Setiap anak adalah amanah daripada sang pencipta. Kehadiran kanak kanak istimewa dalam keluarga bukanlah sebagai ujian semata-mata, mungkin juga membawa pelbagai perubahan ke arah yang lebih baik.
Meskipun pada mulanya, adalah amat sukar untuk menerima ketentuan takdir. Namun siapalah kita untuk menidakkannya? Malah, pada hari ini sudah ramai ibu ayah berkongsi kisah dan aktiviti menyeronokkan bersama anak syurga ini di laman media sosial mereka.
Baca juga: Muka Lebam & Tangan Diikat, Pasangan Ini Sanggup Biarkan Anak Autisme Dalam Kandang Kambing
Penerimaan kehadiran kanak-kanak istimewa dalam keluarga
Berdasarkan luahan seorang bapa menerusi akaun Instagramnya, @udeyismail, pada mulanya dia berdepan kesukaran apabila anaknya yang normal agak sukar menerima kakak istimewanya.
Mesti antara korang kat sini ada yang membesar dengan adik, kakak, abang istimewa kan? Waktu kecil kita memang belum faham. Even aku sendiri pun membesar dengan seorang abang yang istimewa, macam mana aku rasa, mungkin Indra akan rasa suatu hari nanti terhadap kakak dia.
Pernah dia cakap dengan aku, dia tak sayang kakak. Kemudian aku tanya balik.
Ayah: Kenapa Indra tak sayang kakak?
Indra: Sebab kakak tidak boleh cakap.
Ayah: Bukan kakak tak boleh, mungkin ambil masa, kalau lah kakak tak boleh cakap, kat syurga nanti pasti dia cakap. Kalau kita jaga kakak, Allah akan bagi kita syurga tau, sebab kakak ini istimewa, Indra pun special juga. Kalau Indra jaga kakak dengan baik, suatu hari nanti dekat pintu syurga, kakak tarik tangan kita masuk sama-sama dengannya.
Dia rasa diri kosong. Sepanjang membesar, kakak tidak pernah menyapa dia, nak bergurau dengan dia. Sedangkan orang lain boleh, tetapi kakaknya tidak sebab dia belum faham apa yang dilalui oleh kakaknya.
Bila ada anak normal, kena selalu pesan. Takut dia terasa hati, kenapa kakak selalu dilebihkan, selalu kena ingatkan, bila dia dah faham dia selalu cakap ”Hagia have autism”.
Sekarang dah nampak dia rasa ada tanggungjawab. Indra akan pimpin kakak masuk kelas, kadang beli apa-apa mesti akan selalu ingat kakak.
Apa yang jadi pada aku ini ada banyak hikmah sebenarnya. Seperti aku cakap, rezeki aku sememangnya dalam bentuk masa. Selalu je akan ada masa dengan anak-anak.
Lagi satu, aku dah tak ada apa lagi yang nak dikejarkan. So masa sekarang memang fokus membesarkan anak-anak sahaja.
Tips membesarkan kanak-kanak istimewa
#1. Ibu ayah perlu memahami keadaan anak
Perkara paling utama ialah anda hendaklah mendapatkan diagnosis daripada pakar perubatan. Ini adalah untuk membolehkan ibu ayah faham keadaan anak dan bertindak dengan betul jika berdepan kecemasan.
Bukan itu sahaja, sentiasa ingat bahawa segala salah laku anak disebabkan oleh kesihatan mereka, bukanlah sekadar buat perangai.
#2. Daftarkan anak dengan jabatan berkaitan
Seterusnya, daftarkan anak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai anak kelainan upaya. Ia hendaklah dilakukan seawal usia bagi memastikan mereka memperoleh keistimewaan seperti elaun pendidikan.
#3. Melihat sudut positif
Meskipun anak berbeza dengan orang lain, pastinya dia memiliki kelebihan tersendiri. Jika si manja memiliki kemampuan atau bakat unik, tonjolkannya agar mereka berasa diri sentiasa dihargai oleh ibu ayah.
#4. Elak jangkaan terhadap sesuatu mustahil
Ibu ayah perlu menerima dengan hati terbuka akan kemampuan setiap anak istimewa. Jangan menjangkakan sesuatu yang mustahil berlaku daripada mereka. Pastikan anak sedar bahawa ibu dan ayah sentiasa ada di sampingnya.
#5. Menetapkan rutin harian
Seperti kanak-kanak lain, anak istimewa juga perlu memiliki rutin yang sama pada setiap hari agar mereka berdisiplin dan memiliki rasa tanggungjawab. Ini kerana jika berlaku sebarang perubahan, ia boleh memberikan kesan besar terhadap mereka.
Jika anda seorang ibu ayah sibuk bekerja, pastikan anda memilih penempatan atau pusat yang boleh dipercayai seperti pusat jagaan berdaftar atau rumah ahli keluarga.
Sumber: Udey Ismail, Free Malaysia Today
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Boleh Tertekan Bila Dapat Tahu Anak Autisme, Minta Pertolongan & Carilah Allah Dahulu