Seorang ibu warga Rusia yang mengalami kehamilan ektopik telah berjaya melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat baru-baru ini. Kelahiran ini sungguh menakjubkan kerana bayi yang sepatutnya membesar di dalam rahim, telah membesar sepenuhnya di dalam rongga abdomen ibunya.
Sepuluh doktor telah menjalankan pembedahan kecemasan “berisiko tinggi” itu, dan berjaya mengeluarkan bayi tersebut. Kes ini adalah salah satu kes yang paling jarang berlaku dalam sejarah kehamilan ektopik, kerana bayi cukup umur berjaya dikeluarkan.
Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan telah melekat di luar rongga rahim.
“Hanya ada segelintir kes seperti ini di dunia,” kata pakar perubatan veteran Vladimir Borovkov di Pusat Pranatal Regional Altai, Barnaul, kepada The Siberian Times.
“Kehamilan dalam abdomen bukan sesuatu yang jarang berlaku, tetapi kes dimana bayi itu berjaya dilahirkan cukup bulan menjadikan kes ini kes yang unik,” kata Dr Borovkov.
“Bayi tersebut adalah akibat persenyawaan secara semula jadi, tetapi telur itu telah ditanam di tempat yang tidak biasa. Bayi itu telah membesar sepenuhnya di luar rahim ibu. “
Miracle Baby
Ibu bapa bayi tersebut telah menamakan anak mereka “Veronika” yang bermaksud “keyakinan dalam kemenangan”. Berat Veronika 4.1 kilogram (9.1 pound) ketika lahir.
Ibu Veronika yang berusia 31 tahun tidak pernah berjumpa pakar ataupun doktor semasa kehamilannya.
Pasangan suami isteri hanya memutuskan untuk memanggil doktor apabila kontraksinya telah bermula.
Doktor Dmitry Erin, doktor yang bertugas mengendalikan pemindahan darah semasa pembedahan itu telah mengatakan bahawa “pembedahan jenis ini mempunyai risiko yang tinggi”.
Ini merupakan kehamilan pertama untuk ibu Veronika, “Saya dapat merasakan bayi bergerak di dalam perut saya dan telah anggap semuanya normal, “katanya.
“Tetapi apabila tiba masa untuk melahirkan, saya tidak mengalami sebarang kontraksi, jadi saya memutuskan untuk berjumpa doktor.
Selepas imbasan ultrasound, saya telah dihantar dengan segera untuk pembedahan. “
Dia bersyukur anaknya berjaya diselamatkan melalui pembedahan risiko tinggi itu dan telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada doktor-doktor terbabit.
Kedua-dua ibu dan anak dilaporkan dalam keadaan selamat dan sihat selepas pembedahan tersebut.
Bahayanya kehamilan ektopik abdomen
Kehamilan ektopik jenis ini sangat bahaya untuk ibu dan janin.
Untuk ibu mengandung, dia berisiko untuk mengalami pendarahan dalam jika uri tertanggal dari ruang abdomen atau organ dimana ia melekat.
Bagi janin, bahaya termasuk tidak menerima darah dan nutrien yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan yang sihat, dan tidak dilindungi oleh kantung amniotik dan cecair (seperti biasa dalam rahim).
Di samping itu janin yang selamat dilahirkan mungkin akan mengalamai kecacatan.
“Keadaan dalam bilik pembedahan sungguh tegang tetapi berubah menjadi tenang apabila mendengar tangisan kuat bayi yang berjaya dikeluarkan,” kata Dr. Marat Zhazhiev.
“Tiada bunyi yang lebih penting daripada tangisan bayi ini.”
Rawatan Kehamilan Abdomen
Seperti yang telah dikatakan, kehamilan abdomen jarang menghasilkan kelahiran bayi yang hidup.
Kebanyakan kehamilan ini akan ditamatkan secara perubatan atau pembedahan.
Jika dikesan lebih awal, kehamilan akan ditamatkan dengan satu dos methotrexate (Trexall), ubat yang boleh menghentikan sel dari terus membahagi.
Ubat ini juga beracun kepada plasenta.
Tetapi kalau kehamilan ditamatkan melalui pembedahan, pakar bedah mesti mengambil langkah keselamatan untuk mencegah pendarahan teruk di tempat implantasi.
Dalam sesetengah kes dan untuk mengelak pendarahan, wanita itu akan dirawat dengan methotrexate dan plasenta wanita tersebut akan ditinggalkan di dalam badannya.
Badan wanita itu akan menyerap balik plasenta yang ditinggalkan.
Inilah sebab mengapa kes ibu ini sungguh menakjubkan.
Menurut laporan Rusia, para doktor kini sedang menyiasat sebab mengapa kehamilan akibat persenyawaan normal boleh menyebabkan pertumbuhan bayi di luar rahim.
Kes ini akan menjadi subjek kajian jurnal perubatan yang akan datang.
Sumber: NTD.tv, Everyday Health
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!