Heboh di sana sini tentang pernikahan kali kedua antara Da’i Farhan dan janda anak lapan yang merupakan seorang doktor. Apatah lagi, Da’i Farhan sendiri telah pun berkahwin dan mempunyai anak satu. Malah, isterinya juga yang bernama Fatin sedang sarat hamil anak kedua. Lantas sebab itu netizen mempersoalkan bagaimanakah perasaan isteri pertama dimadukan?
Tak cukup dengan perkhabaran dia kahwin dengan isteri kedua, kini dia dikatakan pula telah menceraikan isteri pertamanya dengan talak satu menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, alasan perceraian terjadi disebabkan Fatin nusyuz dan memfitnah suami. Namun, sebagai orang luar kita doakan yang baik-baik sahajalah untuk hubungan mereka okey?
Bagaimana perasaan isteri pertama dimadukan?

Berbalik kepada persoalan di atas, isteri mana yang tak makan hati dan sedih bila tiba-tiba dapat tahu suami nikah lagi!
Tak kisahlah sama ada dia berterus terang atau main sorok-sorok tentunya hati isteri akan hancur bagaikan berderainya kaca-kaca yang bertaburan atas lantai.
Tentunya sebagai isteri, kita akan persoalkan apakah kekurangan kita ini di mata suami? Tak cukup lagikah kebahagiaan yang diberi selama ini?
Namun, dalam hati tentu terdetik salahkah sebagai isteri menghalang suami berpoligami sedangkan ia disebut dalam AlQuran.
Walaubagaimanapun, jangan terus bimbang kerana Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.
Hukum isteri melarang suami dari berpoligami

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, tidak berdosa jika seorang isteri melarang suaminya untuk berpoligami sekiranya terdapat keperluan untuk membantah perkahwinan tersebut daripada berlaku.
Namun begitu, seperkara yang harus isteri tahu adalah mengharamkan apa yang Allah SWT telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi syarak seperti ugut untuk cederakan diri sendiri atau orang lain adalah berdosa.
Namun jika melarang atas sebab berlakunya kezaliman pada nafkah dan qismah pada isteri-isteri, anak dan ibu bapa maka ia dibenarkan. Malah perbuatan melarang itu sendiri merupakan nasihat yang terpuji dalam agama Islam.
Ia termasuklah jika perkahwinan tersebut boleh menyebabkan hati isteri sakit lantas munculnya penyakit cemburu.
Rasulullah SAW pernah larang Ali madukan Fatimah
Berdasarkan dalil sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sahaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Hukum poligami bagi suami

#1. Sunat
- Jika lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika isteri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syawatnya daripada zina dan maksiat). Isteri sakit, mandul atau tidak boleh hamil sedangkan suami inginkan zuriat.
- Keyakinan untuk berlaku adil dengan isteri-isterinya.
#2. Makruh
- Jika hanya untuk berlazat-lazat dan berhibur atau syak terhadap kemampuan untuk berlaku adil kepada isteri-isteri.
- Kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri jika tidak mampu berlaku adil.
#3. Haram
- Diyakini bahawa lelaki itu tidak mampu berlaku adil kerana kelemahannya atau kehilangan kepercayaan terhadap diri sendiri seperti mungkin akan berlaku bias, pilih kasih dan lain-lain.
- Poligami menyebabkan mudarat kepada orang lain akan jatuh dalam hukum haram.
Kesimpulannya, hukum isteri melarang suami untuk berpoligami adalah tidak berdosa jika dibuat atas dasar nasihat. Wahai wanita, jangan sesekali biarkan hak anda ditindas dan dilanggar.
Semoga bermanfaat.

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: MuftiWP
Baca juga
https://my.theasianparent.compoligami-di-malaysia
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!