Dalam perkahwinan, suami dan isteri mempunyai hak serta tanggungjawab masing-masing. Salah satu kewajipan terbesar suami dalam Islam adalah mengutamakan nafkah wajib suami kepada isteri dan anak-anaknya. Nafkah bukan sekadar pemberian material, tetapi juga termasuk keperluan emosi dan fizikal yang diperlukan untuk kesejahteraan keluarga.
Apakah Itu Nafkah?
Nafkah menurut syarak adalah mengeluarkan harta untuk perbelanjaan keperluan manusia seperti makanan dan minuman, pakaian dan tempat tinggal serta selainnya.
Antara sebab kewajipan memberi nafkah ke atas seseorang adalah kerana hubungan perkahwinan, kekeluargaan dan pemilikan.
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri merupakan perkara yang telah disepakati para ulama setelah isteri memenuhi syarat-syarat tertentu.[3] Hal ini berlandaskan firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’: 34)
Nafkah Wajib Suami Kepada Isteri / Tanggungan / Anak-anak
Nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri sepertimana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini ketika beliau menjelaskan:
Hak-hak isteri yang wajib suami tunaikan ada tujuh perkara iaitu:
- Makanan ruji,
- Lauk pauk dan daging,
- Pakaian,
- Alat-alat membersihkan diri,
- Barang-barang perkakas rumah,
- Rumah/Tempat tinggal,
- Pembantu rumah (khadam), jika isteri itu memerlukannya.
Semua ini perlu diberikan oleh suami kepada isteri menurut kemampuan dan taraf kehidupan dirinya. Allah SWT berfirman:
وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah: 231)
Kadar Nafkah Suami Kepada Isteri
Penetapan kadar nafkah suami kepada isteri, para ulama menyatakan tanggungjawab nafkah yang wajib diberi adalah keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan juga pembantu rumah (bagi suami yang mampu).
Imam Khatib al-Syirbini menyebut dalam karyanya:
وَالْحُقُوقُ الْوَاجِبَةُ بِالزَّوْجِيَّةِ سَبْعَةٌ: الطَّعَامُ، وَالْإِدَامُ، وَالْكِسْوَةُ، وَآلَةُ التَّنْظِيفِ، وَمَتَاعُ الْبَيْتِ، وَالسُّكْنَى، وَخَادِمٌ إنْ كَانَتْ مِمَّنْ تُخْدَمُ
Hal ini menunjukkan bahawa ulama tidak pernah menetapkan kewajipan suami untuk memberi wang poket kepada isteri apabila suami telah memberi nafkah keperluan asas yang cukup kepada isteri.
Selain itu juga, pemberian nafkah merujuk kepada kemampuan suami sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir dengan mengikut kadar ketentuan uruf masyarakat setempat.
Kadar Nafkah Isteri Dalam Islam
Menurut al-Fiqh al-Manhaji, kadar nafkah makanan asasi adalah dua cupak bagi mereka yang kaya, satu setengah cupak bagi mereka yang sederhana dan satu cupak bagi mereka yang fakir.
Begitu juga, lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Seorang isteri yang tinggal serumah dan makan bersama suaminya sepertimana kebiasaan yang dilakukan pada setiap hari tanpa menetapkan kadar makanan dan lauk-pauk tertentu, maka ia sudah dikira sebagai nafkah dan disebut sebagai nafkah tamkin.
Kewajipan Suami Menyediakan Nafkah Asas
Oleh yang demikian itu, kewajipan seorang suami memberi nafkah kepada isteri dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuannya tanpa perlu menyatakan secara khusus.
Suami Tidak Wajib Beri Wang
Suami juga tidak wajib untuk memberi wang, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama iaitu makanan, lauk -pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu.
Di samping itu, suami juga boleh menukar keperluan nafkah tersebut dengan memberi wang kepada isteri untuk membeli sendiri nafkah keperluannya.
Dalam hal yang lain, sekiranya terdapat perjanjian di antara suami dan isteri atau ditentukan oleh hakim tentang ketetapan kadar nafkah secara khusus, maka suami wajib memberi mengikut kadar yang telah ditetapkan tersebut, dan ini disebut sebagai nafkah tamlik.
Nafkah Isteri Selepas Penceraian
Hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan talak itu sendiri iaitu sama ada idah talak raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian suami.
- Bagi isteri yang berada dalam idah talak raj’i berhak mendapat semua nafkah sebagaimana nafkah yang diterima sewaktu dalam perkahwinan.
- Jika isteri diceraikan dengan sebab nusyuz, maka dia tidak layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh idah tersebut.
- Manakala, perempuan yang berada dalam idah talak ba’in, wajib diberikan tempat kediaman dan tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat keempat-empat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie.
Perkara Yang Boleh Dituntut Oleh Isteri Selepas Bercerai
Menurut portal MyGovernment, perkara-perkara yang boleh dituntut di mahkamah Syariah selepas perceraian adalah seperti berikut:
1. Nafkah Edah
Nafkah edah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh Edah Raj’ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak.
2. Mut’ah
iaitu satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut Hukum Syarak. Kadar mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut’ah tersebut.
3. Harta Sepencarian
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidangkuasa.
Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
4. Tunggakan Nafkah
Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut dimana-mana Mahkamah Syariah.
5. Tunggakan Nafkah Anak
Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada Mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.
6. Hak Jagaan Anak Hadhanah
Bermaksud penjagaan anak-anak masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Mengikut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).
Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.
7. Nafkah anak
Ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.
8. Hak Tempat Tinggal
Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dalam pekahwinan selama tempoh edah
Bilakah Mahkamah Boleh Mengeluarkan Perintah Nafkah Bagi Isteri & Anak?
Mahkamah boleh, pada bila-bila masa, memerintahkan seseorang bapa untuk membayar nafkah anaknya
- jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan nafkah dengan munasabah bagi anak dan/atau isterinya;
- jika dia telah meninggalkan langsung isterinya, dan anaknya itu adalah dalam penjagaan isterinya;
- dalam masa menanti keputusan sesuatu perbicaraan hal ehwal suami isteri di mahkamah; atau
- apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain.
Jumlah Nafkah Yang Ditetapkan
Jumlah nafkah yang perlu diberikan oleh suami kepada isteri atau bapa kepada anak adalah bergantung kepada faktor berikut:
- pendapatan dan tanggungan Pihak Yang Kena Tuntut;
- keperluan isteri dan anak-anak;
- umur anak-anak.
Pada umumnya, perintah nafkah anak berkuat kuasa sehingga usia anak 18 tahun atau sehingga dibenarkan oleh Mahkamah. Bagi anak perempuan, perintah nafkah tersebut berkuat kuasa selagi belum berkahwin.
Bilakah Kegagalan Menunaikan Nafkah Dikira Sebagai Hutang?
Nafkah isteri dikira sebagai hutang apabila tidak dibayar bermula dari kewajipan membayar nafkah. Nafkah anak dikira hutang selepas adanya perintah Mahkamah.
Dokumen Tuntutan Nafkah
Apakah dokumen yang diperlukan apabila membuat tuntutan nafkah di Jabatan Bantuan Guaman?
Setiap permohonan untuk mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman perlu mengemukakan dokumen yang berikut:
- kad pengenalan;
- surat rujuk;
- sijil perakuan nikah;
- sijil kelahiran;
- surat perakuan cerai;
- surat perakuan anak angkat (jika berkaitan);
- dokumen lain yang berkaitan (jika ada);
- penyata gaji atau bukti pendapatan;
- nama/alamat/pekerjaan suami/isteri;
- nama/alamat majikan suami/isteri;
- penyata gaji, penyata cukai, akaun bank dan sebagainya.
Kesimpulannya, nafkah adalah satu kewajipan yang diletakkan oleh Islam kepada suami untuk menjaga isteri dan anak-anaknya. Sama ada semasa perkahwinan atau selepas penceraian, tanggungjawab ini perlu ditunaikan dengan penuh amanah dan mengikut kemampuan.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Baca juga: Nafkah Isteri & Anak-Anak Yang Wajib Suami Sediakan Mengikut JAKIM
Baca juga: Antara Nafkah Isteri Dan Ibu Bapa, Mana Satu Yang Suami Patut Utamakan? Ini Jawapannya Dari Sisi Alim Ulama
Baca juga: Cadangan Kadar Nafkah Ikut Jumlah Anak & Pendapatan Bapa Selepas Bercerai, Elak Culas Dari Tanggungjawab
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!