Madu duduk serumah merujuk kepada situasi di mana seorang suami berkongsi satu rumah dengan dua atau lebih isteri. Konsep ini sering dikaitkan dengan poligami, di mana seorang suami mempunyai lebih daripada satu isteri.
Hukum Madu Duduk Serumah Mengikut Mufti
Madu duduk serumah sering dianggap sebagai cara untuk isteri-isteri bermadu berbaik-baik dan saling mengenali dengan lebih mendalam.
Namun, baru-baru ini, isu isteri-isteri bermadu yang tinggal dan mandi bersama telah menjadi viral, justeru penting untuk kita mengetahui pandangan Islam tentang hal ini dengan lebih lanjut.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, jika seseorang isteri meletakkan syarat agar tidak ditempatkan bersama madunya yang lain, maka suami wajib memenuhi syarat tersebut.
Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir, Nabi SAW bersabda:
أَحَقُّ الشُّرُوطِ أَنْ تُوفُوا به ما اسْتَحْلَلْتُمْ به الفُرُوجَ
Maksudnya: Syarat-syarat yang paling berhak untuk kamu semua penuhi adalah syarat yang menghalalkan faraj (iaitu dalam perkahwinan). – Riwayat al-Bukhari (2721) dan Muslim (3537)
Imam al-Ghazali dan ulama lain menegaskan bahawa mengumpulkan isteri-isteri dalam satu rumah tanpa pemisahan yang sesuai boleh mendatangkan kemudaratan dan tidak dibenarkan kecuali dengan persetujuan mereka.
Tempat tinggal yang bersesuaian bagi setiap isteri mesti mempunyai kelengkapan yang berasingan seperti tandas dan bilik air.
Ibn Qudamah pula menyatakan bahawa mengumpulkan dua isteri dalam satu tempat tinggal tanpa keredhaan mereka boleh menyebabkan permusuhan dan rasa cemburu.
Jika kedua-dua isteri bersetuju, maka ia dibenarkan.
Madu Duduk Serumah Mengikut Ustaz Azhar Idrus
Menurut Ustaz Azhar Idrus menerusi satu kuliah agama, “madu” yang bermaksud isteri-isteri kepada seorang lelaki (dalam konteks poligami) dibolehkan duduk serumah dengan syarat-syarat tertentu.
Antaranya, suami mesti berlaku adil terhadap semua isteri terutama dalam pembahagian giliran, nafkah dan lain-lain tanggungjawab.
“Bolehkah kita kumpulkan isteri-isteri sekali duduk di rumah yang sama?”
Jawapan ustaz: “Apabila berkahwin dengan dua, tiga, atau empat isteri, bolehkah mereka duduk serumah? Dalam kitab lama dan moden, hukumnya dibolehkan. Namun, yang tidak dibolehkan ialah melakukan hubungan bersama (serentak).
Duduk serumah dibenarkan, contohnya, isteri pertama di bilik depan dan isteri kedua di bilik belakang. Tidak ada ulama yang mengatakan wajib mengasingkan isteri, tetapi jika mereka berbalah, maka wajib diasingkan.
Ini kerana, syarat sah menunaikan nafkah tempat tinggal adalah menyediakan rumah yang tidak melibatkan sesiapa yang berbalah dengan isteri.
Oleh itu, jika isteri kita berbalah dengan kakak kita, maka tidak boleh duduk serumah jika kakak juga tinggal di situ.
Dalam fiqah Islam, tidak dibenarkan tinggal serumah dalam keadaan tersebut, jadi wajib bagi kita mencari rumah lain kerana kakak kita dianggap sebagai musuh oleh isteri kita.
Tinggal serumah dibolehkan, tetapi tidak boleh duduk dalam bilik yang sama.
Ini kerana mahram yang tiada aurat hanya berlaku antara suami dan isteri. Manakala, antara madu, aurat tetap perlu dijaga dan tidak boleh dilihat oleh satu sama lain.
Pandangan Ulama Poligami Tinggal Satu Rumah Atau Sebilik
Seorang lelaki yang berpoligami wajib menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk setiap isterinya mengikut uruf. Menghimpunkan dua atau lebih isteri dalam rumah yang sama tidak dibenarkan kecuali dengan keredhaan para isteri.
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori menyatakan:
لكن المراد بالمسكن ما يليق بالمرأة من دار وبيت وحجرة، فاللواتي يليق بكل واحدة منهن دار لا يجمعهن في دار، واللواتي يليق بكل واحدة منهن حجرة لا يجمعهن في حجرة وهكذا، وإذا جمعهن في حجر فلا بد أن يكون مرافق كل غير مرافق الأخرى
Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan tempat tinggal iaitulah yang bersesuaian dengan wanita (isteri) terdiri dari rumah dan bilik, rumah yang bersesuaian bagi setiap isteri adalah yang tidak dihimpunkan mereka dalam satu rumah, bilik yang bersesuaian dengan mereka iaitulah bilik yang tidak dihimpunkan semua mereka di dalamnya dan demikianlah, jika dihimpunkan semua mereka di dalam satu bilik, maka mestilah setiap orang memiliki kelengkapan-kelengkapannya yang tersendiri. (Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori)
Kitab yang sama juga menyebut:
ولتجمعا ـ أي : الزوجتان جوازا ولو دون الرضى منهما في مسكن لائق بهما منفصل المرافق من نحو مستراح وبئر وسطح ومرقى إليه، لأنه كالمسكنين فإن لم ينفصل مرافقه لم يجز جمعهما فيه، ولو ليلة إلا برضاهما
Maksudnya: Jika dua orang isteri tinggal dalam satu rumah yang sesuai untuk mereka berdua, dengan kelengkapan keperluan yang berasingan seperti tandas, bilik air, dan lain-lain, maka hal itu boleh diterima.
Namun, jika kelengkapan-kelengkapan tersebut tidak dipisahkan, tidak boleh menghimpunkan mereka, meskipun untuk satu malam melainkan dengan kerelaan mereka.
Sementara dalam kitab Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan oleh Syam al-Din Muhammad bin Ahmad al-Ramli al-Ansori al-Syafie al-Saghir, dinyatakan:
ولو اشتملت دار على حجر مفردة المرافق جاز إسكان الضرات فيها من غير رضاهن، وكذا إسكان واحدة في علو وأخرى في سفل مع تمييز المرافق، لأن كلا مما ذكر مسكن
Maksudnya: Jika sebuah rumah mempunyai bilik dengan kelengkapan keperluan yang tersendiri, boleh menempatkan para madu di dalamnya tanpa kerelaan mereka.
Begitu juga jika satu isteri berada di tingkat atas dan seorang lagi di tingkat bawah, dengan kelengkapan keperluan yang berasingan, kerana setiap bilik dianggap sebagai rumah yang berasingan.”
Al-Wasit oleh al-Ghazali pula menyebut tentang nafkah tempat tinggal, tidak wajar mengumpulkan dua madu dalam satu rumah melainkan kelengkapan keperluan mereka dipisahkan, jika tidak ia akan jelas mendatangkan kemudaratan.
Dari huraian para ulama ini, jelas bahawa seorang suami tidak boleh menghimpunkan dua isteri dalam satu rumah tanpa memisahkan kelengkapan keperluan mereka dan ini bertujuan untuk mengelakkan permusuhan dan pertelingkahan.
Hal ini dikiaskan kepada situasi lain yang boleh menimbulkan perkelahian di antara isteri-isteri. Seperti dinyatakan dalam Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj:
لأن المراد أن لا يشتركا فيما قد يؤدي للتخاصم
Maksudnya: Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan perkongsian dalam perkara yang boleh menyebabkan perkelahian.
Oleh itu, suami wajib berusaha mengelakkan segala punca yang boleh menyebabkan konflik antara isteri-isterinya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Lafaz Cerai Ketika Marah, Suami Perlu Hati-Hati! Ini Jawapan Dari UAI Dan Mufti Wilayah Persekutuan
Baca juga: Suami Isteri Tidak Boleh Bergaduh Lebih Dari Sehari, Jika Berpanjangan Itu Ego Namanya!
Baca juga: Suami Curang & Main Ramai Perempuan Berisiko Sebarkan HIV Pada Isteri
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!