Setiap anak yang sedang membesar amat memerlukan kasih sayang dan perhatian dari ibu ayah. Walau bagaimanapun tidak semua dapat merasainya, ada ibu meninggal dunia pada usia terlalu awal.
Mahu ataupun tidak, inilah takdir hidup yang telah ditetapkan oleh Allah. Anak-anak masih kecil perlu lebih berdikari dalam menguruskan diri masing-masing atau meminta bantuan dari ahli keluarga lain.
Ibu meninggal dunia, anak sulung urus sendiri adik-adiknya
Menerusi perkongsian video yang tular di media sosial oleh DrFaizan Isa, baru-baru ini beliau telah mengagih-agihkan sumbangan daging korban sempena hari raya AidilAdha.
Namun hatinya amat tersentuh apabila menziarahi keluarga malang ini apabila mereka baru sahaja kehilangan ibu tercinta.
Dia adalah kakak sulung dalam adik-beradiknya. Ibunya baru sahaja pergi meninggalkan mereka adik-beradik.
Kebetulan kami datang ziarah ke rumah mereka. Agihkan pek daging qurban. Tanpa berlengah, dia terus buka dan panaskan supaya adik-adik yang lain dapat makan.
Dia menyuap adik-adik dengan penuh kasih sayang. Alhamdulillah, dapat juga mereka merasa daging qurban pada tahun ini.
Meskipun berdepan kesukaran hidup, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.
Ibu meninggal dunia ketika kecil, ini keistimewaan anak yatim dalam Islam
Kehilangan seseorang amat disayangi adalah perkara yang amat menyakitkan. Apatah lagi dalam usia masih kecil dan tidak dapat berdiri sendiri. Oleh sebab itu Islam amat memberikan banyak keistimewaan kepada anak yatim.
Perkataan yatim sebenarnya berasal dari bahasa Arab bermaksud anak kecil yang kematian ayah dan belum baligh.
Dalam al-quran ada menyebut 23 kali perkataan yatim dan ini jelas menegaskan bahawa pentingnya anak-anak yatim dipelihara. Antara ganjaran bagi sesiapa yang menyantuni mereka adalah:
#1. Memperoleh pahala yang berlipat kali ganda
Setiap orang yang sering melakukan kebaikan dan menyantuni anak yatim akan mendapat pahala yang besar. Tidak hanya ketika hidup di dunia, namun juga ketika di akhirat nanti.
#2. Tergolong dalam kalangan orang beriman
Sekiranya menyantuni dan menyayangi anak yatim, InsyaAllah kita termasuk dalam golongan orang yang beriman serta bertakwa kepada Allah.
”Dan memberikan hanya yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah).
#3. Dapat bersama dengan Rasulullah di syurga
Bagi mereka yang sering berbuat baik kepada anak-anak yatim, anda dapat berada dekat dengan Rasulullah S.A.W di syurga. Bahkan jaraknya hanya sebatas antara jari telunjuk dengan jari tengah sahaja.
Rasulullah bersabda, ”Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini,” kemudian Baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah, serta merenggangkan keduanya.” (HR. Bukhari, Shahih Bukhari, Sahl bin Sa’ad As- Sa’idiy)
Bukan itu sahaja, kelebihan bagi mereka yang sentiasa menyantuni anak yatim juga dapat merasai kenikmatan daripada Allah berupa air minuman dari mata air syurga.
#4. Dilimpahkan lebih banyak rezeki
Allah juga akan memberikan rezeki yang melimpah-ruah dan juga kemuliaan kepada sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim.
”Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata, ‘Tuhanku telah memuliakanku.’ Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata, ‘Tuhanku menghinaku.’ Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim.” (surah Al-Fajr ayat 15-17).
#5. Dijauhkan dari azab Allah
Rasulullah S.A.W bersabda, ”Demi Allah yang mengutusku dengan kebenaran di hari kiamat Allah SWT tidak akan memberi azab orang yang mengasihi anak yatim dan berbuat baik padanya serta manis tutur katanya. Dia benar-benar menyayangi anak yatim dan mengerti kekurangannya, dan tidak menyombong diri pada tetangganya atas kekayaan yang diperoleh Allah kepadanya.” (HR Tabrani).
Agama Islam memberikan kedudukan yang tinggi kepada seorang anak yatim. Justeru setiap orang hendaklah berbuat baik dan memuliakan mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Covid-19 Ragut Nyawa Ibu Ayah, 5 Beradik Jadi Anak Yatim Piatu Dalam Sekelip Mata