Siapa sangka anak yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh akhirnya sanggup menyumbatnya ke penjara. Hati ibu mana yang tidak terluka dengan perbuatan sebegitu rupa.
Entah di mana silapnya, marah betul seorang lelaki dari Indonesia ini terhadap ibunya sehingga sanggup membuat laporan polis untuk menyumbat warga emas itu ke dalam penjara.
Difahamkan, dia terlalu berang kerana ibunya memberi pinjam motosikal kepada saudaranya tanpa memberitahunya sedangkan motosikal itu bukan milik dia pun!
Hati ibu terluka nak…
Dia kemudian membuat laporan kepada polis untuk memenjarakan wanita berusia 60 tahun itu.
Menurut laporan TribunewsBogor, apabila laporan polis dibuat, difahamkan wanita berkenaan, Kalsum menceritakan segala-galanya kepada pihak polis.
Difahamkan, motor berkenaan dibeli hasil daripada penjualan harta arwah suaminya. Selepas kematian suaminya, anaknya menjual harta peninggalan arwah dan mendapat hasil Rp 200 juta (RM 60,535.62).
Anaknya hanya memberikannya Rp 15 juta (RM4,466.58) dan wang itu digunakan untuk membeli motosikal. Warga emas itu bagaimanapun meletakkan motosikal itu di rumah keluarga dan dipinjam saudaranya.
Anaknya yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu dan menganggap ibu membelakanginya bertindak membuat laporan polis.
“Dia lahir dari rahim saya, bukan anak tiri, sedih dan terluka hati saya,” kata Kalsum.
Polis bagaimanapun enggan menerima laporan itu.
Memang hubungan dengan anak tegang
Kalsum mengakui hubungan mereka anak beranak memang tegang dan anaknya memang selalu bersikap kasar padanya tetapi ini tindakan paling drastik yang dilakukan lelaki itu.
Sementara itu, anak lelakinya mempertahankan tindakan itu kerana merasakan dia ada hak berikutan motosikal berkenaan dibeli menggunakan wang hasil penjualan tanah arwah bapanya.
Dia juga menafikan pernah bersikap kasar dengan ibunya.
Cara tambat hati ibu
Hati seorang ibu memang susah untuk dijaga, tetapi tidaklah susah mana pun jika tahu gayanya, faham kehendaknya dan arif perangainya, ibu akan menjadi sahabat karib anda.
Yang penting kita harus ada kesabaran yang menebal, faham memahami, kasih dan hormat yang tinggi pada ibu. Tanamkan ikrar bahawa ibu adalah segala-galanya, hormatilah kehendaknya walaupun kadangkala kita tidak bersetuju dengannya. Kita mesti sentiasa sedar dan ingat hati ibu amat sensitif.
Jangan sesekali beranggapan ibu sudah tua, nyanyuk atau kolot kerana hal beginilah yg menjadi jurang pemisah antara ibu dan anak.
#1. Makanan amat sensitif
Makanan amat sensitif baginya. Setiap kali kita makan mesti pelawa ibu! Walaupun kita tahu ibu tak suka makanan itu.
#2. Jangan tunjuk pandai
Jangan tunjuk pandai di hadapannya kerana kepandaian kita bermula daripadanya. Jangan sesekali mengecilkan hatinya walaupun kita berada di landasan yang betul. Sebetul mana pun pendapat kita, cuba turunkan ego anda.
#3. Cuba sedaya upaya tunaikan hajat ibu
Jika ibu memerlukan sesuatu seboleh-bolehnya kita segera mendapatkannya. Sentiasa mendengar dan bertindak mengikut kata-kata dan keluh kesahnya.
#4. Cari masa untuk ibu
Jika ibu ingin pergi ke sesuatu tempat, cuba sedaya upaya untuk segera menghantarnya walaupun kita agak sibuk.
#5. Luangkan masa, jadi temannya
Berbuallah selalu dengannya kalau tidak boleh bersemuka mungkin boleh telefon. Kita harus bijak, ketika inilah peluang mengutarakan pendapat tetapi jangan sampai biarkan ibu perasan bahawa kita tidak bersetuju dengannya kerana ini akan merosakkan suasana perbualan.
#6. Peka dengan kesihatan ibu
Bawa ibu buat pemeriksaan kesihatan berkala dengan berjumpa doktor. Ambil tahu keadaan kesihatannya.
#7. Jadi pendengar yang baik
Sentiasa menjadi pendengar yang baik walaupun ada kalanya malas untuk mendengar ceritanya. Jika duduk serumah jangan lupa menyapanya setiap hari walaupun kita dalam keadaan amat penat dan lesu.
#8. Beli hadiah
Sesekali belilah hadiah untuknya. Bukan hadiah kecil atau besar yang dinilai tetapi ingatan kita terhadapnya. Tak rugi keluarkan duit untuk membayar bil telefon utk ibu yang mungkin sentiasa menunggu khabar berita daripada kita, rasanya lebih berkat lagi rezeki yang akan kita perolehi atas sebab hormat kita kepada wanita yang bergelar ibu.
Tiba-tiba rasa rindu ibu kan? Pergilah telefon dia sekarang!Mungkin dia pun sedang rindu anda.
Sumber: bogor.tribunews, htkristal
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comidea-hadiah-hari-ibu-yang-unik-untuk-ibu-ibu-di-luar-sana