Ada banyak filem inspirasi dari India yang boleh anda tonton bersama seluruh keluarga. 6 filem Bollywood paling best berikut ini bukan hanya ada tarian, nyanyian dan kisah cinta picisan, namun sarat juga dengan pengajaran kehidupan yang sangat berharga.
Di samping menonton filem sebagai suatu hiburan, anda juga boleh menjadikan filem-filem ini sebagai salah satu cara mendidik anak.
Cara ini boleh memberikan pengajaran dan pengetahuan baru pada anak-anak tentang kehidupan sosial.
Senarai filem Bollywood paling best dan penuh inspirasi yang sesuai anda tonton bersama anak
1. Dangal
Filem ini menceritakan perjuangan seorang ayah membesarkan 3 orang anak perempuan dan melatih mereka menjadi atlet olahraga gusti, iaitu cabang olahraga yang didominasi lelaki.
Peranan ayah yang dilakonkan oleh Aamir Khan ini percaya bahawa anak perempuan boleh memiliki kemampuan yang sama bahkan melebihi anak lelaki.
Pengajaran yang boleh diterapkan dalam diri anak anak melalui filem Bollywood paling best dan berinspirasi ini adalah:
Perjuangan meraih cita-cita tidaklah mudah. Dan apa yang dilakukan ibu bapa adalah demi kejayaan dan kebahagiaan anaknya.
2. Tare Zamen Par
Ia berkisah tentang seorang anak bernama Ishaan yang menderita gangguan disleksia, yang membuatnya tidak boleh membaca huruf dengan baik.
Ibu bapa dan guru di sekolah selalu menganggapnya bodoh, nakal dan malas belajar.
Hingga kemudian dia dihantar ke asrama dan bertemu dengan seorang guru yang baik hati bernama Ram Shankar. Ram Shankar dilakonkan oleh Aamir Khan.
Di bawah bimbingan Ram Shankar, Ishaan menjadi menjadi pelajar yang cemerlang. Kecerdasan dan bakatnya dalam melukis pun lebih terasah. Ishaan akhirnya menemui kebahagiaan dan penerimaan dari keluarga dan guru-gurunya.
Filem ini mengajarkan yang setiap anak memiliki cara belajar sendiri, kecerdasan masing-masing yang tidak boleh disama ratakan.
Selain itu, angka dan nilai di buku report bukanlah segalanya, kerana setiap anak dianugerahkan bakat tersendiri yang boleh membuatnya bersinar jika diasuh dengan cara tepat.
3. Bajrangi Bhaijaan
Antara filem Bollywood paling best dan boleh memberi inspirasi pada anak-anak adalah Bajrangi Bhaijaan.
Ia berkisah tentang seorang pemuda jujur dari India (dilakonkan oleh Salman Khan), yang berjuang menghantar Syahida, seorang anak berumur 7 tahun, kembali ke rumahnya di Pakistan selepas terpisah dengan ibu bapanya.
Filem ini mengajarkan kebaikan dan kasih sayang adalah bahasa universal yang menjangkaui batas agama, negara mahupun bangsa.
Dengan menonton filem ini, anak anda akan belajar tentang pelbagai budaya dan agama yang seharusnya tidak dijadikan alasan untuk perpecahan. Malah, ia boleh dijadikan alat untuk kesatuan.
4. Barfi
Filem ini menceritakan tentang Barfi (Ranbir Kapoor) yang menderita pekak dan bisu. Dia bertemu cinta dengan Jhilmil (Priyanka Chopra) yang menderita Autisme.
Perjuangan cinta mereka tidak mudah kerana kelemahan yang mereka miliki, yang juga menjadi stigma di kalangan masyarakat.
Filem ini mengajarkan bahawa mereka yang memiliki kekurangan atau keperluan khusus juga tetap seorang manusia yang memiliki hati dan cita-cita seperti orang lain. Mereka tidak boleh dibezakan hanya kerana tidak sama dengan orang lain.
Selain itu, anda juga boleh mengajar pada anak untuk selalu bersyukur atas kehidupan yang mereka nikmati. Dengan semua pancaindera berfungsi sempurna, seharusnya mereka tidak lagi mengeluh.
Ajarkan padanya yang Barfi yang bisu dan pekak tetap boleh hidup bahagia dengan caranya sendiri.
5. Black
Terinspirasi dari kisah hidup Helen Keller, filem ini berkisah tentang seorang gadis yang buta, pekak dan bisu sejak kecil bernama Michelle (Rani Mukherji).
Dia perlu berjuang supaya boleh berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya.
Kemudian, datanglah seorang mentor bernama Debraj (dilakonkan oleh Amitabh Bhachchan). Dia membantu Michelle untuk berkomunikasi dengan mengajarkannya bahasa isyarat. Debraj juga berjaya memasukkan Michelle ke pengajian tinggi.
Meskipun Michelle berulangkali gagal dalam ujian kelulusan, namun dia tidak berputus asa. Akhirnya, Michelle berjaya menyandang gelaran sarjana di usia 40 tahun.
Filem ini akan membantu anak untuk lebih menghargai orang-orang yang kurang upaya. Ia dapat mengajar anak anda untuk lebih peka dan membantu temannya yang serba kekurangan.
6. English Vinglish
Filem ini bercerita tentang suri rumah bernama Shashi (mendiang aktres Sridevi) yang sering dipandang rendah oleh suami dan anak-anaknya kerana tak mampu berbahasa Inggeris. Peranannya sebagai ibu dianggap tidak penting hanya kerana dia tidak faham Bahasa Inggeris.
Oleh sebab itu, Shashi mendaftarkan diri dalam kursus Bahasa Inggeris. Di sinilah dia bertemu dengan teman-teman baru dan menemui makna baru dalam hidupnya.
Filem Bollywood paling best dan berinspirasi ini boleh mengajar anak kita untuk tidak pernah memandang remeh tugas seorang ibu dan lebih menghargai semua yang dilakukan ibu untuk keluarga.
Memang menarik senarai filem Hindi di atas ini. Ia memang sesuai dijadikan tontonan semasa sesi movie di rumah ketika hari cuti atau hujung minggu. Jom kita menonton dan berkongsi pengajarannya dengan anak-anak!
Sumber: theAsianparent Indonesia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Rupanya ini 6 cara artis Bollywood berikut mengasuh anak-anak mereka