Bagi yang beragama Islam, sudah dari azali lagi yang mana menjadi tanggungjawab seorang lelaki yang sudah bergelar suami untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Namun, apa yang ramai keliru adalah apabila menyentuh soal tanggungjawab seorang lelaki yang bergelar suami, yang mana masih mempunyai ibu bapa sebagai tanggungannya. Siapakah yang perlu didahulukan; isteri dan anak-anak atau ibu bapa si lelaki?
Hal ini akan kita kupas menerusi artikel ini yang mana adalah penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan tentang turutan nafaqah yang perlu diberikan perhatian oleh kaum lelaki.
Turutan sebenar dalam hal nafkah yang sepatutnya suami berikan
Selalu kita dengar isu tentang penceraian yang melibatkan soal nafkah yang tidak diberikan oleh suami terhadap isteri dan anak-anaknya, dengan alasan yang mana masih mempunyai tanggungan ibu bapa yang perlu diberikan keutamaan kerana sudah menjadi tanggungjawab anak lelaki untuk menjaga ibu bapanya.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa seorang lelaki memainkan peranan penting di dalam sesebuah kekeluargaan, dan seorang anak lelaki mempunyai tanggungjawab besar daripada anak perempuan ke atas ibu bapanya. Namun, hendaklah juga seorang lelaki itu yang sudah bergelar suami untuk mendahulukan isteri dan anak-anaknya di dalam soal nafkah. Berikut adalah jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai turutan nafkah:
Soalan:
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Antara nafkah isteri dan nafkah ibu bapa kita, mana satukah yang lebih perlu diutamakan?
Jawapan:
Menurut yang telah tertulis di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menyatakan bahawa jika bilangan usul, furu’ dan yang lainnya yang memerlukan nafaqah (nafkah) adalah ramai, sedangkan lebihan keperluan dirinya tidak mencukupi untuk diberi kepada kesemuanya, dia hendaklah memenuhi keperluan dirinya sendiri dengan memberi keutamaan berdasarkan kepada susunan yang berikut:
- Diri sendiri
- Isteri
- Anak
- Anak yang dewasa tetapi fakir atau gila
- Bapa
- Ibu
- Cucu
- Datuk
- Saudara
- Ahli-ahli keluarga berikutnya
Menurut Mufti WP lagi, turutan pemberian nafkah tersebut juga adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا
Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”
[Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)]
Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa. (Nail al-Autar, 6/381)
Jelas daripada hadis di atas menunjukkan ‘فَلِأَهْلِكَ’ lebih kepada isteri dan anak-anak. Di situ kita boleh faham yang mana selama mana isteri itu menjadi tanggungjawabnya, maka tanggungjawab kepada isteri adalah perlu diutamakan kecuali jika di dalam keadaan darurat, ibu si lelaki (suami) memerlukan bantuan, maka sewaktu itu hendaklah diberikan kepadanya.
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
تَصَدَّقُوا ، فَقَالَ رَجُلٌ : يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ ، فَقَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ : تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ ، قَالَ : عِنْدِي آخَرُ ، قَالَ: أَنْتَ أَبْصَرُ
Maksudnya: “Bersedekahlah.” Seorang lelaki bertanya: “Hai Rasulullah, aku mempunyai dinar.” Baginda menjawab: “Sedekahkan untuk diri kamu sendiri.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai dinar yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada isteri engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.”
Baginda berkata: “Sedekahkan kepada anak engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada hamba engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku masih ada yang lain lagi.” Baginda berkata: “Engkau lebih tahu.”
[Riwayat Ahmad (2335), Abu Daud (1691) dan al-Nasa’ie (2353)]
Hadis ini dengan jelas menunjukkan tanggungjawab kepada isteri adalah yang utama selepas diri sendiri.
Imam Nawawi menyebut: Apabila berhimpun pada seseorang, orang-orang yang berhajat daripada mereka yang diwajibkan memberi nafkah pada mereka, maka sekiranya hartanya cukup untuk menafkahkan semuanya, maka dia wajib menafkahkan semuanya. Namun, sekiranya hartanya tidak lebih kecuali untuk seorang, maka hendaklah mengutamakan nafkah untuk isteri berbanding nafkah untuk keluarga lain. (Raudhah al-Talibin, 9/93)
Imam al-Syaukani berkata: Telah sampai pada tahap ijma’ akan kewajiban memberi nafkah pada isteri. Kemudian jika masih ada lebihan harta daripada itu, barulah ada kewajiban nafkah terhadap keluarga yang lain. (Nail al-Autar, 6/381)
Selain itu, para ulama’ juga menyebut yang mana memberi nafkah kepada ibu bapa adalah tidak wajib bagi seorang anak kecuali dalam keadaan berikut:
- Ibu bapanya miskin dan memerlukan bantuan.
- Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya. Syarat ini disepakati oleh para ulama’. (Mughni al-Muhtaj,3/446; al-Insaf, 9/392 dan Hasyiyah Ibn Abidin, 2/678)
Jelas menurut hadis dan menurut para ulama’ bahawa nafkah untuk isteri itu adalah wajib diberikan oleh lelaki yang bergelar suami biarpun isteri itu kaya. Bahkan, jika suami itu gagal untuk memberikan nafkah semampunya kepada isterinya, ia dianggap berhutang kepada isterinya, melainkan jika si isteri menggugurkan haknya itu dengan kerelaannya sendiri.
Jadi, harus diingat buat para lelaki yang bergelar suami untuk tidak culas dan berkira dalam memberikan nafkah buat isteri dan anak-anaknya kerana ia adalah satu tanggungjawab yang pasti.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Para Suami Wajib Tahu, Nafkah Untuk Isteri TIDAK SAMA Dengan Duit Belanja Bulanan!
Baca juga: 5 Nafkah Suami Wajib Bagi Walaupun Anda Isteri Yang Mempunyai Kerjaya Sendiri
Baca juga: Mahkamah Khas Nafkah Mula Beroperasi Bagi Membela Wanita Yang Terabai Selepas Penceraian
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!