Memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun ini, namun rata-rata guru sekolah sudah mula gelisah kerana tidak dapat meneruskan tugas dan risau pelajar akan ketinggalan terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi guru yang masih ‘tersangkut’ di kampung, ada antara mereka sanggup meredah perjalanan jauh pulang ke tempat masing-masing hanya kerana tuntutan tugas di sekolah.
Pengorbanan guru sekolah terhadap masa depan pelajar
Setiap tahun sambutan Hari Guru menjadi acara wajib dianjurkan di setiap sekolah seluruh negara dengan cukup meriah.
Namun berbeza pada tahun ini kerana sambutan tidak dapat direalisasikan memandangkan penularan wabak Covid-19 dan institusi pendidikan diarahkan tutup sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Hampir dua bulan negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan, guru sekolah adalah golongan yang bertungkus lumus bagi menyediakan bahan pengajaran secara atas talian. Bagi pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar, pastinya sukar untuk mendapatkan jaringan internet.
Tular kisah seorang guru Bahasa Inggeris dan Seni di salah sebuah sekolah di Sarawak apabila dia sanggup meredah kesukaran kira-kira 3 jam melalui jalan balak untuk ke perkampungan anak muridnya.
Hal ini kerana dia ingin menyerahkan salinan bahan pembelajaran dari rumah ke rumah pada setiap minggu sejak 1 April yang lalu. Bukan itu sahaja, kerja rumah yang disiapkan oleh pelajar juga akan disemak untuk memantau pencapaian mereka.
Guru Malaysia paling aktif mengajar Online ketika Covid-19
Meskipun pergerakan menjadi terbatas dan seluruh masyarakat perlu menerima norma hidup baharu, namun ia tidak menghalang komuniti pendidik dan guru sekolah untuk melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti biasa.
Ketika menerima banyak tuduhan dan ada yang minta gaji guru sekolah dipotong, statistik carian kata kunci Google Classroom di Malaysia meningkat ke tangga ke-2 dunia.
Ini menunjukkan bahawa guru di Malaysia menyantuni pembelajaran sepanjang tempoh PKP dan mengalahkan negara-negara moden yang lain. Usaha sebenar para guru sekolah ini mungkin tidak ramai orang nampak, namun statistik ini adalah fakta dan tidak menipu.
5 sebab anda perlu menghormati guru
Seorang doktor, usahawan, peguam dan pemimpin terhasil melalui didikan oleh seorang guru. Justeru, anak-anak perlu diajar untuk menghormati guru mereka kerana:
#1. Sedia mencurahkan ilmu
Setiap orang pastinya tidak dapat pergi lebih jauh tanpa adanya ilmu dalam pendidikan. Gurulah yang menjadi penyumbang untuk pembangunan diri dan negara. Mereka sanggup datang ke sekolah dan menggunakan kemudahan internet semata-mata untuk mencurahkan ilmu tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Tanpa guru, anda dan anak-anak pastinya tidak dapat mempelajari sesuatu perkara dengan baik.
#2. Mengambil berat terhadap pelajar
Setiap guru akan berusaha untuk memberikan terbaik buat anda. Jika berlaku sebarang kesalahan, merekalah yang sentiasa bersedia untuk membantu. Seorang pendidik juga berasa risau bila pelajar tidak dapat menjawab peperiksaan dan sering menitipkan doa untuk kejayaan anda.
#3. Guru menghormati pelajar
Sekiranya pelajar terfikir bahawa guru telah memarahi atau biadap, pastikan menilai semula bagaimana anda melayannya. Mereka adalah individu yang bertanggungjawab mendidik untuk membentuk anda menjadi insan lebih baik.
#4. Memiliki kesabaran yang tinggi
Dengan jumlah pelajar yang ramai, seorang guru pastinya tidak dapat mengawal setiap satunya agar mendengar arahan. Namun, dialah yang sentiasa sabar dengan karenah setiap pelajar meskipun anak-anak anda nakal di sekolah atau tidak menyiapkan tugasan.
Seorang guru adalah mutiara yang terpendam dan tidak dapat dilihat oleh orang ramai.
#5. Guru dipertanggungjawab atas kesalahan pelajar
Jika pelajar melakukan kesalahan disiplin atau tidak mencapai markah bagus dalam peperiksaan, orang pertama yang disoal adalah guru. Mereka memikul beban sangat berat ke atas semua anak muridnya, kadangkala ada sesetengah penjaga sanggup datang ke sekolah dan menyerang guru.
Seperti mana insan lain, golongan pendidik sudah memberikan yang terbaik agar masa depan anak bangsa lebih terjamin. Guru bagaikan lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan.
Bersempena dengan tema Hari Guru 2020 iaitu ”Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, ibu ayah dan guru perlu bekerjasama dalam memberikan ruang kepada pelajar menerokai ilmu agar tahu minat masing-masing secara lebih awal.
Sumber: Berita Harian, My Compass
Credit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: