Hukum isteri minta cerai kerana tidak bahagia seringkali menjadi perdebatan ramai kerana perceraian adalah isu yang sangat sensitif dalam kehidupan rumah tangga. Dalam Islam, perceraian dibenarkan namun ia merupakan perkara yang paling dibenci Allah walaupun halal. Isteri mungkin menghadapi keadaan yang sukar, menyebabkan dia memilih untuk menamatkan perkahwinan melalui perceraian.
Isi Kandungan
Punca Mungkin Isteri Tidak Bahagia Sehingga Minta Cerai
1. Perangai Suami
Sikap suami yang kasar, tidak bertanggungjawab, atau tidak menghargai isteri boleh menyebabkan isteri hilang kebahagiaan. Isteri yang berdepan dengan situasi ini sering merasa tertekan dan kecewa kerana suami gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.
2. Ketiadaan Perhatian
Apabila suami tidak memberikan perhatian emosi dan fizikal kepada isteri, isteri mungkin merasa diabaikan. Kekurangan komunikasi, kasih sayang, dan sokongan emosi boleh menyebabkan hubungan menjadi renggang.
3. Kewangan
Masalah kewangan juga boleh menjadi sebab ketidakbahagiaan dalam perkahwinan. Sekiranya suami tidak menjalankan tanggungjawab dalam menyara keluarga atau tidak berusaha untuk menambah baik keadaan ekonomi keluarga, isteri mungkin merasa tertekan.
4. Campur Tangan Keluarga
Campur tangan dari keluarga suami atau isteri yang berlebihan juga boleh menyebabkan masalah dalam perkahwinan. Isteri mungkin tidak dapat menyesuaikan diri atau merasa tertekan dengan keadaan ini.
5. Keganasan Rumah Tangga
Sekiranya isteri menghadapi keganasan fizikal atau emosi dalam rumah tangga, ini adalah sebab yang kukuh untuk meminta cerai. Islam mengharamkan keganasan dalam perkahwinan, dan isteri mempunyai hak untuk keluar dari perkahwinan yang penuh penderitaan.
Hukum Isteri Minta Cerai Kerana Tidak Bahagia
Dalam Islam, isteri mempunyai hak untuk meminta cerai jika dia benar-benar tidak dapat menahan keadaan yang tidak adil atau zalim. Rasulullah SAW bersabda:
”أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا الطَّلاَقَ مِنْ غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ”
Ayyuma imra’atin sa’alat zawjaha al-talaq min ghayri ma’ basin faharāmun ‘alaiha rāiḥatu al-jannah.
Maksud: Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab yang sah, maka haramlah baginya bau syurga. (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Hadis ini menunjukkan bahawa perceraian bukanlah jalan yang digalakkan tanpa sebab yang munasabah. Namun, jika isteri berada dalam keadaan yang tidak bahagia, tertekan, atau dizalimi, Islam memberi kebenaran kepada isteri untuk meminta cerai.
Islam memberi ruang kepada isteri untuk melindungi kesejahteraan fizikal dan emosinya, asalkan alasan itu benar dan tidak dibuat secara sewenang-wenangnya.
Keadaan Yang Dibenarkan Syarak Untuk Meminta Cerai
Antaranya:
- Suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti memberi nafkah yang wajib. (Lihat al-Mughni, 8/204).
- Suami memukul/mencederakan tubuh badan isteri tanpa sebab yang sah. (Lihat Hashiah al-Dusuki ‘ala al-Sharh al-Kabir, 2/345)
- Suami di penjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. (Lihat Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 29/ 67)
Seksyen 52: Perintah Untuk Membubarkan Perkahwinan Atau Untuk Fasakh
Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:
1. Keberadaan suaminya tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun.
2. Suami cuai atau tidak memberikan nafkah selama tiga bulan.
3. Suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih.
4. Suami tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.
5. Suami telah mati pucuk sebelum perkahwinan dan isteri tidak mengetahui perkara itu semasa mereka berkahwin.
6. Suami gila selama tempoh dua tahun atau mengihidap penyakit kusta atau vitiligo atau menghidap penyakit kelamin yang berjangkit.
7. Wanita yang dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur 18 tahun dan belum disetubuhi suami.
8. Suami menganiaya isteri (mendera, berkawan dengan perempuan jahat atau berperangai keji mengikut Hukum Syarak, memaksa isteri hidup secara lucah, melupus atau melarang isteri menggunakan hartanya, menghalang isteri menunaikan kewajipan agama dan tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya sekiranya mempunyai lebih dari satu isteri)
Walaupun perceraian boleh memberi kesan emosi dan sosial yang besar, keputusan ini perlu diambil dengan bijak dan berlandaskan alasan yang kukuh. Setiap pasangan disarankan untuk berusaha memperbaiki hubungan melalui komunikasi dan nasihat sebelum mempertimbangkan perceraian sebagai pilihan terakhir.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Punca Penceraian Di Malaysia Bukan Hanya Curang, Masalah Kewangan & Kurang Komunikasi Jadi Sebab
Baca juga: 7 Nafkah Wajib Suami Pada Isteri Dan Anak-Anak Dalam Islam Mengikut Mufti WP
Baca juga: Nusyuz Suami Terhadap Isteri Dalam Islam: Hukum, Tanda Suami Nusyuz & Apa Perlu Isteri Buat