Kanak-kanak memang amat gemar makanan ringan seperti gula-gula lollipop. Pantang lihat sahaja, pasti mereka tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil dan memakannya.
Apa yang boleh anda baca dalam artikel ini?
- Batang gula-gula lollipop tersengkang pada peti suara
- Bahaya lollipop batang bercahaya bagi kesihatan
- Manfaat sebagai terapi untuk membantu anak yang lambat bercakap
Bentuk yang pelbagai, warna yang memukau, rasa manis yang melekat, dan teksturnya yang mudah cair di lidah membuatkan kanak-kanak tidak mampu menolak setiap kali disuakan dengan makanan ini.
Batang gula-gula lollipop tersengkang pada peti suara
Namun begitu, sedar atau tidak pengambilannya yang terlampau dan tidak dihadkan boleh mendatangkan risiko pelbagai penyakit kepada mereka. Malah bukan itu sahaja. Seorang pengguna Facebook, Nor Aniza ada berkongsi tentang isu bahaya makanan ringan ini yang boleh membawa maut.
Menurut Nor Aniza, beliau menyaksikan adegan kanak-kanak yang sedang asyik bergurau senda dengan kawan-kawan sambil menikmati gula-gula lollipop.
Malang tidak berbau, dengan sekelip mata sahaja seorang dari mereka telah tertelan gula-gula itu bersekali dengan batang plastik yang keras. Kesannya, kanak-kanak malang terbabit telah dihantar ke hospital untuk dirujuk.
Doktor yang melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bahan asing tersebut berdepan dengan situasi yang amat getir apabila batang plastik rupanya tersengkang di peti suara mangsa.
Jika tidak berhati-hati, batang plastik mungkin berisiko tinggi untuk masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru.
Bahaya lollipop dengan batang bercahaya bagi kesihatan
Lolipop pendafluor (fluorescent lollipops) adalah sejenis gula-gula yang menggunakan pemegang plastik bercahaya dalam keadaan gelap untuk menarik perhatian kanak-kanak.
Apa yang mengejutkan, bahan kimia yang berupaya menghasilkan cahaya di pemegang itu mengandungi bahan toksik yang sangat berbahaya untuk kesihatan.
Ia mengandungi bahan Poly Aromatic Carbon (PAH) yang mana ia bertindak menghasilkan oksigen bercahaya pada batang pemegang tersebut. Anak kita pegang gula-gula lalu masuk ke dalam mulut.
Sedar atau tidak, PAH sejenis bahan kimia yang bertoksik tinggi. Bahan ini biasanya boleh ditemui di industri cat. Antara risiko yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak seperti penyakit barah dan mutasi gen kepada manusia.
Manfaat sebagai terapi untuk membantu anak yang lambat bercakap
Dalam buruknya, pasti ada juga kebaikan dan manfaat yang boleh diguna pakai. Berdasarkan pengalaman dari seorang guru Pendidikan Khas, Redzuan Abd Hamid, terapi lollipop boleh membantu anak-anak yang lambat bercakap.
Rupanya anak-anak yang dibiarkan bermain lollipop dengan lidah mereka akan menjadikan lidah mereka lebih lembut, dan mudah untuk bertutur. Tetapi cara ini sudah tentu atas pengawasan ibu dan ayah.
Perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh pengawasan ibu bapa terhadap mereka. Sudah tentu setiap dari anak tidak mempunyai cara tumbesaran yang sama. Jadi sudah menjadi tugas kitalah untuk memastikan mereka mendapat didikan, pengawasan, dan perlindungan yang selayaknya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Budak Lelaki MAUT Tercekik Gula-Gula Gummy, Ibu Ayah Jangan Biar Anak Kecil Makan Seorang Diri
Baca juga: Kerap Beri Aiskrim & Gula-Gula, Doktor Tegur Ibu Ayah BERHENTI Rosakkan Gigi Anak
Baca juga: Apa jadi kalau anak anda tertelan gula-gula getah? Adakah ia bahaya?