Majlis Baby Shower Untuk Dedahkan Jantina Bayi, Adakah Dibolehkan Dalam Islam?

Jantina bayi yang didedahkan kepada umum di dalam majlis baby shower menyebabkan masyarakat menolak dan bersetuju supaya diharamkan.

Majlis baby shower atau pendedahan jantina bayi kepada khalayak umum bukanlah sesuatu perkara yang asing lagi dalam masyarakat. Ia merupakan upacara yang dihadiri oleh ahli keluarga atau rakan terdekat. Kebiasaannya bakal-bakal ibu akan dihujani dengan bermacam jenis hadiah.

Setiap pasangan suami isteri bakal bergelar ibu ayah pasti cukup teruja untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Apatah lagi bagi bakal-bakal ibu yang sedang sarat mengandung anak sulung.

Memandangkan ia merupakan trend, sesetengah pasangan sanggup menghabiskan banyak wang atau melakukan perkara tidak sepatutnya bagi menjadikan majlis berkenaan ‘lain dari yang lain’.

Apa Itu Baby Shower

Jangan terkejut sekiranya anda baru mengetahui majlis ini merupakan perayaan ritual Greek dan Mesir Purba untuk meraikan ibu yang mengandung.

Pada masa yang sama, mereka berhajat untuk menyampaikan keinginan yang baik kepada dewa dan dewi masyarakat Greek.

Kemudian, bayi yang bakal dilahirkan akan dibaptiskan iaitu upacara menyucikan bayi sebagai tanda kesyukuran kepada Dewa dan Dewi. 

Jadi, jika ada yang menyamakan ia dengan adat melenggang perut versi moden, sekiranya dilihat dari asal usul sejarah jelas menunjukkan ia bercanggah dengan adat tradisi budaya Melayu. 

Tragedi Sambutan Majlis Baby Shower

Walaupun begitu siapa sangka sikap berlebih-lebihan ini telah mendatangkan kejadian atau malapetaka sehingga boleh membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Jika menyingkap kembali, trend majlis baby shower ini telah diasaskan oleh seorang penulis blog, Jenna Karvunidis pada tahun 2008. Difahamkan dia dan suaminya menginginkan pendekatan yang istimewa bagi mencipta kejutan kepada ahli keluarga tentang jantina bayi dalam kandungan.

Kemudian Jenna telah membakar sebiji kek yang apabila dipotong, frosting di dalamnya berwarna merah jambu menunjukkan ia adalah seorang bayi perempuan.

Bermula dari sinilah ia menjadi tular dan fenomena kebanyakan para ibu mengandung bagi mencipta kejutan secara besar-besaran seperti menghasilkan letupan asap berwarna biru ataupun merah jambu.

Siapa sangka telah banyak insiden buruk berlaku akibat ‘kelainan’ yang dicipta dalam majlis pendedahan jantina bayi ini. Pada 7 September lalu, rancangan pasangan suami isteri untuk mengadakan majlis ini di Taman El Rancho Doradi di Yucaipa, California telah bertukar menjadi malapetaka.

Mereka telah menggunakan alat piroteknik dalam majlis berkenaan, namun malangnya menyebabkan kebakaran beribu-ribu ekar hutan.

Selepas kejadian buruk ini berlaku, ramai mempersoalkan kepentingan untuk mendedahkan jantina bayi.

Mereka turut menghasilkan pelbagai meme sindiran memandangkan ia sebenarnya tiada langsung yang istimewa atau penting tentang jantina seseorang manusia.

Bukan itu sahaja, wanita yang memulakan trend berkenaan juga telah tampil meminta orang ramai untuk segera berhenti daripada melakukan pelbagai perkara mengarut bagi mendedahkan jantina anak.

Selain itu, ada juga yang berpendapat bahawa majlis pendedahan jantina bayi dalam kandungan perlu diharamkan kerana pada zaman kini, ia menjadi sesuatu yang cukup mengarut dan mendatangkan bahaya.

Pada awal tahun ini juga pernah menjadi tular apabila pasangan suami isteri telah dikecam kerana mereka telah menganiaya buaya bagi mendedahkan jantina kepada orang ramai.

Hukum Baby Shower Menurut Islam

Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, masyarakat Melayu biasanya akan menjalankan upacara melenggang perut ketika kandungan memasuki usia 7 bulan.

Namun perubahan waktu ini, ia sudah tidak mendapat tempat lagi dalam kalangan ibu hamil dan menggantikannya dengan majlis baby shower.

Menurut Islam, setiap pasangan yang bakal menerima cahaya mata hendaklah berhati-hati melakukan sesuatu majlis supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran agama.

Daripada Ibn Umar RA. Rasulullah S.A.W bersabda:

من تشبه بقوم فهو منهم

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah daripada kalangan mereka (Riwayat Abu Daud [4031]).

Imam al-Sana’ni Rahimahullah ketika menafsirkan hadis di atas berkata, bahawa sesiapa yang menyerupai orang fasiq ataupun kafir atau melakukan bid’ah dalam apa juga perkara dari segi pemakaian, tingkah laku atau gerak geri, maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka (Subuh al-Salam 2/647).

Majlis baby shower bukanlah sebahagian daripada syariat Islam dan adalah lebih baik jika ibu ayah menyambut kelahiran bayi seperti saranan agama iaitu:

  • Menukar nama kepada majlis kesyukuran atau doa selamat yang dirasakan bersesuaian supaya mengelakkan fitnah.
  • Majlis ini hendaklah bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama tetamu yang hadir dan bukannya mengikut trend budaya barat semata-mata.
  • Mengelakkan sebarang pembaziran ataupun tidak boleh bermegah-megah.
  • Aktiviti yang dianjurkan ketika majlis hendaklah tidak menyebabkan kelalaian dan idak tersimpang dari ajaran Islam.
  • Sebaiknya majlis seumpama ini diadakan bagi mendoakan kesejahteraan bakal ibu dan bayi agar mereka berada dalam keadaan selamat sehinggalah selepas proses kelahiran.

Adab Menyambut Kelahiran Bayi

1. Memberikan ucapan tahniah berserta doa

Sebagai orang terdekat atau ahli keluarga, ada baiknya jika kita memberikan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak sepertimana yang dituntut dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim oleh Hasan al-Basri.

Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:

بورك لك بالموهوب و شكرت الواهب و رزقت بره و بلغ اشده

“Moga engkau diberkati dengan anugerah kelahiran bayi ini, dan bersyukur kepada yang Maha Pemberi dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia akan membesar.”

Ibu dan bapa diajar untuk menjawab:

بارك الله لك و بارك عليك و رزقك الله مثله

“Moga Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan rezeki seperti ini .”

2. Melaksanakan azan dan iqamat 

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, si bapa atau wali disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Ia bertujuan supaya si anak akan mendengar ucapan pertama yang mengagungkan Allah, syahadah dan seruan menunaikan perintah-Nya.

3. Mentahnik dan mencukur rambut bayi

Upacara mentahnik atau membelah mulut disunatkan dengan melumatkan kurma dengan jari dan letakkan perlahan-lahan ke mulut anak. Kemudian, diratakan kurma tadi pada seluruh bahagian lelangit bayi. 

Tujuannya untuk menguatkan gusi, urat serta merangsang bayi untuk minum susu ibu. 

Sunat juga mencukur rambut bayi sehingga licin pada hari ke -7 kelahiran. Kemudian, rambut tadi ditimbang dan disedekahkan sama nilai beratnya kepada fakir miskin. Ia membantu menguatkan kepala bayi dan memperkuatkan pancaindera di sekitarnya. 

4. Memberi nama anak dengan maksud yang baik

Ibu bapa disunatkan memberikan nama anak  sama ada pada hari ketujuh atau hari pertama kelahiran anak mereka. Nama-nama tersebut mestilah mempunyai maksud yang baik.

Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud :

“Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith (حارث) dan Hammam (همام) manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.”

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bayi Sorokkan Jantina Bila Scan? Ini 22 Cara Nak Tahu Anda Hamil Anak Lelaki Atau Perempuan

Baca juga: Panduan Lengkap A Hingga Z, Checklist Barangan Keperluan Bayi Baru Lahir & Bersalin

Baca juga: Ibu Hamil Buat 5 Perkara Ini Supaya Persediaan Bersalin Lebih Tenang