Kanak-kanak didera di taska
Satu lagi kes menakutkan tentang kanak-kanak didera di taska telah terjadi, dan kali ini ia berlaku di China.
Baru-baru ini video kanak-kanak kecil telah dilayan dengan teruk di taska di Shanghai telah tular dan membuatkan netizen terkejut. Mereka mahu hal ini diadili.
Di dalam salah satu video, seorang wanita telah merentap beg seorang kanak-kanak perempuan dan menolaknya ke arah meja dan terhantuk. Wanita tersebut juga telah membuka sebahagian dari baju kanak-kanak tersebut, menurut laporan Radio Free Asia.
Lebih banyak video kemudiannya muncul. Di dalam salah satu daripadanya, seorang wanita memaksa kanak-kanak makan hingga mereka menangis. Di dalam video lain pula, seorang kanak-kanak memberitahu ibu bapanya tentang sesuatu yang pedas telah disapukan ke mukanya, yang dijangkakan ialah wasabi.
Kanak-kanak di dalam video tersebut berusia di dalam lingkungan 18 bulan hingga 2 tahun.
Menurut BBC, video tersebut telah dikeluarkan pada orang awam selepas ibu bapa yang marah membuat laporan kepada pihak polis tentang kecederaan anak mereka.
Kanak-kanak didera di taska: Ibu bapa berkongsi ketakutan mereka
Dilaporkan seramai 25 kanak-kanak menghadiri taska tersebut sejak ia dibuka pada Februari 2017 lalu. Ia digunakan oleh pekerja dari syarikat perlancongan atas talian, Ctrip.
Menurut Shanghai Daily, seorang ibu menyatakan yang ada sesuatu yang tidak kena selepas anaknya yang berusia 18 bulan asyik menangis setelah pulang dari taska itu.
“Anak perempuan saya telah buang air kecil sebanyak enam kali dan cikgu taska itu akan memukulnya. Dia tidak menukar lampin anak saya dan apabila dia menukar lampin, dia akan menarik satu kaki anak saya ke atas sementara anak saya kena berdiri di hujung bilik dan bukan membiarkannya baring.” kata ibu terbabit.
Menurut ibu bapa yang lain, setelah mereka membuat aduan kepada Ctrip, syarikat tersebut mengambil keputusan untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dan mereka terkejut dengan apa yang mereka lihat!
Lanjutan dari siasatan polis, tiga cikgu dan seorang pencuci telah ditangkap serta taska tersebut telah ditutup.
Memohon maaf atas kes kanak-kanak didera di taska
CEO syarikat Crip, Jane Sun memberitahu media :
“Dengan menjemput pihak ketiga menguruskan taska, niat awal kami adalah untuk mempunyai pasukan yang profesional dan layak untuk menjaga anak-anak Ctrip.
Kami sedih dan marah melihat apa yang kami tidak sangka akan terjadi. Bagi pihak syarikat, saya memanjangkan maaf yang ikhlas kepada keluarga dan kanak-kanak yang terlibat.”
Sementara itu, ribuan pengguna media sosial mengekspreskan rasa marah dan prihatin mereka tentang kejadian ini.
Malangnya kes ini bukanlah kes yang jarang terjadi. Banyak kes seumpama ini terjadi di Malaysia. Tanpa kita sedar, mungkin anak-anak kita telah didera dan dipukul di taska.
Apa tanda-tanda mereka didera?
Berikut adalah beberapa tanda yang anda boleh lihat jika anda syak anak didera di sekolah (atau rumah):
- anak anda menangis dan melawan ketika anda ingin menghantar mereka ke taska/pusat jagaan/ tadika
- anak anda kelihatan takut dengan orang-orang yang mereka baik sebelum ini.
- perubahan kelakuan di rumah atau sekolah (terlalu manja, cengeng atau pendiam)
- anak anda ada lebam, luka atau kecederaan yang lain. Kecederaan yang berulang mungkin adalah tanda penderaan
- anak anda sering mimpi ngeri, mengigau dan sukar tidur.
Apa yang anda patut buat sekiranya anda mengesyaki anak anda di dera di sekolah?
- jika tidak pasti, bercakap dengan guru besar sekolah tentang itu
- jika sudah pasti, buat laporan polis dan pihak berkenaan akan menyiasat hal tersebut
- segera jauhkan anak anda dari pendera
- hubungi talian bantuan seperti talian dera untuk bantuan.
TONTON (Amaran : video kurang menyenangkan):
Sumber: theAsianParent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Lagi Kes Dera oleh Pembantu Taska, Kali Ini Pada Anak Sendiri Sehingga Meninggal Dunia
Video Tular Pengasuh Mencampak Bayi – Para Ibu Sekalian, Jom Ketahui Tanda Anak Kita Didera!
Jika Anak Alami Penderaan Emosi Masa Kecil, Mereka Akan Membesar Seperti Ini