Perkataan “Glamping” adalah singkatan untuk Glamorous Camping yang membawa maksud kita dapat menikmati pengalaman berkhemah tetapi dengan kemudahan yang yang amat selesa disediakan untuk kita.
Tahun 2019 semasa Covid-19 belum lagi mengganas di negara kita, keluarga kecil saya sempat Glamping di Lost World of Tambun Ipoh, Perak.
Satu pengalaman yang sangat manis dan pada masa yang sama amat mencabar kerana bercuti bersama dua anak-anak yang masih kecil. Ketika itu, anak sulung saya, Sofia berumur 3 tahun dan anak kedua saya, Bella baru berumur 5 bulan.
Kami menginap di Malayana Floating Villa selama 2 hari 1 malam. Kami memilih untuk menginap di Villa yang terapung di atas air kerana Sofia sangat teruja untuk menikmati pengalaman pertama nya bermalam di atas air.
Peringatan juga untuk ibu bapa. Sentiasa pastikan anak-anak sentiasa berada di bawah pengawasan ibu bapa jika kita berada di tempat yang dekat dengan air.
Terdapat beberapa pilihan untuk glamping di Lost World of Tambun. Ada villa dan ada juga khemah yang disediakan di atas tapak khemah.
Tapi memandangkan Bella masih kecil, kami lebih selesa bermalam di Floating Villa kerana ada tandas sendiri di dalam villa berbanding jika kita memilih untuk berkhemah di atas tapak khemah, kita perlu berkongsi tandas dengan pengunjung yang lain.
Villa ni sangat selesa dengan kemudahan lain seperti televisyen, penghawa dingin dan sesuai untuk keluarga kecil bermalam.
Berbalik kepada Glamping kami, hari pertama di habiskan dengan aktiviti beriadah sekitar kawasan villa. Sofia dan ayah berkayak di tasik dan berbasikal berdekatan villa.
Pada waktu malam pula, kami makan malam dan mengisi masa lapang dengan barbeque di tepi tasik. Segala kelengkapan untuk barbecue dan bahan makanan disediakan oleh pihak Lost World of Tambun. Sofia paling seronok kerana itulah kali pertama pengalaman dia barbecue dan glamping.
Tetapi jangan risau jika ibu bapa di luar sana tidak mahu mengambil pakej barbeque yang disediakan kerana banyak pilihan makanan ada dijual di taman tema Lost World of Tambun sehingga pukul 10 malam.
Bukan itu sahaja, jika ada banyak masa terluang, boleh sahaja bersiar di sekitar kawasan Tambun atau Ipoh bagi merasai keenakan juadah setempat.
Aktiviti hari kedua. Kami sekeluarga bergembira di taman tema air Lost World of Tambun dan mengunjungi zoo yang terdapat di situ.
Anak-anak sangat teruja dapat melihat harimau, zirafah, badak sumbu dan banyak lagi haiwan lain dengan lebih dekat. Setelah sepanjang hari kami sekeluarga bermain dan bersuka-ria, usai sudah hari kedua dan terakhir kami di Lost World of Tambun.
Satu pengalaman yang sangat manis dan tidak akan dilupakan buat kami sekeluarga. Bangun pagi dikelilingi hijau alam dengan udara yang sangat segar. Pasti kami akan kembali ke sini lagi suatu hari nanti.
Di sini, saya ingin berkongsi beberapa tips umtuk memudahkan ibu bapa bercuti bersama anak kecil.
1) Jika kita bawa anak kecil yang berumur bawah dari 1 tahun, adalah sangat penting untuk kita memastikan tempat untuk kita bermalam cukup selesa untuk anak kecil dan ada tandas yang bersih untuk memudahkan kita memandikan anak kecil dan sebagainya.
2) Pemilihan tempat percutian. Cari tempat percutian yang akan menggembirakan anak-anak kita. Kerana jika bercuti bersama anak-anak kecil, yang paling utama adalah mereka. Jika mereka gembira dengan aktiviti yang dilakukan, pastinya lebih mudah untuk kita menguruskan anak-anak dan mereka boleh memberi kerjasama yang kita perlukan.
3) Makanan. Sentiasa pastikan anak-anak cukup makan dan minum sebelum melakukan apa-apa aktiviti supaya mereka tidak lapar dan letih. Untuk bayi pula, sentiasa pastikan kita bawa bekalan susu atau makanan yang secukupnya untuk mereka. Semasa bercuti di Tambun, Bella baru berusia 5 bulan dan dia hanya minum susu badan. Dan jangan risau, Lost World of Tambun ada menyediakan beberapa “Nursing Room” di sekitar taman tema air bagi memudahkan ibu yang menyusu badan.
4) Sentiasa bawa bersama kit pertolongan cemas dan ubat-ubatan asas yang diperlukan untuk anak-anak.
5) Untuk memudahkan pergerakan, silalah bawa “baby carrier” untuk anak yang masih bayi. Elakkan dari membawa “stroller” kerana ada ketikanya apabila taman tema air dipenuhi dengan ramai pengunjung, pergerakan dengan stroller bayi akan jadi lebih sukar.
6) Kenangan. Yang terakhir sekali, ambillah gambar dan video semasa bercuti sebanyak yang boleh untuk kenangan di masa hadapan. Dan jangan lupa ya. Singgah di kedai cenderahati untuk membeli ole-ole!
Artikel ini ditulis oleh VIP Parent, Siti Sarah Binti Che Dan untuk theAsianparent Malaysia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Senarai Tempat Bercuti Di Malaysia Yang Menarik & Menyeronokkan Untuk Seisi Keluarga
Baca juga: 6 Sebab Saintifik Kenapa Anda Perlu Bawa Anak Anda Pergi Bercuti
Baca juga: Rancang Untuk Bercuti Bersama Keluarga Di Musim Pandemik Ini? Hati-Hati Parents, Ikut Tips Ini