dilakukan sendiri oleh Fazura. Dia yang kini berusia 36 tahun mengatakan tidak mengalami sebarang alahan seperti ibu hamil lain.
Pengalaman Fazura mengandung
”Setelah disahkan berbadan dua, saya belum pernah mengalami alah teruk atau muntah-muntah pada waktu pagi seperti kelazimannya. Cuma badan berasa sedikit penat,”
”Saya amat bersyukur kerana Allah memudahkan urusan sepanjang tempoh kehamilan. Mujur juga tiada alahan, kalau tidak pasti orang ramai dapat menghidu berita Fazura mengandung,” kongsinya.
Tambah Fazura lagi, walaupun dirinya tidak berhadapan alahan, namun rasa mengidam sentiasa ada dan boleh dikatakan sepanjang masa.
”Jika sebelum ini, saya tidak menyukai makanan pedas. Tetapi, sejak hamil ini saya menjadi suka pula,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai perasaan sebaik sahaja mengetahui bahawa dirinya bakal bergelar ibu, isteri kepada pelakon Fattah Amin ini berkata pada awalnya dia berasa ragu-ragu dengan hasil ujian pada alat pengesan kehamilan.
”Memandangkan soal cahaya mata ini adalah bersifat peribadi dan tidak mahu heboh pada peringkat awal, saya sendiri memilih untuk menggunakan alat pengesan kehamilan dan alhamdulillah hasilnya positif,” luah Fazura.
Kongsinya lagi, Fazura masih berasa tidak puas hati dan melakukan ujian buat kali kedua dan hasilnya kekal garisan dua. Untuk lebih yakin, sekali lagi dia melakukan ujian yang sama buat kali ketiga menggunakan alat pengesan kehamilan digital dan tertera di skrin mengatakan dirinya mengandung.
”Setelah tiga kali melakukan ujian, barulah saya benar-benar yakin diri sudah berbadan dua,” katanya.
Pasangan merpati dua sejoli, Fattah Amin dan Fazura telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 selepas ura-ura mengatakan mereka menjalin hubungan percintaan selepas bergandingan dalam drama bersiri, Hero Seorang Cinderella.
Dalam perkembangan yang berkaitan, penyanyi Bisa Apa ini turut memberi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan agar mereka dikurniakan zuriat.
”Sejak berkahwin, kami sentisa percaya dan menyerahkan takdir kepada Yang Maha Esa terhadap apa juga rezeki atau dugaan yang datang,”
”Syukur berkat doa yang tanpa henti dari kami berdua, keluarga tersayang, rakan-rakan serta peminat, akhirnya impian memiliki cahaya mata kini termakbul,” kata Fazura.
Difahamkan, sebelum ini Fazura pernah dikatakan hamil selepas memuat naik beberapa gambar yang menampakkan ‘baby bump’ ketika menghadiri acara pertunjukan fesyen.
Walau bagaimanapun, dia sendiri menafikan berita tular berkenaan.
Kasih sayang seorang suami
“Dapur akan ‘ditutup’ buat masa ini. Suami pun tak bagi saya masak dan dia nasihatkan saya berehat sahaja,” katanya.
Pada bulan lepas, Fattah Amin sempat berkongsikan foto pergelangan isterinya, Fazura yang melecur akibat terkena percikan minyak panas ketika sedang memasak.
Kongsinya, minyak panas tiba-tiba meletup sehingga terkena tangan kanannya.
”Sebelum ini tidak pernah berlaku, tetapi benda hendak jadi. Fattah sudah banyak kali mengajak saya untuk mendapatkan rawatan ke hospital, tetapi keadaan sekarang adalah kritikal dengan penularan Covid-19. Saya cuba ubati sendiri di rumah,” kata Fazura.
Pada awalnya, pelakon populor ini mengatakan bahawa dia takut untuk melihat gelembung pada pergelangan tangan selepas percikan minyak panas berlaku. Namun selepas memecahkannya dan menyapu ubat, ia mula menunjukkan perubahan positif.
”Nampak kesan luka semakin kering dan lebih baik. Saya amat menghargai pelbagai petua yang dikongsikan oleh para peminat,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura mengakui bahawa dirinya trauma dengan insiden berkenaan dan akan berehat seketika daripada memasak. Malah suaminya juga melarang Fazura untuk menyediakan makanan di dapur.
Sumber: Berita Harian, Roti Kaya
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comartis-janda