''Ingatkan 2 Minggu, Sekarang Dah Setahun,'' Iklan McDonald's Singapura Buat Ramai Sebak
Iklan mcd sebelum ini sering memaparkan keseronokan menikmati makanan bersama keluarga, namun Ramadhan ini amat berbeza kerana mengundang sebak orang ramai
Masuk tahun ini, ia adalah tahun kedua kita meneruskan kehidupan ketika pandemik Covid-19. Baru-baru ini tular di Twitter mengenai sebuah video iklan Mcd Singapura yang memaparkan kisah sebenar pekerja Malaysia yang terpisah dengan ahli keluarga kerana sempadan negara ditutup.
Pastinya ramai perantau tidak dapat pulang ke kampung bagi menyambut bulan Ramadhan dan Aidilfitri pada tahun ini kerana kerajaan telah melaksanakan undang-undang yang lebih ketat bagi mengawal pergerakan rakyat.
Iklan Mcd Singapura mengundang air mata penonton
Siapa sangka tidak hanya yang berada di Malaysia sahaja merasai keperitan menahan rindu terhadap orang tua dan keluarga di kampung, malah golongan pekerja di Singapura lebih tertekan kerana ada yang sudah bertahun tidak dapat bertemu mata dengan isteri dan anak-anak.
Justeru restoran makanan segera Mcdonalds dengan kerjasama kedua-dua buah negara telah menghasilkan sebuah video mengisahkan pekerja Malaysia yang menjalani ibadah puasa di Singapura tanpa ditemani oleh keluarga.
Pada permulaan video, seorang lelaki bernama Samsuri mengatakan bahawa dia menyangka Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) hanya memakan masa dua minggu sahaja, tetapi sekarang sudah lebih setahun dia tidak dapat bertemu dengan isteri dan anak perempuannya yang bakal memasuki usia 2 tahun.
Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan hanya berhubung dengan anaknya melalui panggilan video. Samsuri turut mengakui bahawa Ramadhan tahun ini amat berbeza kerana tidak dapat duduk semeja dan berbuka puasa dengan keluarga.
”Jadi Ramadhan tahun ini saya berbuka seorang diri sahaja di Singapura. Ada juga terfikir untuk pulang ke Malaysia ketika keluarga perlukan saya, rumah dilanda banjir dan ayah mengalami strok.”
”Tapi fikirkan pasal komitmen, ini pengorbanan sayalah untuk keluarga yang ada dekat sana.” kongsinya.
Tambah Samsuri lagi, dia memiliki beberapa orang rakan yang senasib dengannya dan saling memberi sokongan antara satu sama lain agar semua kuat berada di Singapura.
”Jika saya dapat balik Malaysia, saya teringin sangat nak peluk kedua-dua ibu bapa, mentua. Tiga bulan berada di sini ibarat tiga tahun tak berjumpa. Tanggungjawab lebih penting dan saya terpaksa kuatkan diri sahaja,” cerita rakan Samsuri, Rozaini sambil menitis airmata.
”Kalau saya berkesempatan untuk berjumpa ahli keluarga, saya nak bagitahu macam mana rasanya meneruskan kehidupan di sini dengan perasaan rindu yang menggunung terhadap isteri dan anak. Saya teringin nak jumpa mereka seperti sebelum ini, ulang-alik setiap hari dapat jumpa.” kongsi Anas pula.
Jelas Samsuri lagi, dia selalu berjanji suatu hari nanti akan pulang berjumpa ahli keluarga di Malaysia. Dia juga mendoakan agar isteri dan keluarganya kekal kuat, sabar menunggu kepulangannya nanti setelah sempadan negara dibuka.
Iklan Mcd menghimpunkan ahli keluarga berbuka puasa bersama-sama secara maya
”Ayah!” kedengaran seorang kanak-kanak memanggil-manggil bapanya. Samsuri dan rakan-rakannya masih dilihat begitu gembira apabila mereka melihat ahli keluarga melambai-lambai di paparan skrin.
Ayah Samsuri yang begitu sebak telah menangis ketika panggilan video berkenaan. Tidak dapat berkata apa-apa, hanya senyuman bersama air mata sahaja menemani Samsuri dan rakan-rakannya.
Pertemuan keluarga secara maya ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerinduan yang dirasai dan mereka juga berpeluang untuk mengambil swafoto bersama-sama.
Pastinya tidak ada sesiapa yang sanggup untuk berjauhan dengan orang tersayang dalam tempoh masa begitu lama. Bebanan menahan rindu boleh menguji kekuatan mental sehingga ada yang nekad untuk hilang pekerjaan dan pulang ke kampung.
Dengan sempadan negara masih ditutup, diharapkan agar pandemik Covid-19 ini segera ditangani dan keadaan dapat pulih seperti sedia kala.
Kami di theAsianparent mendoakan buat mereka yang terpisah lama daripada keluarga agar sentiasa kuat dan tabah dalam mengharungi ujian pandemik ini. Anda tidak keseorangan!
Tonton video penuh iklan Mcd Singapura di sini.
Sumber: mcdsg
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman
Baca juga: (Video) 7 Bulan Tak Jumpa, Bapa Buat Suprise Menyamar Pekerja Aircond Bikin Sebak!