Jangkitan Bakteria Lepas Bersalin Mampu Makan Organ Seperti Kisah Ibu Ini

Jangkitan Bakteria Lepas Bersalin Mampu Makan Organ Seperti Kisah Ibu Ini

Jangkitan bakteria selepas bersalin bukan perkara yang harus dipandang ringan! Mari ambil ikhtibar dan pengajaran dari kisah menyayat hati ibu ini.

Jangkitan bakteria selepas bersalin

Siapa yang menyangka selepas selamat melahirkan anak pertama di hospital Mac tempoh hari, Lindsey Hubley akan menghadapi satu cabaran yang lebih sukar.

Lindsey dan tunangnya, Mike Sampson telah menyambut kelahiran bayi Myles mereka di hospital Halifax, Nova Scotia, Kanada.

Tapi Lindsey hanya sempat mendukung si manjanya itu sekejap saja.

Selepas selamat bersalin, Lindsey tiba-tiba dimasukkan semula ke hospital. Namun kali ini, beliau terpaksa dibedah dan diletakkan dalam keadaan koma.

Yang lebih menyayat hati, doktor pakar mengesahkan Lindsey dijangkiti jangkitan bakteria Necrotizing fasciitis, sejenis penyakit “pemakan organ” yang amat berbahaya.

jangkitan bakteria selepas bersalin

Kredit: Washington Post

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, jangkitan tersebut amat jarang berlaku namun ia boleh terjadi apabila bakteria memasuki tubuh badan melalui luka yang terbuka.

Ia boleh merebak dengan sangat cepat.

Akibat serangan jangkitan itu, mereka terpaksa mengambil satu keputusan drastik – memotong kedua-dua tangan dan kaki ibu malang tersebut!

Jangkitan bakteria selepas bersalin akibat luka yang terbuka

Kini, selepas 7 bulan, Lindsey masih terlantar di katil hospital. Namun, beliau nekad untuk bangun melawan jangkitan bakteria selepas bersalin tersebut.

Lindsey kini boleh keluar dari hospital, namun terpaksa menggunakan kerusi roda dan akan menjalani pemindahan buah pinggang tidak lama lagi.

Malah, Lindsey juga dikatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pusat Kesihatan IWK dan beberapa doktor pakar di Halifax di atas kecuaian yang terjadi padanya ketika bersalin.

Menurut peguam bela beliau, Ray Wagner – semua kejadian ini mungkin boleh dielak jika Lindsey dirawat dengan sewajarnya ketika beliau kembali ke hospital selepas bersalin.

jangkitan bakteria selepas bersalin

Kredit: Washington Post

Pada waktu itu, Lindsey tiba-tiba mengalami kesakitan di bahagian perut yang sungguh “tajam”. Namun pihak hospital mengatakan Lindsey hanya menghidap sembelit dan boleh pulang. 

Keesokan harinya, beliau sekali lagi dibawa ke hospital dengan ambulans apabila kesakitan itu kembali menyerang. 

Doktor pakar membawa Lindsey ke dewan bedah apabila beliau tiba-tiba mengalami kejutan septik dan pelbagai sistem malah organ dalam badannya gagal berfungsi!

Wagner menerangkan selepas Lindsey bersalin, terdapat sebahagian plasenta yang tidak dibuang sepenuhnya dan kesan koyakan di vagina beliau tidak dijahit dengan betul. 

Doktor akhirnya memutuskan beliau terkena jangkitan streptococcal kumpulan A yang mencetuskan bakteria necrotizing fasciitis.

Lindsey kemudiannya diletakkan dalam keadaan koma menerusi perubatan supaya doktor dapat memperbaiki tisu organ badan beliau yang rosak.

Namun, hal itu bermaksud Lindsey akan kehilangan tangan dan kedua-dua kakinya.

Selepas bangun dari koma, Lindsey menghadapi kesukaran untuk bercakap. Akan tetapi, beliau dikatakan ingin pulang ke rumah dan menjadi ibu kepada anak-anaknya.

jangkitan bakteria selepas bersalin

Sungguh cekal dan tabah ibu Lindsey ini! 

Pengajaran daripada kisah menyayat hati ini

Kami amat bersimpati dengan kejadian yang terjadi pada ibu malang ini.

Siapa yang menyangka, dek jangkitan bakteria yang memakan organ, ibu ini terpaksa menghadapi kenyataan dipotong kedua-dua kaki dan tangan selepas selamat bersalin.

Ketahuilah bahayanya jika luka selepas bersalin anda tidak dijaga dengan betul dan teliti. Bakteria necrotizing fasciitis tidak mengira mangsa!

Sekali dijangkiti, pelbagai tisu dan organ badan boleh dilumpuhkannya. 

Penjagaan luka selepas bersalin yang disarankan

Penjagaan luka yang betul adalah cara terbaik untuk mencegah jangkitan bakteria. Antara penjagaan yang disarankan adalah:

  • Tutup luka yang terbuka dengan bandage kering hingga ia sembuh
  • Jangan tangguh pertolongan cemas jika anda terluka/luka ringan
  • Jangan ke mana-mana kolam renang, kolam air panas, tasik atau pantai jika ada kesan luka yang masih terbuka
  • Sentiasa basuh tangan anda

Jika anda mengalami tanda-tanda seperti demam, menggigil, kepenatan, muntah dan rasa kejang di bahagian luka tersebut, segera dapatkan bantuan perubatan.

Semoga kejadian seperti ini dapat kita elak!

Sumber rujukan: The Washington Post, Centers for Disease Control and Prevention dan CBS News

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Bayi Baru Lahir Dijangkiti Bakteria Dari Ibu Yang Makan Pil Plasenta!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Ayu Idris

app info
get app banner