Tanggungjawab isteri bekerja dan dalam pada masa seorang ibu kepada anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Mana tidaknya keluar rumah awal pagi dan menjelang Maghrib baru sampai rumah.
Sememangnya jauh di sudut hati para ibu terfikir akan keadaan anak-anak di rumah atau pusat jagaan. Namun sesukar manapun hidup, ia perlulah diteruskan. Anggap sahaja anda sedang berjihad bagi membantu suami membesarkan anak-anak menjadi insan hebat suatu hari nanti.
Baca juga: Bila Isteri Mengungkit, Bukan Tidak Ikhlas Berkorban Tapi Sekadar Mengingatkan Suami
Jadual isteri bekerja pada setiap hari
Menurut perkongsian oleh seorang isteri bekerja, Izyan Izdihar Shaarani, dia bekerja jauh dari rumah dan setiap hari akan pulang menjelang waktu maghrib.
Sampai di rumah, katakanlah dalam pukul 7.30pm. Dalam jadual saya, anak-anak perlu sudah masuk tidur tepat jam 10pm. Jadi, saya hanya ada masa 2 jam setengah sahaja untuk buat semua ini:
- Mandi, solat
- Ajar anak mengaji
- Masak, kemas rumah
- Basuh pinggan, sapu sampah
- Basuh dan sidai pakaian
- Semak kerja sekolah anak
- Bersembang dengan suami dan anak
- Sidai, lipat dan gosok kain
Pastinya saya tidak mampu melakukan kesemua perkara ini bersendirian dengan berkualiti. Jadi ia memang mustahil! Maka saya sudah merancang jadual sendiri mengikut kudrat dan cara sendiri. Yang penting tetapkan objektif:
- Anak dan suami dapat perhatian sewajarnya
- Rumah tidak terlalu bersepah
- Semua perut kenyang
- Kami dapat meluangkan masa berkualiti walaupun sekejap dan bergembira
Usah memaksa diri, buatlah mengikut kudrat
Apa sahaja yang saya buat atau tidak buat, saya akan pastikan keempat-empat objektif ini tercapai. Jika larat untuk masak, saya akan masak. Kalu tidak, pesan sahaja melalui atas talian. Yang penting tiada yang mengamuk kelaparan.
Rasa larat kemas rumah, kemas. Larat sapu, sapu. Larat vacuum, vacuum. Kalau tidak larat, kemas meja sudah memandai. Hanya bersihkan dekat kawasan yang nampak jelas di mata seperti atas sofa, depan tv dan atas meja.
Bab basuh kain pula, kalau larat basuh dan jemur, kami buat. Jika tidak, suami akan tolong pergi dobi untuk keringkan. Kalau suami pun dah tertidur atau penat, aku biarkan sahaja nanti esok boleh basuh semula. Benda boleh bertenang, jangan stres.
Yang penting saya wajibkan:
#1. Luangkan masa dengan anak. Kita dah tinggalkan dia sepanjang hari, biarlah dia bersama ibu ayah selama dua jam setengah. Ini je masa yang kita ada dengan mereka.
#2. Ajar anak mengaji. Seboleh-bolehnya kami suami isteri cuba untuk tidak skip rutin ini.
#3. Makan bersama, duduk semeja dengan anak. Kalau sempat, kami layan Netflix juga walaupun sekejap.
#4. Sediakan sarapan pagi untuk anak dan suami. Saya suka luangkan masa sebelum masing-masing berpisah ke destinasi sendiri.
Rumah berkilat dan tersusun bukan boleh beri kebahagiaan
Rumah sentiasa bersih, berkilat dan tersusun hanyalah kehendak diri sahaja. Bukannya keperluan. Berilah masa dan perhatian yang secukupnya pada anak kerana proses anak membesar sangat cepat. Bila suatu hari nanti, dia mungkin tidak berminat untuk duduk bersama dan bersembang dengan ibu ayah.
Justeru, ibu ayah fokuslah pada objektif lebih utama, kemenjadian anak dan mencipta memori agar boleh dikenang sampai bila-bila.
Saya teguh dengan modul ‘penat sama-sama, rehat sama-sama’. Jangan mengalah selagi objektif tidak tercapai!
Buat para suami, teruskanlah berbuat ihsan kepada isteri. Percayalah dia sentiasa mencuba melakukan yang terbaik buat anda dan anak-anak mengikut kudrat diri. Kalau ada sesiapa yang menghasut anda agar jangan bantu isteri, biarkan isteri buat sendiri sebab itu tugas dia atau bantu isteri tanda anda takut bini, ha pergi hembus auzubillahi minasyaitoonn nirrajimm kat ubun-ubun dia!
Dalam pengurusan rumah tangga, tiada sesiapa yang perlu terkorban. Selagi suami isteri masing-masing berlapang dada memahami dan saling bertolak ansur, percayalah Allah akan bantu kita.
Kuncinya adalah bersabar dan banyakkan berkomunikasi. Menangis dan bersuaralah supaya setiap isi hati kita sampai kepada suami.
Sumber: Izyan Izdihar Shaarani
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia