Catatan kes harian baharu melibatkan jenis penyakit berjangkit, Covid-19 berada di paras membimbangkan sehingga tidak menunjukkan sebarang penurunan. Jika awal-awal dahulu, golongan pesakit kronik dikatakan paling berisiko.
Namun kini Covid-19 tidak mengenal usia. Varian baharu yang muncul boleh meragut nyawa orang muda yang sihat, bayi, kanak-kanak dan ibu mengandung dalam masa begitu singkat.
Bahaya jenis penyakit berjangkit Covid-19, jururawat beri pesanan kepada bakal ibu
Sebuah video dikongsi di akaun Tiktok @mummyammara memaparkan seorang wanita lengkap memakai seragam jururawat menasihatkan pasangan yang sudah berkahwin agar merancang terlebih dahulu untuk mendapatkan cahaya mata ketika tempoh pandemik ini.
Hal ini adalah kerana kadar bilangan ibu mengandung yang terkena jenis penyakit berjangkit tersebut semakin tinggi. Lebih membimbangkan lagi, tahap ketahanan tubuh yang rendah menyebabkan mereka antara golongan yang berisiko tinggi sekiranya dijangkiti.
Bukan sekadar membuatkan tahap kesihatan menjadi semakin merosot, jangkitan Covid-19 ini juga boleh merisikokan bayi dalam kandungan. Jika keadaan ini berlaku, pesakit terpaksa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ditidurkan.
”Sekadar info, sayang-sayang semua. Mohon rancang kehamilan anda pada musim Covid-19 ini. Sangat bahaya, makin ramai ibu mengandung positif Covid-19.”
”Sayangi diri anda, sayang baby anda. Tapi andai sudah rezeki, tolong jaga diri baik-baik ya.”
”Hari-hari sis jaga ibu mengandung yang dimasukkan ke hospital. Bila kesihatan makin merosot, mereka akan dipindahkan ke icu dan ditidurkan.” tulisnya dalam video berkenaan.
Jururawat tersebut juga menggesa agar para ibu mengambil tahu segala SOP ketika hendak bersalin. Hal ini kerana banyak pusat kesihatan sudah mula tidak menerima pesakit biasa untuk dirawat.
”Sentiasa ambil tahu prosedur dan SOP untuk ibu mengandung yang bakal bersalin ya. Ada hospital yang sudah ditutup, tidak menerima pesakit biasa.’‘ pesannya.
Jenis penyakit berjangkit, semakin ramai kes positif melibatkan ibu mengandung
Sejak bulan Jun hingga awal bulan Julai 2021, wabak Covid-19 dilaporkan telah meragut lima nyawa ibu mengandung yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Menurut sumber, tiga daripada mangsa meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi Covid-19 pada 8 Julai, manakala dua lagi meninggal dunia pada Jun. Mangsa termuda berusia 25 tahun.
Beberapa sumber dalam sistem kesihatan meluahkan kebimbangan mereka apabila mendapati berlakunya peningkatan kes positif melibatkan ibu mengandung sejak bulan Mei lalu.
”Pada Jun 2o21 sahaja, hospital menerima sekurang-kurangnya 100 orang pesakit dalam kalangan ibu mengandung. Di tempat saya, ada kira-kira 120 pesakit Covid-19 dalam kategori 1 hingga 5.”
”Manakala hampir 20 orang pesakit ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).” jelasnya.
Dalam kebanyakan kes, penggunaan alat bantuan pernafasan memerlukan anak dalam kandungan dikeluarkan secara lebih awal menerusi pembedahan caesarean.
Punca peningkatan jumlah ibu mengandung yang positif tidak dapat dikenal pasti secara umum. Namun pihak doktor mengesyaki mereka lazimnya dijangkiti oleh suami, ahli keluarga yang tinggal serumah atau rakan sekerja.
Ibu mengandung yang positif Covid-19 berupaya mengalami komplikasi serius
Laporan Malaysiakini mengatakan hospital akan memasukkan setiap ibu mengandung yang positif ke dalam wad kerana berisiko tinggi mengalami komplikasi kesihatan.
Walaupun begitu, memandangkan kini Hospital Sungai Buloh menerima begitu ramai pesakit sehingga sesak, ada kalanya mereka terpaksa menunggu terlebih dahulu untuk dimasukkan ke dalam ICU.
”Ibu mengandung sentiasa menjadi keutamaan kami. Tetapi kerana ruang dan fasiliti yang semakin terhad, ada kalanya mereka perlu menunggu.” jelasnya.
Pada 26 Julai yang lalu, seorang bayi perempuan berusia 24 minggu dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 selepas sejam dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Difahamkan ibunya, Nur Fazwatina Md Haruji, 31 masih dalam tempoh kuarantin kerana positif Covid-19.
Manakala pada 13 Julai yang lalu, seorang bayi lelaki yang berusia 38 minggu dilaporkan menjadi korban termuda Covid-19 ketika ibunya masih bertarung nyawa di ICU di salah sebuah hospital Ampang.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Terima Suntikan Vaksin Ketika Hamil, Wanita Lahirkan Bayi Dengan Antibodi Covid-19