Ganti Puasa, Bukan Hanya Untuk Wanita, Lelaki Pun Kena Ganti Kalau Tinggalkan!

Bukan sahaja wanita, lelaki pun kena ganti puasa kalau sengaja tinggalkan. Jangan lupa bayar juga fidyah kalau tak sempat ganti.

Setiap kali nak dekat puasa Ramadan, sering kali wanita akan menerima pertanyaan, ‘dah ganti puasa ke belum?’ Maklumlah, ada sebab tertentu seperti uzur syarie menyebabkan golongan wanita Islam tidak boleh melakukan ibadah puasa termasuk solat.

Bercakap mengenai puasa,  bukan sahaja golongan wanita bahkan, lelaki juga yang meninggalkan puasa ketika Ramadan atas sebab tertentu, hendaklah menggantikannya.

Apa Itu Fidyah?

Fidyah adalah bayaran yang wajib dikeluarkan oleh individu yang tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadan kerana sebab-sebab tertentu, seperti sakit yang tidak dapat sembuh atau usia lanjut.

Fidyah merupakan alternatif bagi menggantikan puasa yang tidak dapat dilaksanakan.

Siapa Yang Wajib Membayar Fidyah?

Terdapat beberapa golongan yang diwajibkan untuk membayar fidyah, antaranya:

  • Orang yang sakit kronik yang tidak ada harapan untuk sembuh dan tidak dapat berpuasa lagi.
  • Orang tua yang sudah tidak mampu berpuasa kerana faktor usia.
  • Orang yang hamil atau menyusui yang khuatir akan kesihatan diri atau bayi mereka jika berpuasa.

Bagi mereka yang masih boleh menggantikan puasa mereka pada masa akan datang, tidak diwajibkan untuk membayar fidyah, tetapi hanya perlu menggantikan puasa yang tertinggal.

Golongan Lelaki Juga Perlu Ganti Puasa Jika Terlepas

Seperti yang dijelaskan menerusi laman web Mufti Wilayah Persekutuan berhubung pertanyaan yang diterima iaitu,  apakah buruh kasar yang tidak berpuasa di bulan Ramadan perlu ganti puasa dan bayar fidyah?

Berdasarkan ringkasan jawapan, wajib ke atas orang yang meninggalkan puasa dengan sebab melakukan pekerjaan yang berat qada atau ganti puasanya sebanyak hari yang ditinggalkan. Hal ini kerana, hukum ini adalah sama seperti hukum orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja.

Merujuk kepada permasalahan ibadah puasa bagi orang yang melakukan kerja berat, Imam Ba’Alawi di dalam karangannya Bughyah al-Mustarsyidin ada menjelaskan tentang mereka yang bekerja berat sehingga tidak tertanggung diberikan rukhsah untuk berbuka puasa dengan 6 syarat:

1) Kerja berat itu tidak boleh ditangguh selepas bulan Ramadan.

2) Kerja itu tidak dapat dilakukan pada malam hari.

3) Kepayahan puasa yang tidak mampu ditanggung menurut kebiasaan.

4) Wajib niat puasa pada tiap-tiap malam dan tidak boleh berbuka puasa melainkan setelah datang kepayahan.

5) Mestilah berniat rukhsah ketika berbuka puasa supaya membezakan antara puasa yang dibenarkan berbuka dan yang tidak dibenarkan.

6) Jangan disengajakan untuk melakukan kerja berat supaya datang kepayahan sebagai alasan berbuka puasa.

Berdasarkan syarat yang dinyatakan, wajib juga ke atas mereka yang melakukan pekerjaan berat seperti buruh kasar, petani dan seumpamanya berpuasa di bulan Ramadan.

Meskipun terdapat rukhsah bagi golongan ini, akan tetapi keringanan tersebut terpakai setelah terdapat keuzuran semasa melakukan pekerjaan tersebut seperti lapar dan dahaga sehingga boleh mendatang risiko keselamatan terhadap dirinya.

Fidyah Dan Hukum Fidyah

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan. 

Sekiranya memberi kepada institusi zakat, mereka juga akan menukarkannya kepada beras.

Perkara Penting Ganti Puasa Dan Fidyah

ganti puasa

Kadar Bayaran Fidyah

ganti puasa

Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).

Harga fidyah mengikut negeri

  1. Kedah: RM1.80 
  2. Perlis: RM5.00 
  3. Pulau Pinang: RM1.75 
  4. Perak: RM1.90 
  5. Selangor: RM2.00 (*RM2.00 / RM4.00 / RM6.00 ikut jenis beras dimakan) 
  6. Wilayah Persekutuan: RM4.00 
  7. Negeri Sembilan: RM1.75 
  8. Melaka: RM1.80 
  9. Johor: RM1.75 (*Kadar RM1.75 / RM3.25 ikut jenis beras dimakan) 
  10. Pahang: RM1.75 
  11. Terengganu: RM1.75 
  12. Kelantan: RM1.75 
  13. Sarawak: RM1.75 
  14. Sabah: RM1.75 

Cara Mengira Fidyah

Jumlah fidyah yang perlu dibayar bergantung kepada jumlah hari puasa yang ditinggalkan. Biasanya, fidyah dihitung dengan kadar makanan yang cukup untuk satu hari. Fidyah biasanya dibayar dalam bentuk makanan asasi seperti beras atau roti. Berikut adalah cara pengiraannya:

  • Jumlah Hari Puasa yang Ditinggalkan – kira jumlah hari puasa yang tidak dapat diganti.
  • Bayaran Fidyah – bayaran fidyah biasanya sebanyak satu mud makanan (kira-kira 600 gram beras) bagi setiap hari yang tidak dapat diganti.

Jika anda memilih untuk memberi wang, kadar fidyah adalah sekitar harga makanan asasi yang boleh mencukupi keperluan orang miskin untuk satu hari.

  • Jika bayaran fidyah tidak berganda

(jumlah hari ditinggalkan) X (kadar fidyah ikut negeri) = (bayaran fidyah)

  • Jika bayaran fidyah berganda

(jumlah hari ditinggalkan) X (kadar fidyah ikut negeri) X (jumlah tahun ditinggalkan) = (bayaran fidyah)

Ada sesetengah negeri menetapkan, sekiranya puasa ditinggalkan sehingga beberapa tahun, fidyah perlu didarab bilangan tahun yang telah ditinggalkan.

Senarai Negeri Fidyah Berganda

  • Wilayah Persekutuan
  • Melaka
  • Johor
  • Pahang
  • Terengganu
  • Kelantan
  • Kedah
  • Penang
  • Perak
  • Negeri Sembilan
  • Sarawak
  • Sabah

Negeri Fidyah Tidak Berganda

  • Selangor
  • Perlis

Kelebihan Membayar Fidyah Dengan Segera

1. Menunaikan Kewajipan Tepat Waktu

Membayar fidyah dengan segera memastikan bahawa kewajipan ini dilaksanakan tepat pada waktunya. Ini memberi rasa tenang kerana kita tidak menangguhkan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh agama.

2. Mengelakkan Kelalaian

Dengan membayar fidyah segera, kita mengelakkan diri daripada menangguh-nangguhkan pembayaran sehingga akhirnya terlupa atau terlewat. 

3. Membantu Golongan Miskin Segera

Fidyah yang dibayar kepada golongan miskin dalam bentuk makanan atau wang tunai akan segera memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Dengan membayar fidyah secepat mungkin, kita dapat membantu mereka yang kekurangan untuk mendapatkan makanan atau keperluan asas mereka. Ini bukan sahaja memenuhi kewajipan kita, tetapi juga memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

4. Mendapat Ganjaran Pahala

Melakukan amalan kebaikan dengan cepat adalah lebih disukai oleh Allah. Dengan membayar fidyah dengan segera, kita menunjukkan rasa tanggungjawab yang tinggi dan berusaha untuk menunaikan hak orang lain secepat mungkin. Ini akan meningkatkan pahala kita di sisi Allah.

5. Mencuci Hati dan Menjaga Ketenangan Jiwa

Menunaikan kewajipan dengan segera membawa ketenangan dan menghindari rasa bersalah.

6. Memberi Contoh Baik kepada Orang Lain

Membayar fidyah dengan cepat menjadi contoh yang baik untuk keluarga dan masyarakat.

Fidyah adalah alternatif bagi mereka yang tidak dapat berpuasa disebabkan oleh faktor tertentu dan ia wajib dilaksanakan dengan cara yang betul.

Pastikan anda memahami siapa yang wajib membayar fidyah dan cara pengiraannya.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia.

Baca juga: Ibu Mengandung Berpuasa Di Bulan Ramadhan? Ini Nasihat Doktor!

Baca juga: Pakar Laktasi Kongsi Tips Puasa Penuh Ibu Menyusu Badan, Tidak Perlu Qada Tahun Depan!

Baca juga: Jom Masak Sotong Padprik Untuk Buka Puasa! Jika Anda Hamil Ia Bagus Untuk Kawal Gula Dalam Darah

 

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!