Isteri bunuh suami untuk bersama kekasih gelap
Ngeri dan penuh tanda tanya. Hanya itu yang dapat saya ucapkan apabila membaca tentang kisah isteri bunuh suami demi kekasih gelap ini.
Seorang jururawat bernama M. Swathi, 27 tahun, telah ditahan baru-baru ini di India atas tuduhan membunuh suaminya.
Sudahlah membunuh suaminya, Swathi juga telah mencurah asid di muka kekasih gelapnya kerana ingin lelaki yang dikenali sebagai Rajesh itu “berlakon” dan menggantikan tempat suaminya!
Perbuatan kejam yang penuh plot twist itu terbongkar kerana semangkuk sup kambing.
Isteri bunuh suami selepas curang
Semuanya bermula begini. Swathi telah lama curang dalam perkahwinan bersama seorang pakar fisioterapi bernama Rajesh.
Mereka berdua kemudiannya merancang untuk membunuh si suami, Sudhakar atas cita-cita untuk bersama.
2 minggu sebelum ditangkap, Swathi dan Rajesh telah mencucuk ubat anestesia pada Sudhakar. Selepas Sudhakar tidak sedarkan diri, kepalanya dihentak dan dipukul dengan besi panas sebanyak beberapa kali.
Kemudian, Swathi dan Rajesh membakar mayat Sudhakar dan mencampakkan saki-baki tulangnya di dalam hutan di Nawabpet, India.
Selepas suami mati, kekasih gelap cuba GANTI tempat suami
Jangan ingat cerita pembunuhan kejam ini berakhir begitu saja! Selepas kematian suaminya, Swathi mengambil tindakan drastik yang agak gila.
Dia mencurahkan asid di muka Rajesh! Selepas itu, mereka berdua berpura-pura berlakon mengatakan Rajesh adalah Sudhakar dan mukanya tercedera kerana diserang.
Menurut laporan pihak media tempatan, NDTV, Swathi dan Rajesh merancang untuk membenarkan pembedahan plastik dilakukan ke atas Rajesh bagi mengganti tempat si suami yang dibunuh.
Semuanya berjalan lancar sebelum tiba-tiba ia terbongkar dek semangkuk sup kambing.
Kes isteri bunuh suami ini terbongkar kerana semangkuk sup kambing
Ketika di hospital menjalani rawatan akibat kecederaan disimbah asid, Rajesh telah menimbulkan kecurigaan dalam keluarga Sudhakar.
Keluarga Sudhakar yang datang melawat Rajesh di hospital (dalam menggangap dia adalah Sudhakar) sering membawa pelbagai makanan untuk si pesakit.
Antaranya seperti semangkuk sup kambing yang menjadi kegemaran Sudhakar. Namun, Rajesh enggan makan sup tersebut kerana dia adalah seorang vegetarian!
Keluarga Sudhakar yang mula curiga mendapati dari pihak hospital yang Rajesh sebenarnya adalah seorang vegetarian. Mereka semakin curiga.
Satu hari, mereka meminta Rajesh mengenalpasti ahli keluarga sebagai ujian. Rajesh yang sah-sah tidak bersedia akhirnya gagap dan gagal ujian tersebut.
Abang Sudhakar terus membuat laporan polis selepas itu. Pihak polis kemudiannya melakukan ujian pemeriksaan cap jari untuk mengenalpasti siapakah lelaki yang dikatakan berlakon sebagai Sudhakar ini.
Akhirnya semua terbongkar!
Ilham membunuh dan merancang dari filem
Selepas pihak polis menekan dan menyoal siasat Swathi, akhirnya isteri itu mengaku dia membunuh suaminya kerana tidak gembira dalam perkahwinan mereka.
Swathi juga mengaku segala rancangannya untuk membunuh dan menggantikan tempat si suami diperolehi oleh dirinya dari sebuah filem Hindu bertajuk Yevadu.
Dalam filem itu, seorang lelaki terpaksa melalui pembedahan plastik dan berjaya diberi muka baru.
Pihak polis akan menahan Rajesh apabila dia kembali pulih daripada rawatan kebakaran muka yang dijalaninya di hospital kelak.
Aneh dan menyeramkan sungguh!
Mana-mana isteri atau suami yang tidak bahagia dalam perkahwinan, jangan ambil tindakan yang merugikan diri anda sendiri seperti ini.
Sudahlah perbuatan membunuh itu merupakan satu jenayah, sekarang atas fikiran yang cetek, anda mungkin terpaksa dihukum dan menjalani kehidupan dalam penjara pula.
Demi apa? Demi cinta dan kebahagiaan? Itu semua adalah perkara yang sia-sia. Ambillah kisah ini sebagai pedoman.
Artikel disumbang oleh theAsianparent Singapore
Kredit gambar: redmalehummingbird.wordpress.com
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comtanda-amaran-perkahwinan-ada-masalah/