Tak sanggup rasanya bila melihat keperitan yang bakal dilalui anak kembar dari China ini apabila ibu kandung mereka sanggup jual anak demi kepentingan diri.
Menurut laporan media China, seorang ibu tunggal yang hanya dikenali dengan nama Ma ingin jual anak lelaki kembarnya yang baru lahir pada September tahun lalu dengan jumlah 65,000 yuan (RM38,128).
Kes jual anak ini diketahui pihak polis semasa mereka melakukan siasatan pada beberapa kes lain.
Jual anak gara-gara hutang terlalu banyak
Ibu tunggal ini yang berumur 20-an berasal dari Wilayah Zhejiang mendakwa dia melakukan perbuatan ini kerana kesempitan wang dan memiliki jumlah hutang yang terlalu besar.
Menurut wanita ini lagi, ibu bapanya enggan membantu masalahnya itu kerana marah dengan kehamilan tanpa perkahwinan itu. Lebih memburukkan keadaan bila bapa anak kembar itu yang dikenali sebagai Wu dilaporkan tidak mahu bertanggungjawab terhadap bayi tersebut selepas dilahirkan.
Apatah lagi, seusai Ma melahirkan bayi kembar itu, teman lelakinya menghilangkan diri namun tiba-tiba muncul semula bila dapat tahu Ma telah menjual bayi kembar mereka.
Hasil jual anak dibahagi dua
Selepas jual anak, Ma dan Wu memecahkan hasil jualan bayi kembar itu untuk membayar hutang kad kredit dan membeli telefon bimbit yang baru.
Akhirnya kegiatan jahat itu dapat dihidu pihak polis dan tangkapan berjaya dilakukan. Pihak polis juga berjaya mengesan dua pasangan di Wilayah Anhui yang telah membeli bayi tersebut.
Walau bagaimanapun diharap bayi kembar ini membesar dengan sihat seperti kanak-kanak yang lain.
Sindiket jual bayi di Malaysia
Malaysia juga tidak terkecuali dengan penglibatan sindiket jual bayi yang rata-ratanya melibatkan rangkaian profesional seperti doktor dan pegawai kerajaan.
Hasil siasatan lebih dari 4 bulan pada tahun 2016 mendapati betapa mudahnya membeli bayi di Malaysia dengan hanya melihat katalog yang mengandungi gambar wanita hamil.
Bayi yang memiliki kulit cerah lebih mahal selain jantina dan warna kulit yang akan menentukan harga seorang bayi yang boleh mencecah AS$1,500 (RM6,600) hingga AS$2,500 (RM11,000).
Hasil penyamaran dari program dokumentari eksklusif 101 adalah seperti berikut:
- Bayi diperdagangkan seperti komoditi di Malaysia
- Harga ditentukan berdasarkan bangsa, warna kulit, jantina dan berat
- Doktor dan pegawai kerajaan akan memalsukan dokumen kelahiran
- Pengambilan anak angkat secara sah mengambil masa bertahun-tahun dan perlu lalui proses yang rumit.
Sindiket jual bayi ini banyak menarik minat pekerja seks yang tidak mahu gugurkan kandungan apabila tahu diri hamil. Malah, bayi yang dilahirkan itu mendapat ibu bapa baru yang baik dan terdiri dari pasangan suami isteri yang impikan anak hingga sanggup langgar undang-undang.
Oleh sebab itu, diharap pihak berkuasa mengambil jalan yang terbaik agar pemerdagangan manusia ini dapat dihentikan seratus peratus kerana ia boleh memberikan imej buruk pada negara di mata dunia.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Asiaone, The Vocket
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
Tanda Hamil Kembar Yang Mungkin Ibu Alami, Penat Melampau Salah Satu Petandanya!